Monday, February 15, 2010

TAJUK : Pusat Kajian Orientalism: Kajian Terhadap Metodologi Dan Kandungan Disiplin. (RG035/09HNE)

1.Prof Madya Dr Mohd Fakharuddin Abdul Mukhti (Ketua Projek)
2.Prof Madya Dr Rahimin Affandi Abd Rahim (Penyelidik)
3.Prof Madya Dr Ruzman Mohd Noor (Penyelidik)
4.Badriah Nordin (Pembantu Penyelidik)

LATARBELAKANG DAN PERMASALAHAN KAJIAN

Dewasa ini, dengan kedatangan era globalisasi, kita dapat menyaksikan bagaimana peta pusat pengajian ilmu-ilmu Islam dunia telah terbahagi kepada tiga lokasi yang utama; dunia Barat yang berteraskan kaedah ala orientalisme; dunia Islam Timur Tengah yang lebih menumpukan kepada kerangka pengajian tradisionalisme dan dunia Alam Melayu (Malaysia dan Indonesia) yang dilihat telah mengadunkan di antara kerangka tradisionalisme dan reformisme sekaligus. Walaupun pusat kajian Islam Alam Melayu telah menjadi begitu penting, tetapi ianya masih belum mampu menandingi pusat kajian orientalis. Hal ini terjadi antara lainnya disebabkan oleh nisbah reputasi cemerlang yang dimiliki oleh pusat kajian orientalis itu sendiri, ditambah pula dengan faktor dunia barat yang mendominasi pelbagai sektor strategik kehidupan dunia moden, termasuklah penguasaan ilmu pengetahuan, S&T dan ekonomi.
Berhadapan dengan dominasi penguasaan dunia barat ini, khususnya yang membabitkan kajian terhadap ajaran Islam, IPTA umat Islam perlu membangunkan disiplin Oksidentalism bagi menanggani kemungkinan berlakunya proses penaklukan epistemologi pemikiran yang dijalankan oleh dunia intelektual barat. Dalam soal ini, dunia academia Islam perlu menggunakan pendekatan selektif dengan mempelajari elemen positif dan negative daripada genre orientalism. Hal ini kemudiannya perlu dilanjutkan dengan mewujudkan pusat kajian Oksidentalism bagi mempelajari paradigma pemikiran barat terhadap Islam. Berasaskan kepada latarbelakang masalah ini, suatu kajian ilmiah perlu dilakukan bagi mempelajari dan membangunkan disipin kajian Oksidentalism ini.

SOROTAN LITERATUR

Isu paradigma kajian orientalism terhadap agama Islam ini sering dijadikan bahan kajian oleh sarjana Islam moden, kerana kepentingannya bagi mengisi keperluan umat Islam semasa. Namun begitu, ianya belum lagi bersifat komprehensif, sehingga dapat digunakan bagi mengatasi masalah umat Islam semasa. Kajian-kajian ini dapat diklasifikasi kepada beberapa bentuk;
1.Kajian yang menerangkan tentang sejarah penubuhan genre orientalism barat yang membabitkan kajian terhadap agama dan masyarakat Islam. Rata-ratanya, kajian ini yang dilakukan oleh sarjana Islam sendiri telah menggunakan pendekatan yang simplistik sehingga lebih menonjolkan elemen negatif tanpa disertakan dengan pendedahan terhadap elemen positif. Sama halnya dengan pendekatan barat yang bersifat bias, kajian ini agak keterlaluan dan perlu dinilai secara objektif oleh sarjana Islam moden.
2.Kajian yang dihasilkan oleh sarjana barat yang bersimpati dengan masyarakat Islam, dengan mendedahkan segala keburukan dan kelemahan yang diamalkan oleh genre orientalism barat.
3.Kajian yang dihasilkan oleh sarjana Islam Malaysia dan Indonesia yang mendedahkan sifat bias yang dimiliki oleh karya genre orientalis barat. Kupasan yang diberikan lebih menjurus kepada subjek sejarah Malaysia dan bukannya kepada subjek pengajian Islam yang murni.
4.Kajian tentang subjek pengajian Islam dalam pelbagai bidang yang dilakukan oleh sarjana orientalism barat. Walaupun ianya boleh dikatakan merangkumi pelbagai bidang yang agak luas, tetapi sayangnya tidak disertakan dengan penjelasan tentang kerangka metodologi orientalism yang sepatutnya. Hal ini telah menjadikan kajian ini kurang jelas dari segi wolrd-view asasnya dan paling banyak mempengaruhi kalangan pembaca yang agak cetek pengetahuan tentang agama Islam.
5.Kajian tentang sejarah masyarakat Islam di Alam Melayu yang dihasilkan oleh sarjana orientalis barat. Apa yang malangnya, sebahagian besar paparan yang diberikan lebih bersifat bias kuasa penjajah, terpengaruh dengan falsafah diffusionisme dan menafikan sumbangan ajaran Islam ke atas penduduk di rantau Alam Melayu itu sendiri.
6.Kajian yang dilakukan oleh sarjana barat sendiri yang mendedahkan pendekatan politik yang dipegang oleh sarjana orientalis barat, daripada dua kelompok; yang memang memusuhi penganut Islam dan kelompok yang bersimpati dan lebih objektif dalam kajian terhadap Islam. Apa yang malangnya, kem yang memusuhi Islam dikatakan lebih dominan sehingga dapat mempengaruhi kuasa politik barat.
7.Kajian yang menerangkan tentang sejarah perkembangan genre orientalism klasik, yang tidak disertakan dengan paparan tren dan falsafah pasca kolonialisme semasa yang memang turut mempengaruh genre orientalism moden.
8.Tulisan yang mendedahkan bagaimana kajian dan pendekatan pengajian Islam yang diamalkan oleh pusat kajian orientalism di Kanada. Ianya telah dihasilkan oleh lulusan pusat kajian tersebut, yang masih memiliki banyak kelemahan, seperti ianya hanya mendedahkan elemen positif semata-mata dan hanya terhad kepada pengalaman pusat oreintalism di Kanada, tanpa melanjutkannya kepada lokasi yang lain.
9.Kajian yang bersifat futuristik yang mengalakkan sarjana Islam membangunkan disiplin Oksidetalism, sebagai kaedah terbaik untuk menangkis dan menilai kelemahan paradigma orientalism barat yang memang bersifat bias (Euro-centric) terhadap masyarakat di sebelah Timur.

Daripada kesemua bahan-bahan kajian ini, secara jelas kita dapat melihat bagaimana masih terdapat banyak ruang kosong yang boleh diisi dengan kajian ini khususnya yang membabitkan fokus yang dikaji. Ianya terdiri dari;
1.Perincian tentang kerangka metodologi genre orientalism dalam kajian terhadap subjek pengajian Islam- merujuk kepada elemen ontologi, epistemologi dan aksiologi genre orientalism.
2.Perincian semasa tentang realiti perkembangan falsafah terkini genre orientalism dalam bidang pengajian Islam.
3.Perincian tentang elemen positif dan negatif daripada genre orientalism khususnya yang membabitkan kajian terhadap agama dan masyarakat Islam.
4.Perincian semasa tentang realiti pemahaman masyarakat dan sarjana Islam terhadap genre orientalism.
5.Perincian semasa tentang mekanisme dan modus operandi pusat kajian orientalism di dunia barat dan cawangannya di dunia umat Islam.


SKOP KAJIAN

Kajian ini bakal membataskan tumpuan kepada beberapa isu yang berkaitan dengan genre orientalism tentang subjek pengajian Islam, yang dibuat terhadap dua lokasi utama; pertama, Institusi Pendidikan Tinggi Islam di Malaysia, Indonesia {UIN Sunan kalijaga, yogjakarta} dan Timur Tengah {Universiti al-Azhar}. Kedua, pusat kajian orientalism yang terpilih, Britain {SOAS, University of Birmingham dan University of Edinburgh} dan Amerika Syarikat {Temple University, Harvard University dan McGill University}
Bagi kedua lokasi pilihan ini, tumpuan akan akan diberikan kepada isu penting merangkumi;
1.Isu ontologi, epistemologi dan aksiologi genre orientalism.
2.Isu pedagogi pengajian yang diamalkan oleh pusat kajian orientalism yang terpilih.
3.Isu tren dan perkembangan falsafah terkini genre orientalism dalam bidang pengajian Islam.
4.Penilaian terhadap kajian Islam yang dihasilkan oleh genre orientalism yang terpilih – membabitkan disiplin pemikiran, Tasawuf dan perundangan Islam.
5.Penilaian terhadap pandangan sarjana Islam terhadap genre orientalism.


OBJEKTIF

Kajian ini mempunyai beberapa objektif yang utama :-
1.Memungut data terperinci untuk menilai kerangka metodologi kajian orientalism tentang subjek pengajian Islam yang dijalankan oleh pusat kajian orientalis.
2.Meneliti elemen positif dan negatif yang terkandung di dalam genre orientalism.
3.Meneliti tren dan falsafah perkembangan genre orientalism moden.
4.Meneliti kefahaman kakitangan akademik dan masyarakat awam tentang metodologi kajian orientalism.
5.Meneliti impak genre orientalism terhadap subjek pengajian Islam semasa.
6.Memungut data terperinci untuk menubuhkan pusat kajian Oksidentalism di APIUM yang bakal dijadikan sebagai pusat counter metodologi dan penilaian alternatif terhadap genre orientalism.


METODOLOGI KAJIAN

Di peringkat asasnya, sesuatu kajian yang membabitkan elemen pemikiran perlu menggunakan pelbagai kaedah tertentu, seperti;
1.Kaedah pensejarahan yang akan menggunakan dua perspektif utama, (i) sosio-historis (menggunakan kronologi dan latarbelakang sejarah untuk mengetahui asal usul sesuatu perkembangan) dan (ii) critical method ( usaha memetik dan mengkritik sebarang pendapat dan nilai yang terhasil daripada peristiwa sejarah yang dipilih). Maknanya dalam soal ini penekanan bukan hanya terhenti kepada pembentangan sesuatu konsep terpenting, bahkan perlu dilihat dari segi penggunaan analisis kognitif akal, termasuklah faktor perkembangan semasa yang mempengaruhi tafsiran para sarjana orientalis yang terbabit.
2.Kaedah analisis kandungan yang bakal meneliti kerangka epistemology pemikiran (persoalan sumber, sifat sesuatu ilmu dan neraca penilaian) yang digunakan seseorang sarjana.
3.Kaedah perbandingan yang membabitkan proses membuat kesimpulan melalui perbandingan yang bakal memperolehi faktor persamaan dan perbezaan di antara pusat kajian orientalism dan IPTA Islam dalam tema pilihan menggunakan dua latar belakang kontek yang berbeza.
4.Kaedah penelitian sosiologi yang bakal meneliti latar belakang masyarakat seperti aspek sosio-politik, struktur, ekonomi dan institusi tertentu (seperti institusi pendidikan) yang mempengaruhi penghasilan sesuatu pemikiran.

Kajian ini yang akan mengabungkan beberapa dimensi disiplin yang berbeza dalam pengajian Islam; sejarah pemikiran orientalism, pengajian syariah dan Usuluddin. Oleh sebab itu bersesuaian dengan sifat multi-dimensi ini, kajian ini akan menggunakan pelbagai metodologi khusus untuk tujuan pengumpulan data iaitu;
1.Penyelidikan perpustakaan yang bakal mengumpul maklumat asas mengenai latar belakang kajian merangkumi sejarah intelektual orientalism dan Islam, sarjana orientalis yang terlibat, dan segala bentuk perkembangan semasa. Ia akan membabitkan penggunaan sumber data yang berupa buku, akhbar, majalah, dokumen dan jurnal.
2.Penyelidikan ala tinjauan yang bakal meneliti data tersedia yang berupa koleksi katalok, manuscript dan kajian ilmiah yang mengandungi maklumat tentang tema kajian di beberapa lokasi pilihan.
3.Penyelidikan menggunakan kaedah temubual yang terancang membabitkan beberapa bentuk responden ;
a)Perancang dan pentadbir di pusat kajian orientalism pilihan.
b)Perancang dan pentadbir sesuatu IPTA Islam yang terlibat di dalam pembangunan kurikulum IPTA Islam yang terpilih di Malaysia, Indonesia dan Timur Tengah.
c)Kakitangan akademik yang terlibat dengan usaha pengajaran dan penyusunan karya dalam bidang pendidikan tinggi Islam.
d)golongan sarjana moden yang terpilih yang terlibat melakukan komentar ilmiah terhadap sesuatu karya pengajian Islam.
e)Anggota NGO Islam yang berkecimpung di dalam bidang pendidikan tinggi Islam.
Demi untuk menjadikan kaedah temuduga ini bersifat objektif dan boleh dipertanggungjawabkan, beberapa kaedah yang lebih bersifat mikro akan dijalankan :-
1)Mengadakan temujanji dengan setiap anggota yang bakal ditemuduga bagi memastikan mereka dapat meluangkan masa yang terbaik untuk proses temuduga.
2)Penyelidik akan membahagikan proses temubual ini kepada dua sessi yang utama, dimulakan dengan (i) sessi pengenalan yang menjelaskan maksud dan tujuan kajian secara tidak langsung yang bakal merapatkan hubungan antara penulis dengan orang yang bakal ditemubual, (ii) sessi temuduga sebenar yang lebih serious dan berfokus kepada isi kandungan sebenar kajian ini dibuat.
3)Untuk memastikan kebolehpercayaan maklumat dan kedudukan orang ditemuduga tidak terjejas, penyelidik akan memaklumkan kepada mereka objektif kajian dan menyediakan borang persetujuan yang mengambilkira etika persetujuan berpengetahuan (informed consent) seperti mana ditegaskan di dalam code of ethical conduct for research involving humans.
4)Temuduga akan dilakukan secara terancang dengan menggunakan pita rakaman dan catitan, yang kemudiannya dipindahkan ke dalam bentuk transcipt penulisan.
5)Soalan yang agak rapi dan terancang telah disediakan terlebih dahulu. Di samping juga, terdapat beberapa soalan spontan yang digunakan akibat daripada beberapa isu dan jawapan yang diberikan oleh orang ditemuduga.
6)Kesemua orang yang ditemuduga adalah merupakan kakitangan yang memegang jawatan penting di dalam pengurusan sesuatu IPTA pilihan. Hal ini dilakukan demi untuk memastikan data-data yang diperolihi adalah tepat dan boleh menjadi sumber rujukan utama.
7)Isi kandungan temuduga ini telah dipastikan agar ianya lebih bersifat menjurus kepada skop dan tumpuan kajian.
8)Proses pengumpulan data melalui temuduga dan pemerhatian kerap kali dibantu dengan pengumpulan data dokumen rasmi yang berupakan laporan mesyuarat, minit mesyuarat, pamplet, brosure dan sebagainya yang dikategorikan sebagai dukomen sulit.
9)Kaedah tringulasi telah digunakan bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan data yang terkumpul melalui temuduga. Melalui kaedah ini penyelidik tidak hanya bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh seorang anggota koleksi sahaja, sebaliknya merujuk kepada anggota lain supaya data yang diperolihi adalah tepat dan konsisten.

4.Penyelidikan menggunakan borang soal selidik bagi mengumpulkan maklumat terpenting berkenaan tumpuan kajian. Oleh kerana kajian ini merupakan kajian kawalan, sampel kawalan terdiri dari lima golongan seperti mana diterangkan dalam bahagian (3). Secara terperincinya borang soal selidik ini akan terbahagi kepada bahagian utama yang bakal mengandungi maklumat terpenting berkenaan dengan tumpuan kajian.
5.Penyelidikan secara turut serta dan tinjuan terhadap tempat lokasi IPTA Islam. Kaedah ini bakal membantu pengkaji menilai kebenaran dan kesahihan maklumat yang diperolihi daripada borang soal selidik. Dengan kaedah ini, pengkaji akan menghadiri kuliah, ceramah, seminar dan program yang dianjurkan oleh lokasi yang terbabit.
6.Data penting yang dikumpul melalui kaedah (1) hingga (5) akan dianalisa secara kualitatif dan kuantitatif, khususnya dengan menggunakan program SPSS.

HASIL PENYELIDIKAN

1.Menyediakan data base lengkap dalam bentuk CDROM dan koleksi Bibliografi tentang subjek pengajian Islam dan orientalism.
2.Menyediakan laporan dan pelan bertindak untuk memperkasakan lagi usaha reformasi IPTA Islam berhadapan dengan cabaran globalisasi.
3.Menyediakan kertas laporan, kertas kerja dan monograf yang membabitkan bidang pengajian Islam dan orientalism, yang bakal diterbitkan samada di peringkat antarabangsa dan dalam negeri.
4.Menyediakan maklumat terperinci bagi penubuhan pusat kajian Oksidentalism Islam di APIUM

KEPENTINGAN DAN FAEDAH PENYELIDIKAN

1.Kajian ini meningkatkan lagi kepakaran dalam bidang pengajian Oksidentalism membabitkan pelbagai disiplin pengajian Islam.
2.Nilai-nilai keaslian yang diperolehi melalui kajian lapangan dapat digunakan bagi menyokong teori-teori yang sedia ada.
3.Kajian ini bakal membantu pihak IPTA Islam di Malaysia mewujudkan pusat kajian Oksidentalism Islam, yang bakal menjadikan IPTA di Malaysia amnya dan APIUM khususnya sebagai pusat kecemerlangan akademik di peringkat antarabangsa.
4.Kajian ini membantu pihak-pihak berkepentingan seperti IPTA dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk memperkemaskan dasar dan penyediaan kurikulum pengajian Islam yang bersesuaian dengan kehendak dunia global.

No comments: