Wednesday, January 27, 2010

MEMPERKASAKAN BUDAYA BERFIKIR ISLAM : SUATU ANALISA

Pendahuluan
Dewasa ini, Islam sering dikaitkan dengan segala nisbah keburukan yang tidak terfikir oleh akal yang waras. Usaha ini pada mulanya telah disebarkan oleh sarjana dan media barat dan apa yang paling dikesalkan ia telah turut disokong kuat oleh kalangan sarjana dan pemerintah umat Islam sendiri. Di Malaysia sendiri, fenomena ini telah mula dirasakan pengaruhnya apabila baru-baru ini telah diadakan suatu wacana ilmiah dengan menjadikan tema penutupan minda umat Melayu Islam sebagai asas perbincangan utama . Seperti dijangkakan, di dalam wacana ini terdapat beberapa suara sumbang dari pembentang yang mengaitkan kemunduran umat Melayu hanya kerana ajaran Islam semata-mata. Hal ini telah diungkap dengan cukup baik oleh Sidek Fadzil, dengan katanya; “ gejala-gejala ketertutupan minda memang ada. Tetapi dalam banyak paparan ia selalu diperlihatkan sebagai masalah eksklusif golongan Islamik. Walhal ia wujud dimana-mana, termasuk dalam kalangan kelompok yang menamakan diri sebagai nasionalis. Sikap alergik terhadap apa-apa sahaja yang berbau Islam jelas menayangkan hakikat bahawa mereka juga sebenarnya merupakan penderita penyakit ketertutupan minda. Yang dipermasalahkan sebenarnya bukanlah ketertutupan itu sendiri, tetapi ketertutupan terhadap kebenaran.”
Oleh sebab itu, dengan mengambilkira permasalahan ini, artikel ini akan cuba mengulas dan menilai pandangan yang negatif terhadap Islam ini dengan menumpukan perhatian terhadap gagasan dan usaha untuk memperkasakan budaya berfikir Islam yang sepatutnya diterapkan ke dalam masyarakat Islam amnya dan institusi pendidikan Islam khususnya. Ianya dirangka khusus mengandungi beberapa bahagian utama;
(1) Kebangkitan dan kejatuhan budaya berfikir Islam : Suatu analisa sejarah.
(2) Konsep budaya berfikir Islam : suatu analisa.
(3) Halangan ke arah kewujudan budaya berfikir Islam.

Kebangkitan dan kejatuhan budaya berfikir Islam : Suatu analisa sejarah
Pada pandangan penulis, sebarang perbincangan yang menyentuh sebarang konsep terpenting di dalam Islam, seperti konsep berfikir ini, perlu dilihat dari perspektif sejarahnya, demi untuk melihat dengan lebih luas lagi tentang asal usul, perkembangan serta sumbangan sesuatu konsep tersebut samada positif ataupun negatif terhadap perkembangan intelektual dunia. Apa yang lebih penting lagi, penganalisaan peristiwa sejarah ini akan cuba mengelakkan pembentangan fakta yang bersifat nastolgia semata-mata, dan akan cuba melihatnya secara teliti dan objektif, dengan harapan kesimpulan dan intipati terpenting daripada peristiwa sejarah keagungan dan kejatuhan tamadun intelektual Islam dapat dicerakinkan dengan cukup teliti yang seterusnya akan diterapkan untuk manfaat ummah Islam.
Sebagai landasan teori untuk perbincangan ini, penganalisaan terhadap perkembangan budaya berfikir Islam secara menyeluruh dan holistik, perlu dinilai dan dilihat secara positif, terbuka dan menerima pakai konsep jatuh dan bangunnya sesuatu tamadun dunia.
Dalam gagasan konsep ini, jatuh dan bangunnya sesuatu tamadun intelektual dan material manusia bergantung sepenuhnya kepada amalan budaya ilmu yang diamalkan oleh masyarakat yang terbabit. Hal yang sama juga perlu dikaitkan dengan tamadun Islam, di mana kebangkitan dan kemunduran tamadun umat Islam bergantung sepenuhnya kepada amalan budaya ilmu dan penghayatan Islam sepenuhnya.
Sejak awal kedatangan Islam dengan perutusan Nabi Muhammad kepada masyarakat Arab jahiliah , kita dapat melihat bagaimana gerakan intelektual yang menekankan kepentingan ilmu dan penggunaan akal yang sihat telah berlaku dengan cukup mengalakkan sekali. Hal ini turut diakui sendiri oleh kalangan sarjana barat sendiri yang terkenal dengan sifat anti Islam yang cukup kuat.
Benih yang diasaskan oleh Rasulullah ini kemudiannya telah dikembangkan dengan cukup positif sekali oleh sarjana Islam sehingga sampai ke kemuncaknya pada zaman pemerintahan kerajaan Bani Abbasiah. Sejarah dunia telah mencatatkan bagaimana di zaman kecermelangannya, tamadun umat Islam telah menjadi pusat politik, ekonomi dan keilmuan sedunia yang merangkumi keilmuan secara teoritikal dan praktikal, yang kemudiannya menyebabkan masyarakat bukan Islam berkunjung ke pusat-pusat ini untuk menimba ilmu pengetahuan bagi kegunaan masyarakat luar yang pada masa itu masih lagi berada di dalam zaman kegelapan (Dark ages).
Di dalam menelusuri punca kegemilangan tamadun intelektual umat Islam ini kita dapat mengesan beberapa punca yang utama, pertamanya, penekanan Islam melalui sumber Quran dan sunnah tentang kepentingan budaya ilmu untuk kehidupan manusia di dunia dan akhirat.
Apa yang jelasnya, di zaman keunggulan tamadun Islam, umat Islam telah dikesan mengamalkan budaya ilmu yang agak tinggi. Pengamalan budaya ilmu ini merujuk kepada beberapa perkara, pertamanya, tindakan menjadikan pencarian ilmu sebagai suatu usaha yang berharga nilainya seperti pencarian harta sehingga ianya dianggap sebagai matlamat hidup yang utama. Keduanya, usaha di dalam sesuatu tindakan yang diputuskan dengan perkiraan ilmu tanpa campur tangan dari golongan yang mempunyai kepentingan politik. Keadaan ini menyebabkan seseorang ulama itu dapat bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda dan kepentingan tertentu. Ketiganya, bersikap terbuka dengan semua jenis ilmu tanpa mengira asal usul dan jenisnya dan keempatnya, analisis kritikal yang dilakukan terhadap ilmu tanpa adanya sifat fanatik kepada seseorang guru. Sikap ini jelas dengan terhasilnya kegiatan dailoq intelektual yang diiringi dengan penyelidikan yang begitu giat dijalankan sehingga melahirkan sejumlah besar karya-karya sintesis yang bermutu. yang kekal penggunaannya sehingga pada masa sekarang.
Pengamalan budaya ilmu ini turut membabitkan dengan bentuk penghayatan Islam sepenuhnya yang diamalkan, rata-ratanya masyarakat Islam pada masa ini telah berpegang kepada world-view dan paradigma Islam sejati mengantikan paradigma jahiliah seperti mana diasaskan oleh Rasulullah.
Manakala punca yang kedua adalah penekanan al-Quran tentang kepentingan mengamalkan budaya berfikir yang sihat dan positif. Para sarjana Islam di dalam meneliti kandungan Quran telah mendapati ianya penuh berisi dengan intipati pemikiran ilmiah yang menekankan peri pentingnya penolakan taqlid membuta tuli, perintah supaya berfikir, memerhati kejadian alam, memeriksa kesahihan sesuatu yang disampaikan oleh orang lain, galakan untuk berfikir bersesuaian dengan hukum alam dan bukannya secara tahyul, kutukan terhadap sikap yang melandaskan pemikiran kepada hawa nafsu dan bukannya kepada kebenaran dan banyak lagi. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa berpandukan pemahaman terhadap pendekatan ilmiah ala Quran ini sarjana Islam telah memperkembangkan pendekatan ilmiah Islam, yang bermula dengan penerapannya di dalam ilmu hadis dan kemudiannya dikembangkan lagi ke dalam bidang-bidang kajian ilmu-ilmu Islam lain, termasuklah sebagai contohnya di dalam ilmu Usul al-Fiqh.
Bertitiktolak kepada premis kelemahan dan keterbatasan akal manusia, sarjana Islam telah cuba memperlengkapkan kelemahan ini yang bakal menjejaskan proses interaksi dan pemahaman terhadap kandungan sumber wahyu dengan penyusunan ilmu Usul al-Fiqh, yang antara lainnya (i) menyusun cara yang terbaik untuk proses berfikir berpandukan nas-nas daripada sumber wahyu, (ii) memilih keutamaan yang terbaik di antara sebahagian keutamaan yang ada, (iii) cara yang paling betul untuk menganalisis kandungan teks dan sebagainya. Sebagai contohnya, walaupun fuqaha mengakui otoriti sesuatu sumber hukum tambahan yang bersumberkan akal (ijtihad) seperti Ra’yu, Istihsan, Maslahah, Qiyas, Urf; tetapi penggunaan konsep-konsep ini perlu dilandaskan kepada kaedah dan syarat-syarat yang agak ketat. Hal ini dibuat bagi mengelakkan campur tangan golongan bukan fuqaha yang tidak mempunyai keilmuan Islam sejati untuk sama-sama merumuskan sesuatu pandangan tentang syariah yang bakal merosakkan syariah Islam itu sendiri.
Pendedahan fuqaha awal dengan ilmu falsafah warisan Yunani yang kaya dengan perkaedahan ilmiah seperti perbincangan tentang saluran pemerolehan ilmu dan tahap-tahap pemeresapan ilmu, berserta dengan ilmu mantik, secara jelas telah membantu fuqaha ini mengambil sikap yang selektif dan seterusnya menerapkan pendekatan ilmiah ini dengan beberapa pembaikian yang terbaik ke dalam genre penulisan usul al-fiqh.
Mustafa Abd. Razak dalam soal ini telah menegaskan bahawa memandangkan ajaran Islam menganjurkan penggunaan dan pemanafaatan akal untuk mengemukakan dalil dan hujah dalam perbahasan ilmiah, maka pendekatan ini yang kebetulan intipatinya diperolehi melalui pertembungan dengan ilmu falsafah Yunani telah diterapkan di dalam ilmu usul al-fiqh. Selanjutnya, beliau mengatakan bahawa sungguhpun ilmu usul al-fiqh ini bersumberkan Quran dan sunnah, tetapi ia tetap tidak dapat mengelakkan diri dari membabitkan penggunaan kaedah berfikir dan berhujah dengan dalil-dalil akal, disamping menggunakan dalil-dalil dari sumber wahyu.
Gabungan yang kukuh di antara sumber wahyu dan akal, ditambah pula dengan kaedah ilmiah yang dipakai dalam bidang falsafah ini telah menjadikan ilmu usul al-fiqh sebagai ilmu yang paling berguna untuk tujuan pengkajian ilmiah dan hal ini telah diakui sendiri oleh kebanyakan sarjana Islam, termasuklah kalangan sarjana barat sendiri.
Kerangka epistemologi Islam yang menyusun kaedah yang sistimatik untuk penggunaan akal yang betul dan diredai Allah ini telah dapat dimanafaatkan oleh banyak sarjana moden. Sebagai contohnya, terdapat beberapa sarjana moden seperti S. Waqar Ahmed Husaini dan Abdul Hamid Abu Sulayman yang telah melakukan kajian ilmiah terhadap persoalan agama dan bukan agama dengan menggunakan skema ilmu usul al-fiqh ini yang diakui oleh kedua sarjana ini sebagai skema penyelesaian masalah yang cukup berkesan sekali.
Kegemilangan tamadun ini sayangnya tidak kekal lama. Hal ini berlaku berpunca dari sikap kelalaian umat Islam sendiri untuk berpegang kepada kedua-dua sumber kekuatan yang telah dijelaskan sebelumnya. Secara jelas kita dapat melihat perubahan yang nyata daripada amalan Taqlid yang telah diterima pakai mengantikan amalan budaya ilmu dan juga pengamalan Islam dalam bentuk yang tercemar dengan segala bentuk perkara khurafat dan bid’ah. Peninggalan dan perubahan terhadap kedua-dua sumber kekuatan ini kemudiannya mengakibatkan kemunduran intelektual dan kejatuhan kekuasaan politik umat yang dijajah oleh kuasa penjajah barat.
Seterusnya, sikap beku, jumud dan taqlid ini telah tersebar bukan setakat kepada masyarakat awam ummah Islam, bahkan turut merebak di kalangan fuqaha yang sepatutnya bertindak sebagai inteligensia Muslim membangun sistem fiqh yang up to date, yang kemudiannya pula telah menimbulkan beberapa kesan buruk, seperti :-
(a) Kecenderungan ini telah menimbulkan suatu kekosongan fikiran yang berbentuk ilmu. Kekosongan ini kemudiannya telah direbut atau diambil peluang oleh aliran politik luar seperti Kominis, Sekularisme dan sebagainya.
(b) Kecenderungan ini menyebabkan berlakunya kesempitan dalam pelaksanaan hukum Islam, yang hanya dibataskan kepada bidang undang-undang kekeluargaan sahaja.
(c) Kecenderungan ini juga menjadi sebab lahirnya tindak balas yang berlebihan dari sesetengah pihak sehingga mereka mahu mengikut model barat secara mutlak tanpa menilai kesesuaiannya dengan lunas-lunas Islam dan perkiraan ketimuran.


Konsep budaya berfikir Islam : suatu analisa.
Pada dasarnya, usaha untuk membangun dan memperjelaskan konsep berfikir Islam ini boleh dianggap sebagai rentetan daripada proses pembangunan kerangka ilmiah Islam yang wujud secara kasarnya akibat dari gerakan kebangkitan Islam di dalam tahun-tahun 1970an hingga 1980an. Kesedaran kebangkitan Islam antara lainnya menekankan bahawa sesuatu perjuangan Islam sepatutnya tidak dibuat secara retorik semata-mata, bahkan patut dirancang secara tersusun dan terperinci dengan menyediakan suatu bentuk blueprint yang lengkap. Usaha yang cuba membangunkan kaedah berfikir Islam ini diakui masih lagi belum sempurna, yang perlu diperlengkapkan lagi oleh sarjana lain dengan pendekatan yang lebih terbuka.
Dalam proses menerangkan budaya berfikir Islam ini perbincangan tidak akan terhad kepada pandangan sarjana Islam semata-mata, bahkan juga akan mengambilkira pendekatan selektif seperti yang terkandung di dalam gagasan Islamization of knowledge. Menurut gagasan ini kita terpaksa menerima pandangan barat yang difikirkan baik dengan tapisan yang cukup teliti, khususnya terhadap nilai-nilai anti agama (Sekularisme) yang terkandung di dalam model pemikiran barat.
Untuk memperjelaskan konsep ini, perbincangan akan cuba dibahagikan kepada beberapa pecahan dan butiran yang utama yang secara langsung menyentuh tentang mekanisme berfikir ala Islam.
(a) Kemampuan dan potensi akal manusia.
Bersesuaian dengan pandangan Islam yang menganggap Quran sebagai sumber utama ilmu pengetahuan yang dianugerahkan kepada manusia oleh Allah, Tuhan dan Zat yang Maha Agung, kita terpaksa bergantung kepada penerangan al-Quran untuk mengetahui tentang kemampuan dan potensi akal fikiran manusia. Penerangan al-Quran ini perlu dikaji secara terperinci dan saintifik serta tidak boleh terhenti setakat itu sahaja seperti mana dipercayai oleh pendokong aliran taqlid di kalangan umat Islam.
Secara jelas kita terpaksa mengakui dan meniru sifat positif yang diamalkan oleh sarjana barat yang bersifat terbuka dan berterusan di dalam mengkaji sesuatu fenomena alam dan otak manusia itu sendiri, sehingga usaha ini mampu membangunkan tamadun material yang cukup hebat.
Berdasarkan penerangan al-Quran, kemampuan akal manusia adalah cukup tinggi, hinggakan ianya mengatasi kemampuan mahkluk Allah yang lain, termasuklah haiwan, malaikat dan syaitan itu sendiri. Apa yang lebih penting lagi, bersesuaian dengan konsep budaya ilmu Islam, potensi akal ini bukan hanya perlu diketahui secara kosong semata-mata bahkan perlu terus dibangunkan melalui penyelidikan ilmiah untuk diterapkan kepada institusi pendidikan.
Antara kemampuan akal manusia yang diterangkan oleh al-Quran terdiri dari;
(i) Kemampuan melihat dan merenung sesuatu fenomena di alam ini. Ianya termasuk kemampuan mengaitkan hubungan antara sebab dengan akibat dan menyingkap pelbagai faktor lain yang menyebabkan akibat tersebut.
(ii) Kemampuan mentafsir dan menganalisa sesuatu fenomena yang ditanggap oleh pancaindera lain. Ianya termasuklah keupayaan untuk memahami hikmah sesuatu perkara yang berlaku daripada peringkat teori yang bersifat abstrak dan mengubahnya menjadi sesuatu yang praktikal untuk diamalkan, memperbaiki dan memperkembangkannya untuk tujuan kehidupan.
(iii) Kemampuan merakam maklumat yang dilalui oleh proses (i) dan (ii) serta mengingat semula apabila diperlukan untuk kegunaan menyelesaikan masalah.
(iv) Kemampuan membuat andaian dan ramalan tentang apa yang bakal terjadi di masa hadapan. Hal ini kelihatan dengan penekanan yang diberikan oleh al-Quran terhadap subjek sejarah umat nabi-nabi terdahulu, untuk diambil iktibar oleh umat Islam bagi merangka program perancangan masa hadapan dengan lebih baik dan terancang.
(v) Kemampuan tafakur untuk tujuan muhasabah diri, menambah pengetahuan dan meningkatkan tahap keimanan kepada Allah. Dalam soal ini sarjana Islam telah memecahkan kemampuan ini kepada enam perkara;
(a) Bertafakur tentang nikmat kurniaan Allah.
(b) Bertafakur tentang luasnya ilmu Allah.
(c) Bertafakur tentang kelalaian diri dan akibat daripadanya.
(d) Bertafakur tentang kefanaan kehidupan duniawi.
(e) Bertafakur tentang maut yang pasti dilalui oleh setiap insan.
(f) Bertafakur tentang akhlak, amalan dan hukuman yang bakal diterima.

Seterusnya, mengikut pendekatan ilmiah Islam, sebelum kemampuan akal manusia ini dipergunakan melalui beberapa proses tertentu, beberapa perkara penting perlu dimaklumi oleh manusia, antaranya adalah;
Pertama, kepentingan memberikan punca dan sumber tenaga untuk semua elemen diri manusia, yang terdiri dari roh, jasad dan akal. Semua elemen ini yang dikategorikan sebagai unsur manusia dan haiwan dalam diri manusia, perlu diberikan sumber tenaga yang baik untuk membolehkannya berfungsi dengan cukup baik. Dalam soal ini, seperti mana jasad memerlukan makanan dan minuman, roh memerlukan ibadat dan ketaqwaan kepada Allah, maka akal pula memerlukan ilmu pengetahuan sebagai input utama untuk membolehkannya bergerak. Usaha berfikir tanpa proses pembelajaran yang menyerapkan ilmu pengetahuan, khususnya daripada sumber wahyu akan menimbulkan sifat yang kekeliruan yang cukup merbahaya.
Keduanya, kepentingan penjagaan elemen batin dan fizikal akal manusia. Atas dasar inilah kita mendapati bagaimana syariah Islam mengharamkan sebarang tindakan yang boleh merosakkan potensi akal yang berupa arak dan dadah, yang menimbulkan kerosakan kepada sel otak manusia. Antara contoh lain adalah tindakan Islam yang menetapkan kesahihan dan kewarasan akal sebelum sesuatu taklif syarak dikenakan kepada seseorang. Akhir sekali, kita boleh melihat bagaimana akal manusia telah dijadikan sebagai salah satu neraca terpenting yang perlu dijaga oleh syariah, melalui konsep maslahah Daruriyyah.
Ketiganya, kepentingan untuk mengetahui hiraki ilmu-ilmu terpenting dan mempelajarinya untuk membina potensi akal dan intelek yang sihat. Proses pembinaan intelek yang sebenar akan berjalan lancar apabila seseorang itu mempelajari tiga jenis ilmu yang utama; (i) ilmu kesempurnaan intelek dan kewajipan roh (Usuluddin), (ii) ilmu tindakan dan kewajipan hati (akhlak dan Tasawwuf) dan (iii) Ilmu mengenai tindakan dan kewajipan dalam kehidupan lahiriah (Syariah dan semua yang berkait dengan kemahiran kehidupan). Secara jelasnya, pendekatan yang memisah-misahkan antara ketiga-tiga ilmu ini tidak dibenarkan di dalam Islam, sebaliknya ianya perlu dipelajari secara bersepadu, bagi memastikan pembinaan potensi akal yang sihat yang mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Allah.
Keempatnya, kepentingan mengetahui sifat-sifat golongan yang sesat (Ashabul Shimal) dan golongan yang berjaya (Ashabul Yamin) yang dicerakinkan dengan cukup terperinci di dalam al-Quran, untuk tujuan pengiktibaran di dalam sesuatu proses berfikir. Sebagai contohnya, kita dituntut untuk menjauhi dari mengikut dan meniru sifat-sifat golongan yang sesat, yang digambarkan sebagai;
(i) Golongan kaya berpengaruh yang hidup mewah, melakukan dosa besar dan menyekat perintah Allah daripada sampai kepada orang ramai.
(ii) Golongan yang engkar dengan perintah Allah dan menjadikan Taghut (apa sahaja yang berlawanan dengan perintah Allah) sebagai pemimpin mereka.
(iii) Golongan yang bertindak mengikut hawa nafsu dengan meninggalkan perintah dan larangan Allah.

(b) Aturan dan Pola berfikir ala Islam.
Dalam soal aturan berfikir ini, kita boleh mengambil iktibar induktif dari penerangan al-Quran yang mengutuk beberapa aturan berfikir yang tidak sihat dan boleh menyesatkan seseorang. Secara khusus al-Quran telah menerangkan tiga bentuk dan aturan berfikir yang tidak sihat, yang amat perlu dijauhi oleh manusia, iaitu;
(i) Berfikir tanpa penggunaan pertimbangan yang waras yang menggunakan paradigma Taqlid.
(ii) Berfikir secara pertimbangan yang singkat dan tergesa-gesa.
(iii) Berfikir tanpa bantuan pakar dan berasaskan maklumat yang tidak tepat yang tidak diselidiki dengan lebih lanjut.

Jadi, sebagai ganti kepada ketiga-tiga aturan berfikir di atas, berasaskan semangat al-Quran sendiri, kita perlu menggunakan aturan berfikir secara ilmiah yang dipakai dalam pendekatan barat dengan sedikit pembaikian. Antara kaedah ilmiah yang diperlukan untuk sesuatu proses penyelesaian masalah adalah;
(i) Mengenalpasti dan memahami premis masalah.
(ii) Mencari sebab dan punca masalah.
(iii) Merancang dan menilai cara penyelesaian yang terbaik, yang didapati dari proses (i) dan (ii).
(iv) Membuat kesimpulan terhadap sesuatu penyelesaian masalah.

Di dalam tradisi pendidikan Islam, secara khususnya merujuk kepada amalan pedagogi yang diamalkan pada zaman kegemilangan Islam, kita akan mendapati bagaimana bukan setakat kesemua pendekatan penyelesaian masalah di atas telah secara kritikal dilaksanakan, bahkan kurikulum yang di amalkan amat menekankan kepada proses latihan budaya berfikir yang kritikal. Lebih tepat lagi institusi pendidikan Islam bertujuan bukan setakat melahirkan insan yang berilmu, tetapi apa yang lebih penting lagi adalah bagi melahirkan golongan intelektual yang mampu bertindak menggunakan daya intelektual (daya kognitif akal yang kritikal). Atas dasar inilah kita mendapati kurikulum pendidikan Islam silam merangkumi;
(i) kaedah hafalan bagi latihan menghidupkan potensi akal untuk merakam dan mengingat sesuatu fakta dengan tepat dan betul.
(ii) Kaedah Mantik yang mengajarkan tentang asas dan pendekatan yang paling betul untuk menilai kebenaran dan kesalahan sesuatu fakta yang diperolihi.
(iii) Kaedah melatih proses kognitif dan penganalisaan kritikal terhadap sesuatu fakta membabitkan perbincangan (Jadali) secara terbuka, menekankan penyataan hujah naqli dan aqli (Tarjih) dan kesesuaian hujah dengan realiti yang ada.
(iv) Kaedah sintesis yang mengadunkan sesuatu karya dan pendapat berasaskan kepada hasil perbincangan dengan pelbagai pihak yang benar-benar pakar. Ini termasuklah proses memperbaiki dan mengemaskinikan mana-mana pendapat yang masih lagi kabur dan tidak matang.

Mengikut pendapat Abdul Majid Kailani perincian tentang pola dan budaya berfikir Islam yang sihat ini adalah merujuk kepada :-
(i) Membiasakan berfikir secara autokritik mengantikan kaedah berfikir secara bentuk pembenaran. Kaedah pembenaran ini merujuk kepada cara berfikir yang tidak mengakui kelemahan diri sendiri, suka berdolah dalih dan mengaitkan sesuatu kelemahan yang berlaku kepada orang lain, kerana pada anggapannya dirinya serba cukup dan sempurna.
(ii) Membiasakan berfikir secara menyeluruh mengantikan berfikir secara sebahagian. Pemikiran secara menyeluruh ini merujuk kepada pengetahuan terhadap sesuatu secara mendalam dengan mengetahui ciri-ciri, perincian dan hubungannya diantara perincian tersebut.
(iii) Membiasakan berfikir secara reformatif mengantikan berfikir secara jumud dan tradisional.
(iv) Membiasakan berfikir secara ilmiah mengantikan berfikir secara prasangka dan mengikut hawa nafsu.
(v) Membiasakan berfikir secara kolektif mengantikan berfikir secara bersendirian.
(vi) Membiasakan berfikir sesuai dengan hukum alam mengantikan berfikir secara supra rasional dan tahyul.

Halangan ke arah kewujudan budaya berfikir Islam.
Mengikut pengamatan sarjana Islam terdapat beberapa faktor yang melemahkan dan mematikan budaya berfikir Islam, antaranya, pertama, sikap malas sarjana Islam untuk berfikir secara sihat, yang kemudiannya ditiru oleh masyarakat awam. Bagi Majid Kailani, hal ini ditegaskan dengan, “ kemampuan akal lahir dan tersembunyi dalam diri manusia. Ia tumbuh dan berkembang dengan baik melalui pemeliheraan dan pendidikan. Ia menjadi lemah, bahkan mati disebabkan kelalaian, salah penggunaan, salah didik, tingkah laku yang rosak atau suasana autokratik yang menindas. Isyarat tentang masalah ini telah disimpulkan oleh Allah dengan firmanNya : Sekali-kali tidak demikian, sebenarnya apa yang mereka usahakan itu menutupi hati mereka.( Surah 83:14)”
Faktor kedua adalah ketiadaan suasana persekitaran yang mengalakkan kemerdekaan berfikir. Hal ini merangkumi sebagai contohnya di dalam sosiologi pendidikan keluarga dan sistem pendidikan yang mengamalkan paradigma Taqlid. Untuk contoh sosiologi kekeluargaan masyarakat, rata-ratanya anggota keluarga telah dilatih supaya tidak berfikiran terbuka, membantah dan mengkeritik semua arahan yang diberikan oleh ketua keluarga, walaupun ianya bertentangan dengan akal yang waras.
Manakala bagi contoh yang kedua pula, sistem pendidikan Islam telah tidak mengamalkan budaya berfikir yang kritikal dan sebaliknya menekankan paradigma ala taqlid. Dilihat kepada pedagogi pendidikan Islam semasa berbanding dengan tradisi silam yang menekankan aspek hafalan dan pemahaman, pendekatan pengajian semasa hanya bertumpu kepada dua bentuk semata-mata, (i) hanya memerhatikan kemampuan menghafal dan (ii) merendahkan nilai kemampuan akal dan mengabaikannya sama sekali. Akibat dari pendekatan ini telah menjadikan “ (i) perhatian hanya tertumpu kepada penyampaian daripada pengajar dan pelajar menghafal apa yang disampaikan oleh pengajar tersebut. Perkara yang disampaikan oleh pengajar tiada hubungan dengan kenyataan hidup yang sebenar, malah jauh dari persoalan nyata yang dihadapi oleh masyarakat. (ii) pelajar dalam sistem pendidikan ini hanya berperanan sebagai pendengar yang baik. Mereka hanya diminta mengulang kembali apa yang telah mereka dengar. Mereka tidak mempunyai kesempatan untuk mengamal, menganalisis, memikir, mentelaah, mengadakan renungan dan mengembangkan pemahaman itu dengan baik.”
Dewasa ini, terdapat suatu kecenderungan di kalangan pelajar institusi pendidikan Islam untuk memilih bidang pengkhususan selain bidang falsafah dan pemikiran, yang kononnya menjanjikan pulangan yang baik untuk sektor kerjaya. Sepatutnya hal ini tidak berlaku kerana mengikut pandangan epistemologi Islam kedua-dua bidang syariah dan usuluddin mempunyai kepentingan yang sama dan saling berkait antara satu sama lain. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa bidang falsafah adalah lebih penting, kerana ianya mengajarkan kepada pelajar tentang kaedah pemikiran yang betul yang amat diperlukan bagi menjadikan seseorang Muslim sebagai intelektual masyarakat yang kompeten. Atas dasar inilah telah mendorong beberapa IPTA dan IPTS tempatan untuk mengadakan subjek Problem Based Learning (PBL), iaitu kaedah kemahiran berfikir dan kaedah penyelesaian masalah di institusi terbabit. Sepatutnya, pertindihan subjek ini tidak berlaku kerana intipati subjek PBL ini telahpun terkandung di dalam kurikulum pendidikan Islam.
Faktor ketiga adalah dasar pemerintah yang inginkan kemajuan masyarakat, yang mana tanpa disedari telah memangkinkan kewujudan suasana yang anti pemikiran yang waras dan saintifik. Hal ini secara jelas terjelma dalam beberapa perkembangan khusus;
(i) Penumpuan yang lebih tinggi diberikan kepada bidang selain dari pengembangan ilmu pengetahuan di dalam masyarakat, iaitu memberikan tumpuan dan penghormatan yang berlebihan kepada bidang sukan dan hiburan, walaupun kedua-duanya dilihat untuk jangka masa panjangnya tidak memberikan pulangan yang sewajarnya.
(ii) Mengalakkan penyebaran segala bentuk hiburan yang melampau, yang pada dasarnya boleh menumpulkan daya intelektual akal golongan remaja Islam. Dalam banyak hal penyebaran seni hiburan yang keterlaluan ini telah dikaitkan dengan taktik utama gerakan Zionisme Sedunia yang bertujuan melemahkan daya ketahanan dan intelektual ummah, yang dicatatkan menekankan “ agar orang ramai itu sendiri tidak dapat mengagak apa yang sebenarnya diberikan kepada mereka, kita akan terus mengalihkan pandangan mereka daripadanya dengan memberikan hiburan-hiburan, permainan-permainan, hobi, keghairahan, istana-istana.... tidak lama kemudian, di akhbar kita akan mula menganjurkan peraduan-peraduan di dalam bidang kesenian, kesukanan dan yang sepertinya; minat di dalam perkara-perkara ini akan dapat mengalihkan perhatian mereka daripada persoalan yang mungkin memaksa kita untuk menyanggahnya.”
(iii) Dasar yang tidak mengalakkan kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat yang amat diperlukan sebagai latihan asas untuk suatu proses pemikiran. Banyak sekatan yang telah dibuat, kononnya demi untuk mengelakkan berlakunya suasana yang boleh mengugat ketenteraman awam masyarakat. Hal ini telah ditegaskan dengan cukup baik oleh Sidek Fadzil dengan memetik pendapat yang diberikan oleh Murtadha Mutahhari, “ dasar Murjiah ini yang ditaja oleh kerajaan Bani Umaiyah mengandungi mesej bahawa kezaliman penguasa tidak harus dikritik selagi mereka masih beriman. Langkah ini seolah-olah memaksa rakyat menganut aliran tajaan pemerintah semata-mata untuk kepentingan politiknya bererti menutup minda rakyat. Dalam perkembangan mutakhir, amalan semacam memaksa sesuatu aliran pemikiran ini sering kali dilakukan juga oleh Media massa.”
(iv) Terdapat kecenderungan masyarakat yang memberikan tumpuan yang lebih kepada persoalan politik kepartian mengatasi persoalan intelektualism. Hal ini telah diamalkan oleh semua parti politik, yang mana untuk jangka panjangnya telah mengajar masyarakat untuk bersikap fanatik, bisu dan tidak peka dengan pendapat yang benar yang diberikan oleh parti politik lain. Hal ini ditegaskan oleh Abdul Rahman Embong dengan katanya, “ apabila faham kepuakan berasaskan parti menguasai pemikiran seseorang pengikut, maka kebenaran itu dilihat berasaskan apa yang ditafsirkan oleh parti dan pemimpinnya......Mereka tidak diasuh untuk berfikir secara kreatif, kritis dan strategik di luar bingkai kepentingan politik. Kesannya mereka tidak mampu berjiwa besar dan berfikiran luas untuk mengangkat jiwa dan minda mereka melepasi kepentingan partisan tadi untuk melihat secara keseluruhan."

Faktor keempat pula merujuk kepada serangan fahaman sekularisme anti agama yang dibawa dengan perkembangan Globalisasi semasa. Kita akui, selain dari membawakan kesan yang positif untuk perkembangan Islam, gejala globalisasi ini jika dirujuk kepada usaha meningkatkan budaya berfikir Islam adalah amat mendukacitakan sekali. Hal ini boleh diperjelaskan dengan mengkaji secara kritikal terhadap perkembangan budaya Consumerism ala barat yang dibawa oleh gelombang globalisasi.
Pada dasarnya terdapat dua perkara negatif yang boleh dilihat dalam konteks ini. Pertamanya, fahaman yang menggangap bentuk kebudayaan dan produk barat sebagai maju, baik dan berperi kemanusiaan. Hal ini menyebabkan timbul kecenderungan yang menyatakan bahawa bukti kejayaan hidup seseorang itu boleh dilihat dari amalan dan perlakuannya yang mengilai segala bentuk barangan produk barat, yang kerap dianggap sebagai budaya Amerinisation dan Macdonaldisation. Keduanya adalah sikap yang terlalu mendewa-dewakan artis dan produk hiburan barat yang ditaja oleh kesemua media massa perdana, sebagai keperluaan hidup zaman moden yang harus ditiru, tanpa memikirkan samada kedua-duanya boleh menyumbangkan kepada usaha pengisian minda dan budaya berfikir yang sihat.

Kesimpulan
Harga diri dan nilaian seseorang manusia di sisi Allah terletak kepada iman, ilmu dan sifat Taqwa yang dimilikinya. Ketiga-tiga elemen ini boleh dicapai dengan menggunakan anugerah Allah yang paling tinggi untuk makhluk, iaitu akal fikiran. Sebagai tanda kesyukuran hamba terhadap pemberian Allah yang tidak ternilai ini, seseorang itu perlu menjaga, menggunakan dan memperkembangkan potensi akal ini dengan sebaik mungkin, dengan menghidupkan budaya berfikir ala Islam yang sihat di dalam kehidupan harian. Intipati daripada ajaran Islam ini kemudiannya perlu dilanjutkan dengan usaha membangunkan dan memperkembangkan budaya berfikir Islam yang lebih detail dan mendalam, yang sebaiknya dirangka dalam bentuk program bertindak yang lebih berkesan.

No comments: