Monday, February 15, 2010

Tajuk Penyelidikan: Pembangunan Filem Islam Di Malaysia.(RG005/09HNE)

1)Dr Abdullah Yusof (Ketua Penyelidik)
2)Prof. Madya Dr. Rahimin Affandi Abd. Rahim (Ahli Penyelidik)
3)Dr Abu Hassan Hasbullah (Ahli Penyelidik)
4)Nor Adina Abdul Kadir (Pembantu Penyelidik)

OBJEKTIF KAJIAN DAN RANGKA KERJA TEORI

Terdapat beberapa objektif yang disusun menggunakan rangka kerja teori khusus yang ingin dicapai dengan penyelidikan ini, antaranya;

(i)Membangunkan kerangka konsep, teori dan logistik filem Islam di Malaysia.

(ii)Meneliti program reformasi industri filem Islam di Malaysia yang telah diusahakan setakat ini, bagi mengenalpasti perkembangan terbaru dalam bentuk halangan, inisiatif dan peluang yang boleh dimanfaatkan oleh penggiat filem Islam.

(iii)Merancang kaedah untuk mengatasi masalah kemunduran industri filem Islam yang bakal disertakan dengan cadangan penyelesaian masalah.

(iv)Merangka dan memperkemaskan lagi industri filem Islam berteraskan kepada program pembangunan bina insan (modal insan) yang sedia ada bagi menjadikannya mempunyai nilai tambah dirujuk kepada perspektif ajaran Islam yang bersifat bersepadu.

(v)Menyedikan garis panduan penilaian filem Malaysia semasa bagi tujuan pemerkasaan konsep filem Islam.

(vi)Membantu pihak kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Kementerian Penerangan Malaysia serta agensi-agensi di bawahnya yang terlibat dalam pengurusan pembangunan industri filem nasional mendapatkan maklumat terperinci untuk memperkasakan institusi perfileman Islam Malaysia agar ianya bertaraf dunia.

(vii)Projek penyelidikan ini akan menjadi projek penyelidikan pertama yang menyentuh tentang pembangunan teori, bentuk, kandungan dan gerakan masa depan industri filem Islam pernah diusahakan, baik di peringkat nasional maupun di peringkat internasional sekali gus akan menempatkan Malaysia sebagai hab industri filem Islam dunia.

Dalam soal rangka kerja teori yang dikembangkan dalam bidang yang dikaji, terdapat beberapa teori khusus yang bakal diteliti secara rapi ketepatan dan kebolehpercayaannya dengan projek penyelidikan ini;

Pertama, teori peri pentingnya kehidupan manusia moden bergantung kepada penguasaan ilmu pengetahuan yang lebih holistik di dalam menghadapi cabaran globalisasi. Keperluaan dan penerusan hidup manusia bergantung sepenuhnya kepada tiga media atau keperluan ;

(i)Pekerjaan untuk kelangsungan hidup – memerlukan antara lainnya kepada penciptaan pelbagai ilmu sains sosial dan sains tulen, khususnya pengetahuan sains dan teknologi (saitek) yang bakal menghasilkan alat teknikal bagi memudahkan kelangsungan hidup manusia.

(ii)Komunikasi untuk tujuan perhubungan sesama manusia – memerlukankepada penciptaan dan penyusunan ilmu bahasa, ilmu media seperti perfileman, kaedah hermeneutik (pentafsiran sesuatu karya) dan kaedah kritikan.

(iii)Agama ataupun sistem etika – bagi mengatur agar perjalanan media pekerjaan dan komunikasi dapat berjalan dengan baik, seimbang dan memberikan manfaat kepada semua umat manusia. Sebagai contohnya, setiap profesion pekerjaan dalam pelbagai jenis perlu berpegang kepada etika profesion yang khusus, yang lebih berteraskan kepada kerangka ideologi ataupun agama sebagai piawaian dan sistem nilai di dalam menjalankan aktiviti.

Pendek kata, kesemua media ini yang membabitkan kehidupan manusia amat memerlukan ilmu pengetahuan yang saling melengkapi di antara satu sama lain, bagi tujuan memberi panduan asas, menyusun dan mempermudahkan lagi kehidupan manusia.

Kedua, teori yang menegaskan keberkesanan genre filem sebagai media dakwah Islam yang berkesan. Genre filem ini boleh dikategorikan sebagai genre seni sains dan sains seni berasaskan kepada beberapa ciri yang utama;
(i)Ianya dihasilkan oleh akal budi manusia yang diilhamkan daripada pengalaman hidup seharian.
(ii)Ianya merupakan luahan rasa ataupun manifestasi keindahan yang dimiliki oleh elemen dalaman seseorang karyawan.
(iii)Ianya mengandungi tema dan mesej khusus yang diharapkan akan difahami ataupun diambil iktibar oleh khalayak penonton.
(iv)Ianya mementingkan nilai keindahan ataupun estestika samada dalam segi bentuk dan makna.
(v)Ianya boleh dikatakan sebagai neraca ataupun sumber utama bagi melihat trend dan perkembangan mentality sesuatu masyarakat di dalam menanggani sesuatu isu yang timbul di dalam masyarakat.

Bahkan, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa berbanding dengan genre seni biasa, genre filem ini ternyata lebih berkesan dan agak meluas penyebarannya di dalam masyarakat. Hal ini ditegaskan berasaskan kepada dua faktor yang utama;

(i)Genre filem ini boleh dinikmati secara langsung melalui pengelihatan (pandang, dengar dan fikir) dan tidak harus dibaca semata-mata. Hal ini timbul dengan berkembangnya teknologi digital yang lebih efisien berbanding dengan bentuk teknologi analog.

(ii)Realiti fenomena globalisasi yang memungkinkan proses penyebaran maklumat ataupun filem dalam apa-apa tema sekalipun boleh diperolehi oleh sesiapa sahaja. Dengan datangnya era globalisasi, bentuk perhubungan masyarakat dunia telah berubah dengan wujudnya reruang siber/reruang maya (virtual reality) yang tidak pernah berlaku sebelumnya dalam sejarah manusia. Reruang siber ini dinyatakan sebagai; “ruang atmosfera atau ruang udara yang mengandungi jisim dan jirim yang menjadi laluan gelombang cahaya dan bunyi sebagai medan penghantaran maklumat serta laluan untuk berkomunikasi. Ianya dimanfaatkan untuk sistem komunikasi samada dengan menggunakan wayar ataupun tidak. Ia adalah jaluran lebuh raya maklumat yang boleh melampaui batasan jarak, sempadan, masa dan tempat apabila digunakan untuk berkomunikasi.” Tambah penulis ini lagi; “Kelahiran reruang siber ini mempercepatkan lagi proses mentamadunkan pemikiran manusia kerana melaluinya penyebaran dan proses transformasi maklumat lebih mudah dan cepat. Kesan kewujudan reruang siber melalui falsafah cyborg ini telah melahirkan masyarakat baru (online) yang berbeza daripada masyarakat massa (industri). Fenomena ini antara lainnya bakal membolehkan setiap umat manusia boleh mengetahui, menonton dan memahami sesuatu filem dengan lebih mendalam lagi daripada sumber yang betul, tanpa dipengaruhi oleh sesuatu pandangan yang bersifat berat sebelah.

Merujuk khusus kepada genre filem sebagai medium terbaik untuk pemupukan semangat patriotisme dan pemikiran Islam yang sihat, kita dapat menyokong pandangan ini dengan merujuk pengalaman sejarah dakwah Sunan Kalijaga salah seorang daripada Wali Songo yang menyebarkan ajaran Islam di Indonesia secara berkesan menggunakan medium wayang kulit yang diterapkan dengan nilai dan falsafah Islam. Hal ini dilakukan kerana mengikut pengamatan Sunan Kalijaga, masyarakat di Alam Melayu memang bersifat homo festival yang meminati semua bentuk seni, khususnya seni persembahan bagi tujuan hiburan dan pengajaran.

Ketiga, teori tentang kepentingan diterapkan sikap Islam yang positif dan selektif terhadap konsep dan hasil sesuatu seni. Teori ini menentang keras paradigma anti seni, termasuklah industri filem yang diamalkan oleh sesetengah penganut Islam. Sikap negatif ini antara lainnya merujuk kepada;
(i)Sikap ekstrim yang seolah-olah menafikan peranan seni di dalam kehidupan manusia, yang sering menganggap artifak seni dan seniman sebagai golongan yang sesat, lalai dan hanyut dalam godaan syaitan. Sebaliknya seseorang Muslim sejati itu perlu mengamalkan hidup yang zuhud dengan mengisi kehidupannya dengan amalan ibadat khusus semata-mata dan tidak terjeremus di dalam aspek kesenian yang boleh melalaikan.

(ii)Sikap yang menganggap semua aspek adat dan kesenian Melayu berasal dari warisan pra Islam (warisan Hindu, Budhha dan Animisme) yang secara pastinya bertentangan dengan nilai-nilai Islam.

(iii)Sikap yang anti melulu kepada semua elemen pemodenan yang datang daripada Barat. Mengikut pendapat Wan Mohd. Nor Wan Daud, terdapat sejumlah besar dari sarjana Islam sendiri yang telah dijangkiti penyakit westophobia, sikap takut dan benci yang tidak rasional terhadap Barat. Pada dasarnya, penyakit ini adalah serpihan daripada penyakit akal, xenophobia yang menyebabkan penghidapnya sentiasa takut kepada unsur-unsur luar.

Sebagai ganti kepada paradigma negatif ini, pendekatan terbaik yang mungkin perlu diterapkan dalam konteks ini adalah berbentuk pertengahan (tidak terlalu ekstrim dan terlalu mudah) yang boleh mengelakkan Islam daripada tohmahan kesat yang menyatakan Islam itu anti pemodenan, anti seni dan ketinggalan zaman. Pada dasarnya, dicadangkan empat pendekatan utama;

•Pendekatan filosofikal (philosophical studies)- sejarah; di mana seseorang fuqaha patut mengambilkira persoalan asal usul pensejarahan sesuatu aspek filem dan seni Melayu itu diciptakan. Di samping itu juga, fuqaha perlu mengetahui persoalan filosofis yang terkandung di dalam seni Melayu itu yang rata-ratanya dikesan telah diasaskan oleh para mubaligh Islam yang awal. Maksudnya, banyak daripada hasil seni Melayu ini yang sesuai untuk diamalkan bagi kelangsungan umat Islam di zaman moden.
•Pendekatan cultural studies yang bersifat lebih konstruktif terhadap konsep seni dan filem yang perlu disertakan dengan pengkajian yang teliti. Atas dasar ini, setiap hasil seni dan filem tidak sepatutnya dimusuhi, tetapi sebaliknya perlu dihargai kerana ianya secara tidak langsung dapat dijadikan ukuran tentang nisbah penghayatan ajaran Islam yang berlangsung di dalam kehidupan masyarakat. Setiap hasil kreativiti seni para seniman Islam merupakan luahan seni yang memang terdapat di dalam diri setiap manusia, berpunca daripada pengalaman perenungan terhadap keindahan ciptaan Allah dan jalinan spiritual berasaskan akal budi dan rasa cinta dengan Allah. Ianya perlu dikaji, diteliti dan dipetik elemen pengajaran bagi manafaat umat Islam.
•Pendekatan yang tidak terlalu anti melulu kepada seni dan filem Melayu. Islam amat mementingkan elemen ekspresi keindahan yang berteraskan kepada konsep Tauhid. Namun begitu, sebelum ianya boleh dianggap sebagai sesuatu yang bermanafaat dan mempunyai nilai estetika keindahan yang bermutu, tapisan terhadap metode dan isi kandungannya perlu dilakukan.
•Pendekatan futuristikal (future studies) patut ditekankan, demi untuk mengelakkan bencana yang lebih berat terkena kepada umat Islam. Sebagai contohnya, kita boleh mendapati bagaimana sebarang usaha yang mengharamkan ataupun membatas kegiatan kesenian hanya akan menimbulkan masalah ummah yang lebih kronik lagi, masyarakat akan tidak mempedulikan ajaran agama dan meninggalkan kesenian Melayu yang dianggap ketinggalan zaman dan bertentangan dengan Islam. Sebagai gantinya, mereka akan secara mudahnya mengamalkan amalan kesenian ala barat yang kononnya lebih bersifat sejagat dan lebih bersesuaian dengan kehendak nafsu serakah manusia semata-mata.

Secara mudahnya, kita patut belajar secara selektif dengan segala perkembangan filem moden khususnya dari segi teknologi baru dan mesej yang hendak disampaikan kepada khalayak penonton. Antara mesej yang boleh dipelajari:
(i)Unsur kemanusiaan sejagat yang menentang keras semua bentuk elemen penindasan dan pencabulan hak asasi manusia yang biasanya bakal menimbulkan kemudaratan kepada semua lapisan masyarakat.
(ii)Unsur kepentingan menjaga keseimbangan sistem ekologi alam sekitar- bakal memudaratkan kehidupan generasi manusia akan datang.
(iii)Elemen konspirasi, sifat munafik dan taktik kotor yang diamalkan oleh kuasa politik dan ketenteraan barat terhadap dunia Islam- sering dijadikan sebagai scapegoat untuk setiap kemusnahan yang berlaku dalam dunia moden.
(iv)Pendedahan tentang fakta ketinggian tamadun umat Islam silam yang dilihat telah memberi kesan kepada proses pembangunan tamadun barat moden.
(v)Elemen pasca kolonialisme - masyarakat barat sudah menyedari kelemahan fahaman sekularisme yang menolak agama dalam kehidupan dan memilih untuk kembali mendekati agama demi untuk memberikan ketenangan dalam hidup.
(vi)Protes terhadap unsur negatif yang terhasil akibat penggunaan sains dan teknologi moden yang tidak beretika - seperti isu pengklonan manusia, penggunaan senjata Bio-Teknologi dan sebagainya.
(vii)Kepentingan mentaati ibubapa dan penjagaan keluarga.

Keempat, teori yang menekankan keperluan untuk membangunkan teori pembangunan Islam, serta dilakukan proses reviewing terhadap konsep dan teori pembangunan keBaratan yang telah diwarisi daripada zaman penjajah British. Untuk itu, teori pembangunan (termasuklah industri filem Malaysia) yang lebih bersepadu sifatnya amat diperlukan yang menumpukan perhatian khusus kepada sumber modal insan, manusia itu sendiri. Teori ini bertentangan sama sekali dengan teori pembangunan Barat yang lebih memberikan perhatian kepada elemen ekonomi semata-mata, ataupun nisbah kejayaan sesuatu program pembangunan itu dinilai dari sudut pencapaian ekonomi tanpa mengaitkannya dengan faktur keagamaan. Bahkan, konsep dan peranan agama sendiri telah dipandang sinis oleh pakar pembangunan barat, yang menyebabkan mereka melihat manusia itu seperti mesin ataupun robot yang tidak mempunyai elemen spiritual. Hal ini telah menimbulkan krisis kekosongan jiwa yang dialami oleh manusia moden, penyelewengan dan turut melahirkan fenomena yang merosakkan sistem ekologi alam sekitar. Berbanding dengan pandangan Barat yang meletakkan manusia sebagai haiwan yang mampu berfikir dan perlu diberikan keperluan fisiologi kebendaan semata-mata tanpa mempedulikan keperluan spiritual, Islam mempunyai pandangan yang lebih holistik dengan memberikan tumpuan utama kepada psikologi diri manusia, sebagai modal asas untuk kejayaan sesuatu program pembangunan.

Kelima, teori yang menegaskan bagaimana media massa moden, termasuklah industri filem lebih menumpukan kepada kepentingan komersial semata-mata dan menonjolkan mesej yang remeh dengan menggunakan artis yang popular sebagai daya tarikan yang utama. Dalam banyak hal, trend ini tidak bermatlamatkan untuk memberi pendidikan kepada masyarakat, tetapi telah menyebabkan penyebaran secara langsung budaya Konsumerisme ala Barat di dalam masyarakat. Budaya Konsumerisme ala Barat merujuk kepada beberapa tren budaya;
(i)Tren dan fahaman yang menggangap bentuk kebudayaan dan produk barat sebagai maju, baik dan berperi kemanusiaan. Hal ini menyebabkan timbul kecenderungan yang menyatakan bahawa bukti kejayaan hidup seseorang itu boleh dilihat dari amalan dan perlakuannya yang mengilai segala bentuk barangan produk barat, yang kerap dianggap sebagai budaya Americanisation dan Macdonaldisation.
(ii)Tren dan sikap yang terlalu mendewa-dewakan artis dan produk hiburan Barat yang ditaja oleh kesemua media massa perdana, sebagai keperluaan hidup zaman moden yang harus ditiru, tanpa memikirkan samada kedua-duanya boleh menyumbangkan kepada usaha pengisian minda dan budaya berfikir yang sihat.
(iii)Semangat dan personaliti orang muda akan diagung-agungkan, serta semua perkara yang membabitkan usia tua akan dianggap sebagai buruk yang perlu dijauhkan.

Keenam, teori yang menuntut sesuatu hasil seni Islam (termasuklah filem) perlu mengikut garis panduan dan menguasahakan penerapan beberapa mesej terpenting ajaran Islam di dalam masyarakat. Ianya terdiri daripada;
(i)Kepentingan menjalankan semangat kepedulian sosial di dalam hidup bermasyarakat. Peri pentingnya sifat yang mementingkan kehidupan bermasyarakat ini boleh dilihat dari beberapa intipati yang terkandung di dalam ajaran Islam;

•Semua nilai terkutuk dan sifat terpuji yang dikehendaki oleh mana-mana system masyarakat sekalipun, seperti buruknya sifat mementingkan diri dan baiknya sifat kebersamaan, tolak ansur dan sebagainya; turut menjadi agenda utama ajaran Islam.
•Kandungan terbesar Quran dan sunnah adalah menyentuh persoalan hubungan kemasyarakatan (sistem muamalah) berbanding dengan persoalan ibadah.
•Terdapat ketetapan hukum Islam yang menegaskan seandainya urusan ibadah bersamaan dengan urusan muamalah yang penting, maka urusan ibadah perlu dipendekkan ataupun ditangguhkan.
•Terdapat ketetapan yang menegaskan bahawa ibadah yang mengandungi segi kemasyarakatan diberi ganjaran lebih besar berbanding ibadah yang bersifat perseorangan. Contohnya, salat yang dikerjakan secara berjamaah dinilai lebih tinggi pahalanya berbanding salat yang dikerjakan secara bersendirian.
•Terdapat ketetapan bahawa apabila urusan ibadah dilakukan secara tidak sempurna ataupun batal, maka kifaratnya (tebusannya) adalah melakukan sesuatu yang berhubungan dengan masalah kemasyarakatan.
•Terdapat ketetapan bahawa perbuatan amal saleh dalam bidang kemasyarakatan mendapat ganjaran yang lebih besar daripada ibadah perseorangan.

(ii)Usaha pendidikan dan pemupukan semangat idealisme Islam yang sejati di dalam proses perjuangan hidup bermasyarakat. Bagi Majid Ersan Kailani, sejak awal lagi, melalui keterangan al-Quran dan Sunnah, penetapan tentang idealism Islam di dalam kehidupan bermasyarakat telahpun diperincikan dengan cukup rapi dan teliti oleh Rasulullah. Idealism Islam ini mengikut tahap-tahapnya boleh dibahagikan kepada tiga tahap yang utama;

•Tahap Rendah; idealism untuk memenuhi keperluan biologi masyarakat. Contohnya boleh dilihat daripada neraca pembangunan material ala barat yang menegaskan sesuatu negara itu akan dianggap sebagai maju seandainya ianya memiliki tiga indek pertunjuk yang utama; (i) Kadar KDNK yang tinggi, (ii) Kadar literasi yang tinggi dan (iii) kadar penduduk panjang umur yang memuaskan kerana kewujudan system kesihatan yang baik. Neraca ini walaupun sering dicanangkan sebagai bertaraf dunia, jika dinilai dari sudut kerangka penilaian idealism Islam, ianya boleh dianggap sebagai masih belum lengkap lagi dan hanya bertaraf rendah.
•Tahap pertengahan; idealism meneruskan kesinambungan zuriat masyarakat.
•Tahap paling tinggi; idealisme memperbaiki kualiti hidup beragama masyarakat. Hal ini walaupun kelihatannya terlalu ideal dan agak mustahil untuk dicapai, tetapi ianya wajib diterapkan sebagai keperluan terpenting di dalam masyarakat melalui pelaksanaan dan penguatkuasaan system undang-undang Islam.

2.Usaha untuk menerapkan budaya ilmu yang bersepadu kepada khalayak penonton Secara ringkasnya, budaya ilmu ini yang perlu diberikan penekanan di dalam kehidupan dapat diperincikan melalui beberapa elemen yang utama;
•Tindakan menjadikan pencarian ilmu itu sebagai matlamat utama kehidupan melebihi semua matlamat lain seperti matlamat mencari harta benda dan pengaruh.
•Tindakan yang menghargai semua bentuk ilmu pengetahuan samada ianya tergolong dalam ilmu Fardu Ain ataupun Fardu Kifayah.
•Tindakan yang menghargai semua bentuk sumber ilmu merangkumi sumber wahyu, alam semesta, diri manusia sendiri dan juga akal yang waras serta terpimpin.
•Terlibat secara langsung dalam proses pengajaran, pembelajaran daan penyebaran ilmu pengetahuan.
•Bertindak mengikut perkiraan ilmu yang benar dan bukannya mengikut dorongan ilmu yang salah serta hawa nafsu.
•Bersikap hormat-kritis terhadap pandangan sarjana silam dengan perkiraan dan neraca kebenaran yang berteraskan sumber wahyu.
•Bersikap selektif terhadap semua bentuk ilmu pengetahuan menggunakan pendekatan tauhid.
•Bertindak mengamalkan semua ilmu yang dimiliki secara bersepadu.

4.Usaha penerapan pemikiran kritis dan saintifik berteraskan prinsip Islam, khususnya untuk menghadapi cabaran dunia moden. Bentuk-bentuk pemikiran yang sihat ini antara lain;

•pendekatan berfikir secara autokritik menggantikan kaedah berfikir secara bentuk pembenaran. Kaedah pembenaran ini merujuk kepada cara berfikir yang tidak mengakui kelemahan diri sendiri, suka berdolah dalih dan mengaitkan sesuatu kelemahan yang berlaku kepada orang lain, kerana pada anggapannya dirinya serba cukup dan sempurna.
•Pendekatan berfikir secara kritikal dan tidak membuta tuli di dalam menghadapi sesuatu isu penting yang timbul di dalam masyarakat.
•Pendekatan berfikir secara menyeluruh menggantikan berfikir secara sebahagian. Pemikiran secara menyeluruh ini merujuk kepada pengetahuan terhadap sesuatu secara mendalam dengan mengetahui ciri-ciri, perincian dan hubungannya diantara perincian tersebut.
•Pendekatan berfikir secara reformatif menggantikan berfikir secara jumud dan tradisional
•Pendekatan berfikir secara ilmiah menggantikan berfikir secara prasangka dan mengikut hawa nafsu .
•Pendekatan berfikir sesuai dengan hukum alam menggantikan berfikir secara supra rasional dan tahyul.
•pendekatan berfikir secara berperancangan rapi (blueprint) dan bukannya secara retorik semata-mata.


KEPENTINGAN KAJIAN

Kepentingan kajian ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian yang utama, kepada pengembangan disiplin pengajian Media Islam dan pembangunan negara. Dalam bahagian yang pertama, kajian ini bakal menyumbangkan beberapa perkara;

(i)Memperkemaskan lagi program pemerkasaan disiplin Media Islam di IPTA/IPTS dengan pendekatan baru dan lebih penting lagi bakal menerapkan pendekatan perancangan strategic berteraskan prinsip SWOT untuk program reformasi ini.

(ii)Bakal memberikan maklumat untuk pelbagai disiplin Pengajian Media dan Islam di IPTA/IPTS (seperti Syariah, Usuluddin, Tamadun, ekonomi dan pengurusan) tentang kemahiran terkini yang sangat diperlukan oleh sector pekerjaan luar.

(iii)Menyediakan kerangka program pengajian disiplin Media Islam yang lebih sesuai dengan konteks dunia global yang antara lainnya dicirikan dengan potensi mementingkan ketelusan, kemahiran berfikir secara kritikal dan analisis serta kemahiran dengan ilmu ICT moden.

(iv)Boleh dijadikan sebagai pemankin utama kepada usaha merancang cara yang terbaik untuk mempertingkatkan mutu pengajian keilmuan Media Islam di Malaysia, dirujuk secara khusus kepada bentuk kurikulum, pedagogi dan kandungan subjek yang lebih bersifat semasa.

(v)Memperluaskan lagi skop dakwah Islam yang bakal memanafaatkan industri filem.

Manakala dalam bahagian yang kedua, kepentingan kajian ini boleh dirujuk kepada;

(i)Bakal memberikan input terbaik untuk usaha perancangan pembangunan industri filem Islam di dalam dimensi yang lebih luas untuk program pembangunan penyiaran di Malaysia.

(ii)Bakal memperincikan butiran kekuatan dan kelemahan yang dimiliki oleh industri filem yang boleh difikirkan kaedah terbaik untuk mempergunakan elemen kekuatan dan memperbaiki elemen kelemahan, bagi menghadapi rempuhan fenomena globalisasi.

(iv)Dapat membantu pihak kerajaan amnya dan Kementerian penerangan Malaysia dan KEKWA khususnya di dalam merangka dasar penyiaran dan perfileman yang lebih berteraskan prinsip Islam.


SKOP DAN FOKUS KAJIAN

Kajian ini dirangka khusus bakal menumpukan perhatian kepada beberapa aspek penting;

(i)Falsafah filem Malaysia semasa – merujuk kepada elemen positif dan negatif.

(ii)Perancangan pembangunan teori filem Islam – aspek garis panduan mengikut perspektif Islam.

(iii)Teori dan kerangka penilaian/kritikan filem yang berteraskan perspektif Islam.

(iv)Perancangan pembangunan bentuk dan kandungan filem Islam.

(iv)Perancangan pembangunan industri filem Islam yang bakal dipecahkan kepada tiga aspek yang utama;
(a)Produksi.
(b)Pengedaran.
(c)Pemameran (pawagam).

(v)Kajian masa depan (future studies) industri filem Islam di Malaysia.


5.HASIL DAPATAN KAJIAN

Hasil kajian ini akan dipergunakan sepenuhnya untuk tujuan berikut;

(i)Menyediakan data base lengkap membabitkan semua elemen yang membabitkan filem Islam di Malaysia, apa yang telah dicapai setakat ini dan apa yang boleh diperbaiki untuk tujuan pemerkasaan disiplin industri filem Islam moden.

(ii)Menyediakan laporan dan pelan bertindak untuk mengatasi masalah kemunduran industri filem Islam dan mempertingkatkan mutunya yang lebih bersesuaian dengan realiti Malaysia.

(iii)Menyediakan kertas laporan, kertas kerja dan monograf yang membabitkan bidang pengajian Media Islam, samada di Malaysia ataupun di luar Negara.

(iv)Menyediakan module dan manual kerja untuk program pembangunan filem Islam yang standard agar ianya boleh dipakai untuk semua pihak, kerajaan dan swasta.

LITERATURE REVIEW / KESASTERAAN

Pada dasarnya, tema kajian ini yang menyentuh isu seni dan filem Islam di Malaysia telahpun dilakukan oleh kalangan sarjana Malaysia. Apa yang telah diusahakan kebanyakannya membabitkan pelbagai aspek yang agak terhad, seperti;

1)Kajian yang menyentuh isu-isu kesenian Islam secara umum tanpa merujuk kepada mana-mana latar belakang tempat yang khusus.
2)Kajian yang menganalisa isu seni Islam yang dikaitkan dengan realiti masyarakat Melayu, yang sayangnya cenderung untuk memperkecilkan keunggulan budaya Melayu. Paradigma kajian bentuk ini terlalu berkiblatkan tradisi Arab (Arabisme) di dalam memahami konsep seni dan adat sehingga konsep urf Arab sering disamakan dengan konsep Adat dalam masyarakat Melayu. Sedangkan kedua-duanya adalah amat berbeza sama sekali. Lebih buruk lagi, sifat fanatik tradisi Timur Tengah ini ditambah pula dengan pdanangan sempit yang menganggap Timur tengah adalah satu-satunya pusat Islam yang paling betul yang perlu diteladani secara mutlak oleh penganut Islam. Atas dasar inilah dunia Alam Melayu sering dianggap sebagai kawasan Islam Peripheral (pinggiran) yang kurang jelas status keislamannya berbdaning dengan kawasan Timur Tengah.
3)Kajian yang terpengaruh budaya Taqlid era Sholastik yang menganggap semua kupasan fuqaha silam yang menyusun formula fiqh Islam berasaskan latar belakang masyarakat era pertengahan Timur Tengah sebagai bersifat transenden (suci) yang wajib dipakai untuk setiap zaman dan tidak boleh dilakukan telaah kritikal, bagi menentukan kerelevanannya untuk konteks masyarakat Melayu semasa, termasuklah dengan isu keseniaan..
4)Kajian yang diusahakan oleh sarjana orientalis barat yang berkecenderungan untuk mengambarkan sikap negatif yang melampau bagi bangsa Melayu, di samping mengambarkan keunggulan psikologi bangsa Eropah. Kajian ini lebih terpengaruh dengan prinsip evolutionism yang mana motif utamanya adalah untuk menjustifikasikan program penjajahan bangsa Eropah terhadap bangsa Melayu.
5)Kajian yang dihasilkan oleh sarjana Melayu Islam sendiri yang mengamalkan paradigma reductionism – sikap yang skeptik dan memandang rendah warisan tradisi Melayu silam. Dalam banyak hal, pendekatan mereka lebih terpengaruh dengan kaedah fuqaha dan reformisme yang lebih menekankan soal-soal apa yang dibenarkan dan apa yang tidak dibenarkan menurut pandangan Islam. Akibatnya, mereka lebih suka menilai sesuatu warisan Melayu silam secara literal semata-mata dan menganggap warisan tradisi Melayu adalah berpunca dari warisan Hindu-Buddha dan Animisme pra-Islam yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang dianggap sebagai amalan bid’ah yang harus diperangi dan sekaligus cuba meruntuhkan apa yang telah dibina oleh sarjana Alam Melayu sebelumnya.
6)Kajian yang dihasilkan oleh sarjana Melayu moden yang menjadikan pandangan sarjana barat sebagai sumber asas dan landasan teori di dalam kajian terhadap psikologi dan hasil seni manusia Melayu, yang sayangnya sumber data dan maklumat tentang diri manusia Melayu masih lagi kabur. Mereka lebih cenderung untuk menggunakan teori barat yang dipakai terhadap manusia Melayu tanpa mengambilkira agama, falsafah dan pandangan alam yang dipegang oleh orang Melayu, ataupun kalau hal ini dilakukan ianya lebih bersifat cebisan semata-mata, dan tidak bersifat holistik.
7)Kajian yang memperincikan sumbangan Islam ke atas pemerkasaan budaya Melayu dilihat dari pelbagai aspek terpenting, termasuklah dalam seni persembahan Melayu.
8)Kajian yang memperincikan tentang pengaruh fenomena globalisasi yang membawa mayatilik sekularisme Barat ke atas kebudayaan masyarakat Malaysia dalam segenap segi kehidupan merangkumi aspek sosial, seni, filem, penyiaran dan sebagainya.
9)Kajian yang melihat gambaran negatif imej Islam dan penganutnya yang dilakukan oleh media Barat, yang turut mendapat sokongan daripada sesetengah penganut Islam sendiri.
10)Kajian yang memperincikan kedudukan industri filem Malaysia yang begitu terpencil dibandingkan dengan sitcom dan filem barat, di dalam kebanyakan program penyiaran awam dan swasta di Malaysia. Ianya merupakan kesan langsung daripada pengaruh globalisasi industri budaya dunia barat di seluruh dunia.
11)Kajian yang cuba meneliti pengaruh filem di Malaysia di dalam mewujudkan kesedaran nasionalisme dan patriotisme di kalangan masyarakat Malaysia. Ianya dilihat dengan meneliti pelbagai filem semasa di Malaysia.
12)Kajian yang memperincikan konsep dan teori filem barat moden yang berasaskan kepada beberapa falsafah sekularisme yang bertentangan dengan world-view atau mayatilik Islam.

Berasaskan kepada apa yang telah dikaji ini, terdapat beberapa kekosongan kajian yang mungkin boleh diisi dengan projek penyelidikan ini, yang terdiri dari;
1)Perincian tentang falsafah, konsep, teori dan pembangunan filem Islam yang sepatutnya diamalkan oleh penganut Islam.
2)Perincian tentang kerangka penilaian dan kritikan Islam yang sepatutnya digunakan untuk menilai sesuatu hasil seni dan filem.
3)Perincian tentang falsafah filem Malaysia semasa dilihat kepada pelbagai kecenderungan ataupun tren pemikiran yang khusus, samada nasionalisme, patriotisme, liberalisme, feminisme, realisme dan sebagainya.
4)Perincian tentang program pembangunan industri filem Islam yang sepatutnya perlu menyentuh kepada tiga aspek yang utama; produksi, pemasaran dan pawangan.
5)Perincian tentang dasar dan manual kerja industri perfileman di Malaysia.
6)Perincian tentang program perancangan strategic untuk industri filem Islam yang sepatutnya diterapkan oleh IPTA/IPTS semasa, bersama dengan agensi yang berkaitan dengan industri filem di Malaysia.
7)Perincian tentang mekanisme dan hubungkaitnya sesuatu program pembangunan filem Islam dengan pelbagai agensi yang terlibat dengan industri perfileman.

KAEDAH PENYELIDIKAN

Di peringkat asasnya, sesuatu kajian yang membabitkan elemen pemikiran (proses pembentukan teori) dan proses pengubalan dasar perlu menggunakan pelbagai kaedah tertentu, seperti;

1)Kaedah analisis kandungan yang bakal meneliti kerangka epistemologi pemikiran (persoalan sumber, sifat sesuatu ilmu dan neraca penilaian) yang digunakan seseorang sarjana.
2)Kaedah pensejarahan dan perbandingan yang bakal meneliti asal usul sesuatu pemikiran serta perkaitannya dengan kawasan lain.
3)Kaedah penelitian sosiologi yang bakal meneliti latar belakang masyarakat seperti aspek sosio-politik, struktur, ekonomi dan institusi tertentu (seperti industri filem) yang mempengaruhi penghasilan sesuatu pemikiran.
4)Kaedah analisis dasar yang bakal meneliti proses pengubalan sesuatu dasar awam secara mendalam, khususnya yang membabitkan empat golongan yang utama; aktor politik, kakitangan awam, kumpulan perkepentingan (seperti NGO) dan penanggung risiko. Analisis ini akan membabitkan pelbagai peringkat pengubalan dasar; peringkat penyataan sesuatu masalah, kajian terhadap sesuatu masalah yang timbul, penyediaan model penyelesaian masalah, tapisan terhadap model penyelesaian masalah, pelaksanaan model alternatif dan pemantauan terhadap keberkesanan model alternatif.
5)Kaedah Kajian Masa Hadapan (Future Studies) yang dianggap sebagai kaedah yang baru dalam pemikiran Islam. Kaedah ini akan menitikberatkan beberapa perkara yang utama;

(a)Unsur masa – iaitu masa hadapan sebagai tujuan kajian dan masa kini sebagai titik berpijak.

(b)Proses dan fenomena perubahan (charges) serta tingkat kelajuannya sebagai objek penelitian.

(c)Implikasi perubahan dari aspek positif dan negatifnya.

(d)Alternatif-alternatif yang perlu diwujudkan melalui perancangan dan pelan tindakan serta persediaan menghadapi risiko-risiko yang bakal timbul.

Disamping keempat-empat kriteria ini, kaedah ini akan turut menggunakan teknik Delphi, Trend Extrapolation, Simulation, Scenario-writing dan lain-lain lagi. Pembinaan metodologi ini adalah sebagai suatu garisan asas untuk membantu para futuris dalam memastikan seabsahan atau validity sesuatu ramalan (forecasting) yang di lakukan. Walau bagaimanapun, berbeza dengan disiplin ilmu yang lain, kriteria utama dalam menentukan kebaikan sesuatu usaha ramalan tersebut bukan terletak pada nilai accuracy atau keupayaannya meramal secara tepat, tetapi penekanan terhadap ‘kebergunaannya’ dalam proses membuat keputusan (decision making).

Sesuai dengan sifatnya sebagai kajian yang multi disiplin, ianya akan mengabungkan beberapa dimensi disiplin yang berbeza melalui kaedah kualitatif dan kuantitatif. Ia akan menggunakan pelbagai metodologi khusus untuk tujuan pengumpulan data iaitu;

(a)Penyelidikan perpustakaan yang bakal mengumpul maklumat awal (pilot study) mengenai latar belakang kajian iaitu industri filem Islam, badan dan agensi luar (swasta dan awam) yang berkaitan. Ia akan membabitkan penggunaan sumber data yang berupa buku, akhbar, majalah, dokumen dan jurnal.

(b)Penyelidikan semi perpustakaan yang bakal meneliti data tersedia yang dikeluarkan secara rasmi oleh FINAS, KEKWA, Kementerian Penerangan Malaysia dan ITPA/IPTS yang merangkumi banci, tinjauan umum dan kadar peratusan yang dikeluarkan menyentuh maklumat tentang industri filem Islam di Malaysia.
(c)Penyelidikan semi perpustakaan juga bakal meneliti data tersedia yang dikeluarkan secara rasmi oleh beberapa agensi Islam dan semua kementerian penting di Malaysia. Ianya bakal membabitkan JAKIM, Jabatan Perdana Menteri, YADIM, Majlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam setiap negeri – yang membabitkan konsep seni.

(d)Penyelidikan secara temubual yang terancang membabitkan lima bentuk golongan iaitu;

i.Pengarah, karyawan dan pengkritik filem
ii.penerbit industri filem.
iii.Kakitangan akademik disiplin perfileman di IPTA/IPTS terpilih.
iv.Golongan yang terlibat dengan polisi maker untuk sektor awam dan swasta yang berkaitan dengan industri filem.
v.Pemimpin masyarakat.

Demi untuk menjadikan kaedah temuduga ini bersifat objektif dan boleh dipertanggungjawabkan, beberapa kaedah yang lebih bersifat mikro akan dijalankan;

(a)Mengadakan temujanji dengan setiap anggota yang bakal ditemuduga bagi memastikan mereka dapat meluangkan masa yang terbaik untuk proses temuduga.
(b)Penyelidik akan membahagikan proses temubual ini kepada dua sessi yang utama, dimulakan dengan (i) sessi pengenalan yang menjelaskan maksud dan tujuan kajian secara tidak langsung yang bakal merapatkan hubungan antara penulis dengan orang yang bakal ditemubual, (ii) sessi temuduga sebenar yang lebih serious dan berfokus kepada isi kandungan sebenar kajian ini dibuat.
(c)Untuk memastikan kebolehpercayaan maklumat dan kedudukan orang ditemuduga tidak terjejas, penyelidik akan memaklumkan kepada mereka objektif kajian dan menyediakan borang persetujuan yang mengambilkira etika persetujuan berpengetahuan (informed consent) seperti mana ditegaskan di dalam code of ethical conduct for research involving humans.
(d)Temuduga akan dilakukan secara terancang dengan menggunakan pita rakaman dan catitan, yang kemudiannya dipindahkan ke dalam bentuk transcipt penulisan.
(e)Soalan yang agak rapi dan terancang telah disediakan terlebih dahulu. Di samping juga, terdapat beberapa soalan spontan yang digunakan akibat daripada beberapa isu dan jawapan yang diberikan oleh orang ditemuduga.
(f)Kesemua orang yang ditemuduga adalah merupakan kakitangan yang memegang jawatan penting atau pun mempunyai autoriti di dalam pengubalan dasar awam, khususnya yang membabitkan tema yang dikaji; program pembangunan filem Islam. Hal ini dilakukan demi untuk memastikan data-data yang diperolihi adalah tepat dan boleh menjadi sumber rujukan utama.
(g)Isi kandungan temuduga ini telah dipastikan agar ianya lebih ersifat menjurus kepada skop dan tumpuan kajian.
(h)Proses pengumpulan data melalui temuduga dan pemerhatian kerap kali dibantu dengan pengumpulan data dokumen rasmi yang berupakan laporan mesyuarat, minit mesyuarat, pamplet, brosure dan sebagainya yang dikategorikan sebagai dukomen sulit.
(i)Kaedah tringulasi telah digunakan bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan data yang terkumpul melalui temuduga. Melalui kaedah ini penyelidik tidak hanya bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh seorang anggota koleksi sahaja, sebaliknya merujuk kepada anggota lain supaya data yang diperolihi adalah tepat dan konsisten.
(e)Penyelidikan secara turut serta dan tinjuan terhadap suasana perkembangan industri filem Islam di Malaysia. Kaedah ini bakal membantu pengkaji menilai kebenaran dan kesahihan maklumat yang diperolihi daripada borang soal selidik. Dengan kaedah ini, pengkaji akan menghadiri kuliah, ceramah, seminar dan program yang dianjurkan oleh pengiat filem ini.

(f)Data penting yang dikumpul melalui kaedah (1) hingga (6) akan dianalisa secara kualitatif dan kuantitatif, khususnya dengan menggunakan program SPSS.

No comments: