Monday, February 15, 2010

KONSEP FIQH ISLAM SEMASA DAN PARADIGMA PENYELESAIAN MASALAH SALAH LAKU REMAJA DI MALAYSIA

KONSEP FIQH ISLAM SEMASA DAN PARADIGMA PENYELESAIAN MASALAH SALAH LAKU REMAJA DI MALAYSIA

kertas kerja ini merupakan dapatan kajian awal daripada Projek FRGS Tahun 2008 FR021/27A, Bertajuk : Faktur-Faktur Keagamaan Dan Tingkah Laku Tidak Bermoral Di Kalangan Remaja Melayu : Kajian Di Beberapa Negeri Terpilih Di Malaysia. Tumpuan utama kertas kerja ini akan diberikan kepada paradigma konsep fiqh semasa bagi penyelesaian masalah salah laku remaja di Malaysia. Kajian ini disusun khusus akan mengandungi beberapa bahagian yang utama; pertama, pengenalan kepada projek kajian. kedua, metodologi kajian yang dijalankan. Ketiga, konsep fiqh Islam semasa : elemen asas dan metodologi. keempat, paradigma fiqh Islam semasa dalam menanggani isu salah laku remaja di Malaysia. Kelima, rumusan dan kesimpulan.


oleh,

Prof. Madya Dr. Raihanah Azhari &
Prof. Madya Dr. Rahimin Affandi Abd. Rahim,
Jabatan Fiqh dan Usul,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya,
Lembah Pantai 50603, Kuala Lumpur.
Telepon : 03-79676080/ 012-3192177.
Email : faqir_ila_rabbih@um.edu.my
Email : Rahimin_afandi@hotmail.com





















KONSEP FIQH ISLAM SEMASA DAN PARADIGMA PENYELESAIAN MASALAH SALAH LAKU REMAJA DI MALAYSIA

Oleh,

Prof. Madya Dr. Raihanah Azhari &
Prof. Madya Dr. Rahimin Affandi Abd. Rahim,
Jabatan Fiqh dan Usul,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya,
Lembah Pantai 50603, Kuala Lumpur.

Pengenalan Kepada Projek Kajian.
Sejarah manusia merupakan urutan peristiwa yang membabitkan penggunaan pemikiran manusia menangani persoalan hidup. Pandangan ini dibuat berasaskan kemampuan manusia menggunakan potensi akal yang mampu untuk (i) mengatasi ancaman daripada persekitaran; (ii) menghadapi ancaman musuh dari dalam dan luar; serta (iii) membangun dan memperkembangkan tamaddun manusia ke arah bentuk yang lebih baik bagi menjamin kelangsungan kehidupan zuriat manusia.( Abdul Rahman Abdullah, 1997, Hlm 13-14.) Dalam konteks ini, salah satu daripada penggunaan daya pemikiran manusia adalah dilakukan penyelidikan ilmiah bagi mengenalpasti dan menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi manusia. Bagi memastikan sesuatu penyelidikan ilmiah berjalan dengan betul dan menepati objektif, ianya perlu dilakukan mengikut landasan dan paradigm yang sepatutnya. Paradigma adalah satu set proposisi (rancangan usulan) yang menerangkan bagaimana dunia harus difahami. Ia berisikan sebuah pandangan dunia (world-view), suatu cara untuk memecahkan kerumitan dunia, yang memberitahu seseorang ilmuan tentang apa yang penting, apa yang sah dan apa yang bersesuaian dengan logik.( Mona Abdul-Fadl, 1989)
Berasaskan kepada fakta ini, maka kajian ini akan cuba menerangkan tentang paradigma yang dijadikan kerangka asas untuk projek FRGS Tahun 2008 FR021/27A, yang bertajuk : Faktur-Faktur Keagamaan Dan Tingkah Laku Tidak Bermoral Di Kalangan Remaja Melayu : Kajian Di Beberapa Negeri Terpilih Di Malaysia. Ianya bertitiktolak kepada paradigma dan teori fiqh semasa yang cuba dibangunkan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh golongan remaja Melayu-Islam semasa.

Metodologi Kajian Yang Dijalankan.
Dalam menjalankan kajian FRGS ini, dua kaedah utama telah digunakan untuk mengumpul data.
1. Pengumpulan data melalui kaedah Perpustakaan- Bagi membentuk landasan konsep dan teori bagi kajian ini, maka rujukan perlu dibuat terhadap bahan-bahan semasa yang terdapat dalam depositori perpustakaan dalam tajuk yang berkaitan. Ini bagi melihat perkembangan semasa tentang kajian-kajian yang berkaitan dengan remaja. Di samping bahan-bahan literatur dalam simpanan perpustakaan, dokumen-dokumen penting dan rasmi seperti minit mesyuarat, laporan penyelidikan dan laporan-laporan lain, statistik, dokumen-dokumen rasmi Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga merupakan data-data penting bagi kajian ini.
2. Pengumpulan data melalui kajian lapangan- Data-data utama diperolehi melalui kajian lapangan. Data-data utama diperolehi melalui teknik kajian lapangan iaitu melalui temubual secara mendalam (in-depth interview), soal selidik, dan kaedah pemerhatian (observation).
1) Temubual – Temubual akan dijalankan terhadap :-
a) Remaja yang berisiko seperti mereka yang menghuni rumah-rumah perlindungan dan pemulihan. Oleh kerana remaja ialah ialah fokus kajian ini dan merekalah yang terlibat secara langsung dalam perlakuan ini maka pandangan mereka adalah paling penting untuk melengkapi tajuk kajian. Bagi remaja yang berisiko temubual ini akan dilakukan untuk mengenalpasti sikap dan cara hidup mereka serta pengalaman-pengalaman yang telah dilalui semasa melakukan aktiviti tidak bermoral ini. Untuk tujuan ini beberapa soalan akan dirangka secara teliti untuk mendapatkan pandangan terdekat bagi mencungkil fakta realiti hidup mereka.
b) Remaja-remaja yang tidak berisiko. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih adil dan seimbang, remaja yang tidak berisiko juga akan ditemubual secara yang mendalam untuk mengenalpasti apakah faktor yang boleh menghalang mereka dari terjebak dalam gejala tidak bermoral. Dengan demikian, penilaian yang lebih seimbang dapat dibuat untuk mengenalpasti apakah faktor keagamaan yang menjadi peampan untuk mereka melakukan perkara-perkara tidak bermoral.

Temubual secara mendalam akan dilakukan oleh para penyelidik. Temubual ini dilakukan secara terancang menerusi soalan-soalan yang dibentuk terlebih dahulu untuk mendapatkan maklumat yang menjurus kepada skop dan tumpuan kajian. Temubual ini perlu dilakukan oleh penyelidik sendiri kerana kemungkinan akan terhasil beberapa soalan yang berbangkit daripada jawapan yang diberikan oleh orang yang ditemuduga. Dalam hal ini kepakaran seseorang penyelidik adalah diperlukan untuk mengemukakan soalan-soalan yang spontan atau tidak berstruktur. Oleh yang demikian, adalah signifikan kaedah ini dikendalikan oleh penyelidik sendiri.
2) Soal Selidik -Satu set soal selidik akan dibentuk untuk mengenal pasti aspek-apsek penghayatan iman dan Islam serta akhlak dikalangan remaja. Ia juga dibentuk untuk menilai perbezaan dan hubungan diantara aspek keagamaan dengan tingkahlaku bermoral dan tidak bermoral dikalangan remaja
3) Pemerhatian-Pemerhatian akan dilakukan untuk melihat secara lebih jelas proses pemulihan dan juga kehidupan remaja berisiko di Pusat-pusat perlindungan atau pemulihan. Kaedah ini juga bertujuan untuk memperkukuhkan lagi maklumat-maklumat yang diperolehi melalui temubual.





Teori dan Paradigma Fiqh Islam Semasa Dalam Menanggani Isu Salah Laku Remaja Di Malaysia.
Seperti mana dijelaskan dalam bahagian yang terdahulu, kajian ini bukannya bersifat teoritikal semata-mata, bahkan akan turut dijalankan secara praktikal dengan mengambilkira semangat fiqh semasa.

Teori Fiqh Semasa (Malaysia)
Teori Fiqh semasa (Malaysia) ialah suatu percubaan untuk menyediakan sistem fiqh Islam yang bersifat semasa, yang difikirkan paling sesuai untuk masyarakat Malaysia. Pemakaian konsep ini sebenarnya melibatkan beberapa proses utama;
1) proses memperluaskan cakupan jawapan syariah terhadap persoalan moden dan merumuskan sistem fiqh yang bersifat semasa. Konsep fiqh Malaysia ini ataupun juga dikenali dengan fiqh kontemporari mempunyai asas otoritinya daripada metodologi Ilmu usul al-fiqh. Perkataan fiqh dalam penggunaan biasa membawa maksud pemahaman tentang apa sahaja, samada secara mendalam atau sebaliknya. Oleh itu, fiqh kontemporari ini bermaksud pemahaman atau pemikiran semasa dalam menghasilkan keputusan terhadap hukum-hukum atau prinsip-prinsip syariah, yang dihadapi oleh sesuatu masyarakat. Lebih tepat lagi, ianya adalah usaha yang cuba memperluaskan cakupan jawapan syariah terhadap persoalan yang dialami oleh masyarakat.
2) proses menghormati dan optimistik terhadap fungsi akal di dalam memahami, menyusun dan merumuskan hukum Islam. Ia secara langsung mengakui dinamisme kefahaman manusia menanggani kehendak syarak. Bersesuaian dengan sifat masyarakat yang sentiasa berkembang dan berubah, secara rasionalnya pemahaman (fiqh) itu juga mempunyai tahap yang sentiasa berkembang. Dalam soal ini fuqaha telah mengkategorikan tahap-tahap pemahaman ini kepada dua; pertama, kefahaman biasa yang dimiliki oleh semua orang yang waras yang menjadi asas kepada taklif, penguatkuasaan hukum dan tanggungjawab syara’ terhadap seseorang individu. Tahap keduanya, kefahaman yang mendalam yang amat diperlukan untuk memahami khitab (maksud) kehendak Allah dari sumber Quran dan Sunnah. Golongan yang memiliki tahap kefahaman ini dikenali sebagai faqih. Di kalangan mereka inilah yang mencapai tahap kemampuan fiqh yang mendalam hingga boleh mencapai kepada taraf mujtahid, iaitu orang yang mampu menganalisa sendiri hukum-hukum berkenaan dengan persoalan syariah secara terus dari sumber-sumber syarak.
3) proses penggunaan kaedah ilmiah dan sikap kritikal terhadap sumber hukum Islam, samada sumber Naqli ataupun Aqli. Sebenarnya, memang terdapat perbezaan yang jelas di antara Syariah dan sistem fiqh. Perkataan syariah biasanya digunakan untuk merujuk kepada keseluruhan ajaran Islamyang menyebabkan ianya menjadi sinonim dengan perkataan al-Din dan Millah, yang biasanya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai agama. Atas dasar ini Syariah adalah merupakan himpunan hukum dan kehendak Allah yang ditetapkan di dalam al-Quran dan Sunnah yang kemudiannya secara pasti mempunyai beberapa elemen yang khusus; (i) bersifat sangat murni dan tidak mengandungi apa-apa cacat cela (muqaddas), (ii) kebenarannya adalah bersifat mutlak dan tanpa syarat, (iii) cakupannya adalah lengkap dan komprehensif (syumul) dan (iv) kuatkuasanya adalah bersifat alami iaitu universal, abadi dan kekal untuk selama-lamanya.
Berbanding dengan konsep syariah, konsep fiqh adalah merujuk kepada usaha pemahaman dan penafsiran seseorang fuqaha terhadap sumber syariah (Quran dan Sunnah) bagi membuat kesimpulan hukum dengan menerima pakai kaedah perundangan Islam. Atas dasar inilah ianya bersifat relatif yang diungkapkan sebagai;
“ aspek fiqh atau kefahaman ini telah memberi sifat dan warna yang tersendiri kepada umum. Meskipun semua hukum Islam itu pada hakikatnya khitab Allah yang dizahirkan melalui wahyu, namun sebagai yang difahami oleh fuqaha ia sudah mengandungi unsur lain yang di luar khitab itu sendiri iaitu mentaliti dan keilmuan fuqaha berkenaan, persekitaran di mana hukum itu difahami dan banyak lagi. Dengan kata lain, ia tidak semestinya muqaddas, mutlaq, syumul dan abadi.”

Mekanisme Pembentukan Fiqh Semasa
Proses pembentukan fiqh semasa bukanlah dibuat secara teoritikal semata-mata, tetapi ianya telah dijadikan projek utama oleh Jabatan Fiqh dan Usul, APIUM yang berusaha melanjutkannya dalam bentuk aplikasi terhadap beberapa keperluaan semasa umat Islam di Malaysia. Ianya membabitkan isu ekonomi, budaya, kepenggunaan, fatwa, zakat, pengajian syariah, Dasar Pendidikan Nasional dan banyak lagi, termasuklah juga dengan masalah salah laku remaja di Malaysia.
Mekanisme pembentukan fiqh semasa ini telah menggunakan beberapa saluran utama;
Pertama, keperluaan seseorang fuqaha Islam mengamalkan sikap proaktif di dalam menanggani terhadap sesuatu persoalan yang timbul di dalam masyarakat. Dalam soal ini, seseorang Fuqaha perlu mengamalkan beberapa perkara yang utama;
1) mengamalkan pendekatan aktif sebagai ganti kepada pendekatan pasif terhadap sesuatu isu dan masalah yang timbul di dalam masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan pendekatan aktif adalah usaha fuqaha yang menyebarkan kepada masyarakat tentang apa dan bagaimana sesuatu tindakan amali manusia patut dilakukan mengikut Islam. Manakala pendekatan pasif pula merujuk kepada usaha fuqaha menerangkan terhadap apa-apa masalah yang timbul daripada peristiwa hukum (waqi’ah) samada ianya bertentangan dengan hukum Islam ataupun tidak. Berasaskan realiti yang ada, ternyata pendekatan pasif lebih kerap digunakan untuk zaman moden ini. Bersesuaian dengan tugas fuqaha sebagai pewaris nabi-nabi, sepatutnya tugas mereka bukan terhad kepada menjadi penyaksi kepada peristiwa sejarah di zamannya, tetapi apa yang lebih penting lagi mereka patut menjadi tenaga utama yang mengerakkan peristiwa sejarah tersebut dengan menganalisis permasalahan semasa dan mengemukakan jawapan yang terbaik.
2) Mengkaji punca dan latar belakang masalah yang timbul secara mendalam dan lebih holistic, dan sebaiknya seseorang fuqaha itu perlu mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar yang kompeten, walaupun ianya bukan daripada kalangan fuqaha Islam itu sendiri. Jadi, dalam kes salah laku remaja, tidak dapat tidak seseorang fuqaha itu perlu mendapatkan maklumat yang lengkap daripada pakar yang berkaitan ataupun perlu merujuk kepada bahan kajian yang diusahakan oleh pakar tersebut.
3) Mengkaji jawapan Islam daripada sumber klasik ataupun semasa yang kemungkinan mempunyai asas dan prinsip yang hampir bertepatan dengan tema yang dikaji. Dalam soal ini, seseorang fuqaha perlu mengamalkan pendekatan perbandingan mazhab yang lebih terbuka dan tidak terpengaruh dengan budaya Taqlid kepada warisan silam ataupun kepada warisan sekularisme barat.
4) Mengamalkan sikap yang selektif terhadap bahan-bahan kajian luar samada bahan dari mazhab Islam lain ataupun bahan daripada barat. Merujuk kepada bahan dari mazhab Islam yang lain, seseorang sarjana Islam perlu bersifat terbuka dan tidak membataskan penyelesaian kepada sesuatu mazhab semata-mata. Apa yang lebih penting lagi, beliau perlu mengakui dan menghormati pandangan fuqaha lain yang terbabit di dalam proses mendapatkan maklumat untuk sesuatu penyelidikan hukum dan seterusnya melakukan analisa yang terbaik terhadap fakta terbabit. Hal ini boleh dilakukan dengan pendekatan model fiqh perbandingan membabitkan semua mazhab terbesar di dalam Islam, dengan cara menerima pakai sumber yang berbeza, meneliti hujah yang digunakan secara terbuka dan memilih untuk menerima pakai mana-mana pendapat yang lebih bertepatan dengan kehendak syarak. Dalam pendekatan ini seseorang fuqaha perlu membebaskan diri dari belenggu fanatik mazhab dan mengutamakan maslaha perpaduan ummah melebihi segala-galanya.
5) Mengkaji jawapan Islam yang terkandung di dalam precedent warisan silam secara kontekstual dan perlu mengambilkira reality zaman moden ini. Kepentingan menggunakan kaedah pentafsiran kontektual yang tidak terlalu static berasaskan kepentingan maslahah semasa.
6) Mengenalpasti kaedah terbaik untuk menerapkan jawapan penyelesaian masalah Islam terhadap isu salah laku remaja. Salah satu daripada kaedah ini adalah mengamalkan pertimbangan tatbiq melalui prinsip bara’ah asliyyah. Berasaskan kepada pembahagian fuqaha yang membahagikan syariah Islam kepada dua bidang utama, ibadat dan mu’amalat, fuqaha telah merumuskan suatu kaidah penting bahawa sesuatu ibadat itu pada dasarnya batal hukumnya kecuali ada dalil yang memerintahkannya, sebaliknya sesuatu mu’amalat itu pada dasarnya adalah sah hukumnya kecuali ada dalil yang mengharamkannya. Dengan penggunaan konsep ini, antara lainnya akan memudahkan usaha seseorang fuqaha menetapkan sesuatu hukum yang difikirkan paling sesuai untuk realiti sesuatu masyarakat berasaskan kepada kemaslahatan semasa. Di samping itu juga ianya dapat menyedarkan manusia tentang keperihatinan dan kemudahan yang terkandung di dalam syariah Islam. Bukan setakat itu sahaja, kajian susulan dalam bentuk sosiologi hukum perlu sentiasa dilakukan bagi mengetahui samada ianya mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi ataupun sebaliknya.

Kedua, menyediakan metodologi penyelidikan hukum yang bersifat bersepadu. Kaedah penyelidikan bersepadu ini perlu mengabungkan antara kaedah ilmu usul al-fiqh dan pengajian sosial moden. Hasil analisa yang dibuat oleh Dr. Louay Safi mendapati bahawa karya-karya fiqh Islam klasik, khususnya ilmu usul al-fiqh memang mempunyai kaedah yang berguna untuk tujuan analisis teks. Akan tetapi karya-karya ini tidak mempunyai kaedah analisa terhadap sesuatu gejala sosial yang boleh digunakan untuk tujuan menganalisa sesuatu gejala sosial, seperti contohnya gejala perubahan budaya yang timbul di dalam masyarakat. Ketandusan ini amat dikesali memandangkan pengetahuan tentang realiti gejala sosial yang termasuk di dalam kaedah ijtihad tahqiq al-manat (mengenalpasti latarbelakang realiti masalah) amat diperlukan sebelum proses ijtihad takhrij dan tanqih al-manat dapat dilaksanakan. Oleh sebab itu, sarjana Islam perlu menerima pakai metode analisa gejala sosial ini yang kebetulannya boleh didapati dari tradisi sains sosial moden.
Kelancaran fuqaha menjalankan tugas penyelidikan hukum secara jelas dapat dibantu dengan ilmu sains sosial. Ini kerana antara kandungan utama sains sosial adalah, (i) pengetahuan tentang apa yang berkembang di dalam masyarakat, dan (ii) pengetahuan tentang kenapa sesuatu tindakan dan perkembangan itu timbul di dalam masyarakat. Pada kebiasaannya, untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan objektif dalam bahagian ke (ii) ini, ilmu sains sosial lebih menekankan kajian soal selidik yang bersifat saintifik bersesuaian dengan objek yang dikaji. Kekuatan utama pendekatan ini adalah ianya akan memperolihi hasil yang lebih tepat, terkini dan tidak stereotpye dengan kajian sebelumnya.
Maklumat terkini yang terhasil dari penggunaan kaedah sains sosial ini akan memberi impak yang berguna untuk proses penyelidikan ijtihad. Dalam sesuatu proses ijtihad terdapat tiga asas operasi ; (a) proses memahami wahyu dengan pendekatan semasa, (b) realiti tempat yang akan dilaksanakan jawapan yang diselidiki tersebut dan (c) daya penyelidik itu sendiri yang melakukan ijtihad. Kalau dilihat secara mendalam terhadap ketiga-tiga asas ini, kita akan mendapati bahawa faktor utama yang dapat menjayakannya adalah dengan menerapkan pendekatan semasa dan moden bersesuaian dengan realiti tempatan.
Di antara kepentingan pengajian sosial dan kaitannya secara langsung dengan usaha pembinaan fiqh Malaysia dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian yang khusus, seperti;
1) Kaedah analisa gejala sosial tentang apa yang berlaku di dalam masyarakat. Mengikut kaca mata kaedah sains sosial moden, untuk tujuan menjadikan sesuatu kajian itu bersifat logiko-empirikal, sebarang usaha mendapatkan maklumat tentang apa yang berlaku yang biasanya merupakan sesuatu permasalahan, perlu menggunakan beberapa metode penyelidikan lapangan yang khusus merangkumi (i) metode soal selidik, (ii) interview, (iii) observation, (iv) persampelan dan (v) eksperimen .
2) Merujuk khusus kepada metode eksperimen, ternyata metode ini paling sesuai untuk digunakan oleh seseorang fuqaha, sebagai contohnya, di dalam dua bidang utama, fiqh jenayah dan fiqh kepenggunaan. Untuk memperkemaskan lagi fiqh jenayah, seseorang fuqaha boleh memanafaatkan metode klinikal yang mengkaji secara terperinci perbuatan bilazim seseorang yang terlibat melakukan sesuatu perbuatan jenayah. Hasilnya, dengan bantuan metode klinikal ini, fuqaha boleh mengemukakan jawapan hukum yang berbentuk, samada hukuman yang setimpal bagi mengelakkan sesuatu kesalahan itu berulang, ataupun dapat mencadangkan bentuk hukuman yang boleh memulihkan seseorang pesalah tersebut.
3) Begitu juga metode klinikal ini dilihat sebagai alat bantu utama yang boleh digunakan dalam fiqh kepenggunaan. Sebagai contohnya, sebelum memutuskan sesuatu hukum membabitkan soal kepenggunaan, fuqaha perlu mengetahui dengan terperinci tentang bagaimana proses kimia yang menghasilkan sesuatu barangan itu dibuat, termasuklah segala elemen yang terlibat di dalam sesuatu pemerosesan barangan. Dengan cara ini, fuqaha akan mengetahui secara pasti apa-apa elemen yang kotor, haram dan merbahaya untuk kesihatan pengguna, yang bakal dikeluarkan jawapan hukum yang bersesuaian dengan realiti yang ada.

Paradigma Penyelidikan Hukum Terhadap Sesuatu Masalah Yang Timbul Di Dalam Masyarakat
Dalam pengalaman kajian terhadap masalah salah laku golongan remaja di Malaysia, pihak penyelidik dapat mempelajari bahawa sifat permasalahan masyarakat itu sentiasa berubah, saling berkait dengan berbagai faktur sampingan dan begitu rencam sifatnya. Atas dasar ini, kita dapat mencadangkan beberapa paradigma yang perlu dijalankan bagi mengelakkan sesuatu kajian hokum Islam menjadi terlalu bersifat legal formalistik. Pada kebiasaannya, sesuatu kajian yang membabitkan analisis hukum Islam yang diusahakan oleh fuqaha Islam lebih bersifat legal formalistic (Halal ataupun haram), yang menyebabkan kupasannya lebih bersifat kaku dan cenderung kepada tindakan menghukum dan bukannya bersifat konstruktif bagi mendidik golongan sasaran kajian, anggota masyarakat. Sebaiknya, sarjana Islam perlu memikirkan untuk menggunakan pendekatan kajian yang lebih terbuka dan holistic (menyeluruh) dalam proses penilaian sesuatu persoalan hukum Islam. Hal ini bersesuaian dengan tren perubahan paradigma keilmuaan yang secara lantang disuarakan oleh banyak pihak. Ianya terdiri dari pendekatan;
1) Mechanism; pendekatan yang lebih terbuka berbanding pendekatan legal formalistic (Formism), yang memberikan penekanan kepada sifat pokok sesuatu mechanisme iaitu soal kontinuiti dan mekanis. Menurut paradigma ini semua gejala kehidupan adalah bersifat bersinambungan dalam proses mekanis yang terus bergerak. Ianya paling disesuai diterapkan dalam kerangka kajian yang membabitkan elemen kemasyarakatan, memandangkan masyarakat manusia bukannya static dan selalu berubah, samada ke arah yang lebih baik ataupun sebaliknya.
2) Organism ; seluruh reality kehidupan pada dasarnya berjalan secara harmonis, integrated, penuh perkaitan antara factor dalaman dan luaran serta penuh dengan kepastian. Atas dasar ini, kaedah terbaik untuk memahami reality kehidupan manusia perlu mengabungkan kesemua bentuk disiplin keilmuan, seperti sejarah, sosiologi, ekonomi dan sebagainya.
3) Pragmatism ; semua fenomena kemanusiaan yang dikaji adalah bersifat kontekstual, tidak ada satupun dalam kehidupan ini yang tidak berkait dengan konteks dan kondisinya yang bersifat khusus. Atas dasar ini, kajian terhadap elemen manusia akan menjadi lebih mendalam sekiranya dilihat kepada aspek konstektual sesuatu objek yang dikaji.


Kesimpulan.

Sebagai rumusan akhir, dapat kita katakan bahawa proses pembentukan konsep fiqh semasa sebagai teori dan paradigma asas penyelidikan adalah merupakan suatu keperluaan ilmiah amat mendesak sekali. Seperti mana halnya dengan disiplin moden yang menyaksikan keperluan dilakukan penetapan landasan teori dan paradigma yang bersesuaian, maka hal yang sama perlu dilakukan kepada projek pembentukan konsep fiqh semasa. Atas dasar inilah, mana-mana projek penyelidikan yang membabitkan apa-apa sahaja tema yang berkaitan dengan konsep fiqh semasa perlu didasarkan kepada kerangka dan paradigma yang jitu seperti mana dijelaskan dengan panjang lebar dalam kajian ini. Dengan cara ini, sesuatu kajian yang dilakukan akan dapat menghasilkan dapatan kajian yang lebih jitu; bersesuaian dengan prinsip asas Islam dan mampu memahami serta menyelesaikan masalah yang dihadapi secara tuntas. Seterusnya, kajian tersebut perlu dilanjutkan dan disemak (ulangkaji) oleh para penyelidik yang lain di masa yang akan datang.




































BIBLIOGRAFI

Ab. Alim Abdul Rahim, Pengantar psikologi bilazim, Kuala Lumpur, 1994
Abdul Rahman Abdullah, Pemikiran Islam di Malaysia : Sejarah dan aliran, Jakarta, 1997
Abdulaziz Sachedina, “ Ali Shari’ati : Idealogue of the Iranian revolution “, dalam Voices of resurgent Islam, New York, 1983
Abdullah Ali Haji Hassan, “ Permasalahan intelektual dalam pembinaan Hukum Islam semasa di Malaysia “, dalam (ed. Oleh Abdul Karim Ali dan Raihanah Azhari) Hukum Islam semasa bagi masyarakat Malaysia yang membangun, Kuala Lumpur : Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 1999
-----, “ Penyelidikan sebagai asas kemantapan pengajian syariah “, dalam Dinamisme pengajian syariah, Kuala Lumpur, 1997
Abdul wahab Afif, Fiqh antara pemikiran teoritis dengan praktis, Bandung, 1999
Abdul Salam Madkhul, al-Madkhal li fiqh al-Islami, Kaherah, 1996
Abu Ala Mawdudi, “ The imperative and objective of Islamic research “, dalam Conceptual and methodological issues in Islamic research : A few milestones, Kuala Lumpur, 1996
Ahmad Hidayat Buang, “ Penyediaan dan pengeluaran fatwa “, dalam (edit) Ahmad Hidayat Buang, Fatwa di Malaysia, Kuala Lumpur : Jabatan Syariah dan Undang-undang, APIUM, 2004
Amir Mualim, Ijtihad dan legislasi Muslim Kontemporer, Yogyakarta : UII Press, 2004
Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi, Konsep kesihatan melalui pemakanan : Pendekatan Islam dan sains, Kuala Lumpur, 2000
Faisal Othman, “ Kaitan ilmu-ilmu agama dengan sains sosial “, dalam Islamiyyat, v. 7, 1986
Hashim Musa (A.R), Fieldwork : Satu pencarian dan pengalaman, Kuala Lumpur, 1996
Lokman Ab. Rahman, Halal products : comsumerism, technology and procedures, Melaka, 2001
Louay Safi, Asas-asas ilmu pengetahuan : satu kajian perbandingan kaedah-kaedah penyelidikan Islam dan barat, terj. Nur Hadi Ihsan, Kuala Lumpur, 1998
Mahmood Zuhdi Abd. Majid, “ Pengajian syariah : suatu pentakrifan “, dalam (ed. Oleh Mahmood Zuhdi Abd. Majid) Dinamisme pengajian syariah, Kuala Lumpur, 1997
-------, “ Hukum Islam semasa bagi masyarakat Malaysia yang membangun “, dalam (ed. Oleh Abdul Karim Ali dan Raihanah Azhari) Hukum Islam semasa bagi masyarakat Malaysia yang membangun, Kuala Lumpur : Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 1999
-----, Hukum Islam semasa di Malaysia : prospek dan cabaran, Teks Syarahan perdana pada 16hb. Ogos 1997
-----, Pengantar undang-undang Islam di Malaysia, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 1997
------, Beberapa pemikiran tentang ijtihad, islah dan tajdid, Kuala Lumpur, 1994
Mastuhu, “ Penelitian Agama Islam : perspektif Antar disiplin ilmu : Tinjauan disiplin sosiologi ‘, dalam Tradisi baru penelitian Agama Islam : tinjauan antar-disiplin ilmu, Bandung : penerbit Nuansa, 1998
Mohd Daud Bakar, “ Hukum Islam : Antara prinsip Syariah dan Perbendaharaan Fiqh “, dalam dalam (ed. Oleh Abdul Karim Ali dan Raihanah Azhari) Hukum Islam semasa bagi masyarakat Malaysia yang membangun, Kuala Lumpur : Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 1999.
Mohd Kamil Ab. Majid, “ Ulama dan perubahan social dalam Islam “, dalam Jurnal usuluddin, bil. 10, 1999
-----, “ Sejarah perkembangan penulisan hukum Islam di Malaysia : Tumpuan khusus di negeri Kelantan “, dalam Jurnal Syariah, v. 1, bil. 1, 1993
-----, “ Sosiologi Islam : suatu pengenalan “, dalam Jurnal Usuluddin, bil 3, 1995
Muhammad Abbas Husni, Perkembangan Fiqh Islam, terjemahan Mohd Asri Hashim, Kuala Lumpur, 1996
Muhammad Nabil Muhammad Syukri, “ Pembaharuan fiqh : Keperluan dan metodologi “, dalam Pengasoh, bil. 562, 2000
Mahmood Nazar Mohamed, “ Asas-asas penyelidikan Sains sosial “, dalam Pengenalan kepada Sains Sosial, Kuala Lumpur, 1998
Muhammad Iqbal, The reconstruction of religious thought in Islam, Islamabad, 1981
Muhammad Said Busytami, Mafhum Tajdid al-Din, Kuwait, 1984
Paizah Hj. Ismail, “ Fiqh al-Awlawiyat : Konsep dan hubungannya dengan fiqh al-Muwazanat, fiqh al-Syar’ dan fiqh al-Waqi’ dalam pelaksanaan hukum Islam “, dalam dalam (ed. Oleh Abdul Karim Ali dan Raihanah Azhari) Hukum Islam semasa bagi masyarakat Malaysia yang membangun, Kuala Lumpur : Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 1999.
Rahimin Affandi Abdul Rahim, “ Ijtihad : satu analisis perbandingan “, dalam Jurnal Syariah, v.1, bil. 2, 1993
-----, “ Etika Penyelidikan Islam : suatu analisa “, dalam Jurnal Afkar, v. 1, 2000
-----,“ Pengajian Sosial dan hubungannya dengan pembinaan Hukum Islam semasa : Satu analisa “ dalam Isu-isu Sains Sosial dari perspektif Islam, (ed) oleh Rahminah Muharam, Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah, 2003
-----,“ Budaya Taqlid di dalam masyarakat Melayu : satu tinjauan ringkas “, dalam Jurnal Syariah, v. 3, bil. 1, 1995
-----,“ Gerakan Tajdid di Malaysia : Teori dan realiti “, dalam Dinamisme pengajian Syariah, Kuala Lumpur, 1997
-----,“ The significance of the itjihad in the development of the Muslim law “, dalam Sarjana, v. 10, 1993
-----,“ Pengamalan ilmu usul al-fiqh di dalam sastera undang-undang Melayu : satu analisa “, dalam Seminar Kesusasteraan dan undang-undang, anjuran Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, pada 26-27hb Julai 2001
Taha Jabir al-Alwani, “ Taqlid and the stagnation of the Muslim mind “, dalam The American Journal of Social Sciences, v. 8, no. 3, 1991
Teh Yik Koon, “ Pengenalan kepada sains sosial “, dalam Pengenalan kepada Sains Sosial, Kuala Lumpur, 1998
Wan Mohd. Nor Wan Daud, Penjelasan budaya Ilmu, Kuala Lumpur, 1997
Yusuf Qardawi, Fatwa antara ketelitian dan kecerobohan, terjemahan Ahmad Nuryadi Asmawi, Batu Caves, 1992
Yunus Soualhi, The doctrine of certainty in the Islamic legal methods of inference, tesis Ph.D untuk Jabatan Fiqh dan Usul, APIUM, 1999
Zulkiple Abd. Ghani, “ Teknologi Maklumat : Hubungannya dengan perkembangan hukum Islam semasa “, dalam Hukum Islam semasa bagi masyarakat Malaysia yang membangun, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 1999

No comments: