Monday, February 15, 2010

IJTIHAD DALAM INSTITUSI FATWA DI MALAYSIA : SATU ANALISIS

ABSTRAK

Kertas kerja ini bakal memberikan fokus kepada nisbah pemahaman dan pengamalan ijtihad di dalam institusi Fatwa di Malaysia. Bagi mencapai objektif ini, kajian ini disusun khusus akan mengandungi beberapa bahagian yang utama; pertama, pengenalan kepada kajian. Kedua, kepentingan ijtihad di dalam perundangan Islam : satu analisis sejarah. Ketiga, pemerkasaan ijtihad dan institusi fatwa di Malaysia : satu cadangan alternatif. Bahagian ini kemudiannya akan dipecahkan kepada dua pecahan topik, usaha meningkatkan Profesioanalism Jawatan Mufti dan peranan Pengajian Syariah untuk pemerkasaan institusi fatwa.

Abstract

Basically, this article will be focussed on the perception and application of the concept of ijtihad in the Malaysian’s fatwa institution. In order to achieve such objective, it were constructed to be divided into various sections, namely; first, the introduction of the study. Second, the significance of ijtihad in the historical development of Islamic law, Third, an attempt to strengthen the utilization of ijtihad in the Malaysian’s fatwa institution. Such section will be further divided into two subdivision, i.e. rejuvenation of the professionalism status of the mufti profession and the role of the syariah studies in strengthening the fatwa institution.



Bakal disediakan oleh,

Prof. Madya Dr. Datin Paizah Ismail,
Prof. Madya Dr. Rahimin Affandi Abd. Rahim &
Nor Hayati Mohd Dahlal
Jabatan Fiqh dan Usul,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya,
Lembah Pantai 50603, Kuala Lumpur.
Telepon : 03-79676080/ 012-3192177.
Email : faqir_ila_rabbih@um.edu.my
annur_1909@yahoo.com

Pengenalan.
Di sepanjang sejarah Islam, ada dua perkataan yang berpengaruh besar terhadap kehidupan ummah Islam. Kedua-dua perkataan ini adalah ijtihad dan jihad, yang berasal dari kata dasar jahada, membawa erti; mencurahkan kemampuan ataupun menanggung kesulitan. Term ijtihad bersasaran untuk mengenali pertunjuk dan agama Allah yang dibawa oleh rasulnya, sedangkan term jihad pula untuk menjaga agama dan mempertahankannya. Dengan kata lain, ijtihad berfungsi dalam bidang pemikiran dan penelitian akademik, manakala jihad bergerak dalam ruang lingkup perbuatan dan tingkah laku. Keduanya adalah bersifat saling melengkapi, di mana ijtihad sebagai jihad di bidang ilmiah dan jihad adalah sebagai ijtihad yang berbentuk perbuatan. Hasil pemikiran ijtihad akan hilang apabila tidak ada orang yang mendokongnya, begitu juga dengan hasil jihad akan musnah apabila tidak ada orang berilmu yang menyokong hasil jihad ini.
Berasaskan kepada kenyataan di atas, kertas kerja ini akan cuba mengulas dua perkara yang utama; bagaimanakah nisbah kepentingan ijtihad di dalam perundangan Islam, serta realitinya dalam institusi fatwa di Malaysia dan bagaimanakah usaha pemerkasaan ijtihad untuk institusi fatwa di Malaysia dapat dijalankan. Kedua-dua persoalan besar ini yang bakal diulas sebenarnya berasaskan kepada dapatan kajian awal daripada projek penyelidikan ilmiah FRGS (FR008/2007A) tajaan Universiti Malaya, dengan tajuk : Pelaksanaan Syariah Islam Di Malaysia: Kajian Terhadap Infrastruktur Dan Sumber Manusia. Oleh yang demikian, bagi mencapai fokus utama artikel ini, perbincangan akan diberikan dengan menggunapakai beberapa metodologi dan kerangka teori yang tertentu. Metodologi yang dipakai merangkumi metode analisis pensejarahan, analisis pendidikan dan analisis kandungan. Manakala bagi teori dan paradigma pilihan pula, ianya menggunakan pelbagai teori yang berkaitan dengan keberkesanan pelaksanaan syariah Islam di dalam masyarakat.

Kepentingan Ijtihad Di Dalam Perundangan Islam : Satu Analisis Sejarah.
Hukum Islam adalah bersifat Rabbani (kerana asasnya berasal daripada Allah yang Maha Agung) dan dinamis, kerana ianya mampu menjawab setiap keperluaan masyarakat yang selalu berkembang mengikut peredaran masa. Institusi utama dan dianggap tertua untuk menjawab keperluaan masyarakat ini adalah institusi fatwa. Ianya telah diasaskan oleh Rasulullah sendiri yang kemudiannya dikembang dan diperkemaskan oleh sarjana hukum Islam di sepanjang sejarah. Nyawa ataupun alat utama yang menghidupkan institusi fatwa ini adalah konsep ijtihad. Konsep ijtihad ini yang merupakan buah utama daripada disiplin usul al-fiqh, suatu ilmu yang mempelajari dasar, metode, pendekatan dan teori yang digunakan dalam memahami ajaran Islam. Atas dasar inilah ianya dikatakan sebagai “ queen of Islamic sciences.” Hal ini dijelaskan oleh Taha jabir dengan; “ usul al-fiqh is rightly considered to be the most important method of research ever divised by Muslim thought. Indeed as the solid foundation upon which all Islamic disciplines are based, usul al-fiqh not only benefited Islamic civilization but contributed to the intellectual enrichment of world civilization as a whole.”
Secara teknikalnya, ijtihad merupakan usaha penyelidikan ilmiah hukum Islam yang diaplikasi untuk mengetahui jawapan atau kehendak Allah terhadap sesuatu persoalan hukum yang timbul. Ianya tidak digunakan sebarangan oleh seseorang yang bukan pakar dalam perundangan Islam. Memandangkan ijtihad ini bukan setakat membabitkan elemen teori semata-mata, bahkan turut membabitkan elemen aplikasi, maka dalam kupasan fuqaha ianya sering dihubungkaitkan dengan institusi fatwa (mujtahid).
Secara mudahnya, kita dapat memperincikan beberapa kepentingan utama konsep ijtihad ini dalam perundangan Islam, kesemuanya berkaitan secara langsung dengan institusi fatwa, antaranya;
1) Alat utama yang membangunkan binaan syariah Islam. Dengan inisiatif ijtihad fuqaha telah melakukan proses kajian, formulasi dan membangunkan perundangan Islam. Hal ini amat jelas sekali memandangkan dua daripada empat sumber hukum Islam secara langsung terhasil daripada usaha ijtihad. Elemen formulasi syariah Islam juga boleh dilihat daripada kupasan dan kajian fuqaha yang membahagikan nisbah, objektif dan fungsi perundangan Islam. Dalam soal objektif hukum Islam, fuqaha membahagikannya kepada dua bahagian utama; ibadat (ketentuannya wajib bergantung sepenuh kepada kupasan Quran dan Sunnah) dan Muamalat ( perlu ditentukan oleh ijtihad)
2) Alat ataupun mekanisme utama yang mengerakkan dinamisme perundangan Islam. Penggunaan ijtihad jama’i yang dilakukan oleh para Sahabat Rasulullah serta fuqaha besar kemudiannya diiktiraf sebagai sumber ijma’ dalam Islam. Begitu juga hasil penggunaan ijtihad yang berterusan oleh para Imam Mujtahid telah menimbulkan pelbagai mazhab fiqh Islam. Secara kasarnya, mazhab adalah merupakan paradigma berfikir masyarakat Islam mengikut world-view dan kaedah syariah yang diasaskan oleh seseorang fuqaha tertentu. Ianya lahir daripada tradisi Islam sendiri dan bukannya berasal daripada pengaruh asing seperti didakwa oleh orientalis barat. Ianya merupakan kemuncak dari satu proses pembentukan world-view yang panjang. World-view adalah pandangan dunia, hidup, kepercayaan dan pemikiran yang berfungsi sebagai pemankin untuk segala perilaku manusia.
3) Alat dan mekanisme utama yang memperkukuh dan memperkembangkan sesuatu mazhab berpaksikan kepada kerangka world-view Islam. Ianya berjalan secara beransur-ansur melalui empat peringkat yang utama; (i) Quasi-scientific (ii) Pre-scientific conceptual, (iii) Scientific scheme, (iv) Kesinambungan dan perubahan (continuity dan Changing) – sesuatu mazhab yang telah dominan kerangka metodologinya akan melalui proses pembaharuan (islah) bagi memperkemaskan lagi kewujudannya. Sejarah keilmuan dunia mencatatkan bagaimana sesuatu doktrin dapat bertahan lama seandainya ianya memenuhi empat syarat utama; pertama, kesahihan logika dan argumen, kedua; menarik perhatian orang untuk diikuti, ketiga, mampu diterapkan terhadap kes yang dihadapi (apllicable) dan keempat, ianya mempunyai mekanisme untuk proses memperbarui idea yang lama tanpa meninggalkan asas tradisi terpenting. Apa yang jelasnya, keempat-empat perkara ini memang dimiliki oleh Mazhab Shafi’i dan mazhab fiqh yang lain, sehingga mendorongnya untuk kekal sehingga sekarang.
4) Alat utama yang menghubungkan antara sumber wahyu dengan kepentingan akal serta perubahan masyarakat. Walaupun ijtihad dihasilkan oleh akal manusia yang bersifat relatif, ianya dianggap sebagai unsur yang tidak dapat dielak dalam sistem fiqh Islam. Hal ini disokong oleh beberapa perkara;
a) Al-Quran dan Sunnah hanyalah sumber asas untuk sistem fiqh Islam, manakala sumber sebenarnya adalah penggunaan akal intelektual terpimpin (Ijtihad) terhadap kedua sumber tersebut.
b) Teks kandungan Quran dan Sunnah yang berkaitan dengan soal perundangan amat terbatas dari segi jumlahnya, sedangkan permasalahan masyarakat yang sentiasa timbul dalam kehidupan manusia pula tidak terbatas. Atas sebab ini, ijtihad diperkenalkan dan dianggap sebagai mampu untuk bertindak menyelesaikan masalah.
c) Dakwaan bahawa sistem fiqh Islam yang syumul dan sesuai untuk sebarang tempat, keadaan dan zaman. Bagi memperkukuhkan dakwaan ini, ijtihad wajib digunakan bagi menyediakan jawapan hukum yang bakal menisbahkan sifat kesyumulan syariah Islam.
Merujuk khusus kepada realiti penggunaan konsep ijtihad di dalam institusi fatwa di Malaysia, dapatan kajian yang dilakukan oleh sejumlah penyelidik mendedahkan beberapa kelemahan yang amat mendukacitakan;
1) Boleh dikatakan tidak ada langsung elemen ijtihad insya’i (bebas) yang dihasilkan mengikut pandangan peribadi seseorang mufti. Para mufti dalam mengeluarkan sesuatu fatwa kerap kali meniru ataupun merujuk kepada pandangan yang dikeluarkan mufti negeri lain di Malaysia.
2) Keterikatan sesuatu fatwa dengan pandangan mazhab Shafi’i secara Qauli, yang terpaksa bergantung kebanyakannya kepada kitab Fiqh klasik. Manhaj usuli ini berasaskan kepada warisan zaman Taqlid daripada Mazhab Shafi’i; tidak merujuk secara langsung kepada sumber asasi (Quran dan Sunnah), tetapi lebih kepada karya Mazhabiyyah semata-mata. Namun begitu, sejak kebelakangan ini, beberapa kitab fiqh yang bersifat kontemporari turut juga digunakan, itupun dalam bentuk yang agak minimum sekali.
3) Para Mufti sendiri mengakui kelemahan mekanisme pengeluaran fatwa yang dialami, seperti kekurangan sumber rujukan hukum Islam yang terkini, ketandusan pembantu penyelidik (pegawai Istinbat) yang berkelayakan dalam bidang penyelidikan hukum dan kelemahan unit penyelidikan di institusi fatwa.
4) Walaupun ada peruntukan yang membenarkan mufti merujuk kepada pakar-pakar luar, tetapi ianya jarang dilakukan ataupun secara ad-hod semata-mata, kerana kekurangan peruntukan kewangan yang disediakan kepada pejabat mufti.
5) Rungutan daripada masyarakat awam tentang kelemahan fatwa yang dikeluarkan, khususnya membabitkan isu;
a) Kandungan fatwa tidak bersifat ilmiah kerana tidak mempunyai asas dan sandaran hukum yang kukuh.
b) Fatwa yang diberikan adalah tidak tegas dan terikat dengan kepentingan tertentu.
c) Fatwa yang dikeluarkan tidak bersifat semasa, sebaliknya terlalu terikat dengan paradigma Taqlid.
d) Jawapan yang dikemukakan oleh fatwa kerap kali bersifat ad-hod dalam soal remeh temeh, serta tidak mampu menyelesaikan masalah yang sebenar.
6) Memanglah diakui pemakaian paradigma Taqlid di perlukan demi untuk mewujudkan perpaduan dan keseragaman bagi memastikan wujudnya kestabilan hidup sosio-politik bagi memudahkan proses penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam dijalankan. Cumanya, penekanan yang agak keterlaluan terhadap dominasi taqlid yang agak ketat ini dilihat bakal membuahkan hasil yang kurang sihat kepada perkembangan pemikiran hukum Islam itu sendiri. Hal ini kemudiannya turut disedari sendiri oleh kalangan mufti di Malaysia yang disertakan pula dengan pelbagai usaha untuk menerapkan pendekatan reformism bagi menghadkan penggunaan taqlid secara berlebihan, khususnya di dalam metodologi pengeluaran sesuatu fatwa.

Pemerkasaan Ijtihad Dan Institusi Fatwa Di Malaysia : Satu Cadangan Alternatif.
A. Meningkatkan Profesioanalism Jawatan Mufti
Untuk memperkukuhkan perbincangan, dalam bahagian ini, dua teori utama akan dikemukakan; pertamanya, teori tentang syarat kelayakan seseorang mufti bagi menjadikannya mufti yang kompeten. Keduanya, teori profesionalism Islam dan kaitannya dengan penjawat agama.
Dalam teori yang pertama, fuqaha secara tegas menetapkan beberapa syarat asasi dan kelayakan yang perlu dimiliki oleh seseorang mufti. Ianya terdiri dari syarat seperti beragama Islam, adil, bertaqwa, mengetahui bahasa Arab, ilmu usul al-fiqh, maqasid al-Syariah, realiti masyarakat dan keilmuan semasa. Semua syarat ini ditetapkan oleh fuqaha antara lainnya bagi membantu, mendidik dan mengatur kewujudan kelas fuqaha/mufti. Dalam banyak hal, penetapan formula syarat ini memang cukup advance bagi mengelakkan proses pentafsiran agama dibuat secara sewenang-wenang oleh golongan yang tidak bertanggungjawab, yang memang akan wujud di setiap zaman. Pendekatan ini ditetapkan bukannya bertujuan untuk memonopolikan usaha pentafsiran agama kepada golongan ulama semata-mata, tetapi ianya dibuat bagi mengelakkan sebarang tindakan rakus daripada masyarakat awam yang jahil tentang prinsip asas Islam, melakukan tafsiran melulu dan boleh merosakkan nama baik Islam itu sendiri.
Untuk teori kedua pula, ianya cuba mengaitkan nisbah profesionalism Islam dengan penjawat agama, seperti mufti. Ianya membandingkan kriteria nisbah profesionalism yang difaham dari perseptif barat untuk beberapa profesion/ kerjaya yang khusus -dengan nisbah yang turut dimiliki oleh penjawat agama. Ianya terdiri dari;
1) Kerjaya yang memerlukan kepakaran dan pengetahuan spesialis tertentu yang tidak dimiliki oleh golongan lain.
2) Untuk menguasai pengetahuan dan kepakaran spesialis ini memerlukan tempoh pendidikan yang relatif lama.
3) Kegiatan kerjaya yang dijalankan berasaskan kepada sesuatu teknik dan kaedah yang khusus bagi memecahkan sesuatu permasalahan yang diajukan.
4) Wujudnya sesuatu kod etika yang khusus yang mengatur bagaimana modus operandi sesuatu profesion itu perlu dijalankan.
5) Wujud organisasi khusus yang melakukan proses pengawalan terhadap sesuatu profesion agar ianya tidak melanggar kod etika yang ditetapkan.
6) Wujudnya kuasa otonomi dan kebebasan untuk membuat sesuatu keputusan dalam bidang kuasa profesion terbabit.
7) Wujud komitmen kerja yang tinggi khususnya yang membabitkan hubungan dengan pelanggan/masyarakat awam.
8) Wujud nisbah kepercayaan masyarakat awam tentang kewibawaan dan mutu profesion yang diceburi.
9) Mempunyai nilai prestige dan penghasilan yang tinggi.
Boleh dikatakan kesemua kriteria yang ditetapkan ini, turut dimiliki oleh penjawat agama Islam, khususnya dalam profesion mufti itu sendiri. Bahkan, kualiti penjawat agama ternyata lebih tinggi, khususnya dalam soal yang membabitkan kod etika, kerana ianya diasaskan kepada falsafah dan prinsip keimanan; Tauhid dan amanah.
Jika kedua-dua teori di atas digunakan untuk menilai nisbah kualiti yang dimiliki oleh jawatan mufti semasa, ternyata sekali standard mufti ini secara relatifnya agak lemah dan belum lagi bertepatan dengan intipati yang terkandung dalam kedua-dua teori tadi. Hal ini didasarkan kerana memang wujud kelemahan dalam institusi fatwa di Malaysia;
1) Mufti tidak mempunyai kelulusan akademik tertinggi dalam bidang syariah, yang membolehkannya mempunyai kemahiran penyelidikan hukum yang kompeten. Rata-ratanya mufti hanya memiliki tahap pengajian di peringkat ijazah pertama dan bukan daripada pengkhususan di bidang syariah Islam.
2) Pengakuan sendiri para mufti dan pegawai Istinbat tentang kelemahan mekanisme penyelidikan hukum Islam di dalam institusi fatwa.
3) Mufti tidak memiliki kebebasan otonomi yang mencukupi semasa menjalankan tugas.
4) Mufti dilantik dari kalangan ulama terkenal yang telah lanjut usia dan rata-ratanya mengalami masalah kesihatan yang agak teruk, sehingga menyebabkan ianya gagal menjalankan fungsi yang sepatutnya.
5) Masyarakat awam mempersoalkan kewibawaan seseorang mufti.
6) Tanggapan masyarakat awam bahawa pemilihan mufti dibuat berasaskan faktor kronisme dan kekerabatan dengan institusi feudal Melayu.
Sebagai alternatif kepada permasalahan yang wujud, kita perlu mempergunakan konsep budaya ilmu sepenuhnya, kerana seperti ditegaskan oleh Wan Mohd Nor Wan Daud: “ iman ataupun amalan keagamaan jika tidak didasarkan kepada ilmu yang luas dan mendalam, hanyalah seperti bangunan di atas pasir yang tidak berdiri teguh. Jika iman didasarkan kepada ilmu, ianya bukan sahaja akan mengukuhkan peribadi berkenaan malah akan memberi kesejahteraan kepada manusia dan alam.” Antara elemen budaya ilmu yang cukup relevan untuk konteks ini adalah; setiap keputusan dalam sesuatu perkara dibuat berasaskan kepada kriteria ilmu dan bukan kerana pengaruh lain
Jadi, berasaskan kepada konsep budaya ilmu ini, dicadangkan agar;
1) Perlu mewujudkan badan/panel khusus yang bertugas menilai dan mencadangkan pelantikan seseorang mufti berdasarkan kewibawaan keilmuan dan akhlak seseorang calon mufti.
2) Mufti perlu dilantik dari kalangan lulusan bidang syariah dan pernah mengikuti tahap pengajian di peringkat sarjana/kedoktoran. Sebaiknya, ianya perlu dilantik dari kalangan tenaga akademik (Profesor) bidang syariah yang telah tamat tempoh di IPTA tertentu. Amalan JPA semasa yang memencenkan seseorang tenaga akademik yang berpengalaman apabila mencapai umur 58-62 tahun adalah amat merugikan, kerana tindakan ini secara langsung membazirkan modal intelektual berharga yang dimiliki oleh pakar-pakar tersebut. Kita patut malu dengan amalan di negara barat yang tidak mengamalkan polisi memencenkan tenaga akademik ini serta memanafaatkan akal fikiran mereka demi untuk produktiviti dan kemajuan organisasi dan komuniti. Rasional utama kenapa seseorang mufti itu perlu memiliki kelulusan di peringkat pasca siswazah kerana pengkaji di peringkat ini ;
a) Biasanya memiliki kemahiran penyelidikan hukum Islam secara teori dan praktikal.
b) Biasanya memiliki know how yang tinggi, berupa pengalaman kepimpinan untuk memantau mana-mana projek penyelidikan hukum yang dijalankan oleh pengawai Istimbat. Termasuklah memiliki kemahiran (hikmah) untuk memikirkan dan memastikan sesuatu jawapan hukum (fatwa) yang dihasilkan relevan untuk keperluan masyarakat serta mampu menyelesaikan masalah sebenar.
c) Memiliki kepakaran untuk mengenalpasti/mengikuti perkembangan sesuatu teori ilmu dan teknologi yang sifatnya sentiasa berkembang dan relevan untuk kegunaan masyarakat tempatan.
d) Memiliki kemahiran berfikir dan bertindak secara strategik/futuristik apabila berhadapan dengan sesuatu masalah yang timbul.
e) Memiliki sikap keterbukaan yang tinggi apabila didedahkan dengan pandangan sarjana yang berbeza- menyebabkan proses penyelesaian masalah yang bersifat holistik dapat dijalankan.

B. Peranan Pengajian Syariah
Dalam bahagian ini, perbincangan akan menggunakan kerangka teori pemikiran reformism yang menekankan peranan institusi pengajian syariah -pihak pemerintah di dalam meningkatkan dan melaksanakan tajdid syariah di dalam masyarakat. Ianya juga bakal dihubungkan dengan teori keberkesanan hukum Islam di dalam masyarakat.
Dalam teori reformism ini, perubahan dan pembangunan program Islamisasi (tajdid) sesuatu masyarakat Islam perlu didasarkan kepada beberapa paradigma utama;
1) Kepentingan umat Islam berpegang teguh kepada ajaran Islam yang suci seperti yang terkandung di dalam sumber wahyu yang bakal memastikan kerelevanan paradigma Tauhid dipakai oleh umat Islam untuk sepanjang zaman.
2) Penekanan kepada penggunaan paradigma rasional berasaskan semangat ijtihad kepada usaha mempercambahkan kreativiti umat Islam.
3) Penekanan kepada proses mewujud dan menajamkan daya intelektualism umat Islam di dalam memahami ajaran Islam itu sendiri. Ianya dirujuk kepada penggunaan set idea dan kreativiti masyarakat untuk mengkaji sesuatu ilmu dan menterjemahkannya di dalam bentuk program bertindak demi membangunkan pembangunan yang bersifat bersepadu kepada umat manusia.
4) Demi untuk menghadapi persaingan dengan kuasa Barat, umat Islam tidak seharusnya menggunakan pendekatan kekerasan, sebaliknya perlu lebih proaktif mempelajari sebab utama ketinggian tamadun Barat, iaitu ketinggian budaya ilmu mereka, yang perlu diterapkan ke dalam masyarakat melalui institusi pendidikan.
5) Kepentingan mengamalkan pendekatan berfikir secara berperancangan rapi (blueprint) dan bukannya secara retorik semata-mata. kita perlu menjauhi pemikiran ala khutbah, yang hanya pandai bercakap dengan gagasan yang begitu ideal tetapi tidak tahu menterjemahkannya kepada suatu program bertindak yang bersifat praktikal untuk diamalkan. Sebaliknya perjuangan ala fuqaha, yang mampu berfikir secara waras dengan mengambilkira faktor kegagalan dan kejayaan sesuatu program reformasi, dan mampu menterjemahkan cita-cita kepada program yang praktikal dengan suasana setempat.
Dalam konteks Malaysia semasa, pihak kerajaan lebih condong mendokong paradigma reformisme, khususnya dalam program untuk menegakkan program Islamisasi perlu didokong dengan beberapa pendekatan yang penting;
1) Menekankan kepentingan memahami realiti masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk; dari segi ras bangsa dan sikap yang agak prajudis dan negatif terhadap Islam, di dalam pembentukan sesuatu dasar negara yang berkaitan dengan Islam.
2) Menekankan peri pentingnya dilakukan penyelidikan yang berterusan terhadap kekuatan dan kelemahan semua birokrasi dan infrastruktur fizikal yang berfungsi untuk penguatkuasaan undang-undang Islam di Malaysia.
3) Menekankan kepentingan mewujudkan sistem pendidikan yang mampu melahirkan lulusan yang berketerampilan di dalam aspek ilmu Islam dan moden serta akhlak yang seimbang. Semua lulusan ini bakal dipergunakan sepenuhnya untuk tujuan menjayakan agenda pembangunan negara dan pelaksanaan syariah di dalam masyarakat.
4) Menekankan kepentingan untuk melakukan integrasi pendidikan antara keilmuan Islam tradisi dan keilmuan moden yang amat diperlukan untuk konteks zaman moden ini.
5) Menekankan kepentingan mewujudkan program pembangunan sosial-politik-ekonomi masyarakat berteraskan kepada intipati Islam.
6) Menekankan kepentingan diwujudkan unit sokongan seperti media massa dan NGO bagi membawa kesedaran Islam di kalangan masyarakat.
Berasaskan kepada teori ini, kita dapat menegaskan bahawa pemerkasaan ijtihad ini khususnya untuk institusi fatwa perlu dimulakan oleh institusi pengajian syariah di IPTA Islam. Rasional utama hal ini ditegaskan kerana institusi pendidikan secara langsung akan membekalkan graduan ataupun tenaga kerja yang bakal berkhidmat untuk institusi fatwa. Apa yang lebih penting lagi, institusi fatwa perlu menghargai ataupun menaungi usaha tajdid yang dijalankan oleh IPTA Islam ini. Apa yang boleh dibanggakan, sebahagian besar daripada mufti di Malaysia dilihat telah akur dengan usaha yang dijalankan oleh IPTA Islam ini.
Sebagai rujukan khusus, perbincangan tentang usaha tajdid dalam pengajian syariah di IPTA Malaysia akan ditumpukan kepada peranan yang dimainkan oleh APIUM. Berasaskan kepada semangat tajdid yang lebih bersifat progresif, APIUM telah memahami keperluan dunia global dan telah cuba untuk melakukan reformasi (tajdid) yang lebih bersifat menyeluruh terhadap sistem pengajian keilmuan Islam semasa. Secara kasarnya, APIUM telah melakukan usaha reformasi pengajian syariah dalam dua aspek yang utama; aspek pedagogi pembelajaran dan aspek kandungan subjek yang ditawarkan. Kedua-dua aspek ini yang menjurus kepada usaha pemerkasaan ijtihad perlu dimaklumi oleh institusi fatwa, bukan setakat perlu mengambil graduan APIUM sebagai tenaga kerja, bahkan juga patut mempelajari serta mengaplikasinya dalam proses penyelidikan hukum di institusi fatwa terbabit.
Dalam aspek perubahan pedagogi pembelajaran, tiga kaedah utama telah diterapkan, merangkumi;
Pertama, menerapkan dua kaedah pedagogi baru iaitu kaedah PBL (Problem Based Learning) dan kaedah kemahiran berfikir dan berkomunikasi (Bahasa Arab dan Inggeris) yang boleh menjanakan daya kritikal dan kebolehan menyelesaikan masalah semasa kepada pelajar. Berasaskan kepada laporan kelemahan pelajar IPTA semasa amnya dan IPTA Islam khususnya, yang dikatakan mempunyai kelemahan berfikir dan berkomunikasi yang betul, yang kemudiannya lulusan IPTA ini gagal memenuhi pasaran sasaran pekerjaan, maka pihak Universiti Malaya telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan kaedah PBL ini. Kaedah ini yang biasanya dipakai untuk pelajar bidang perubatan, yang kononnya mampu melatih para pelajar menjadi pekerja yang boleh menganalisa setiap masalah yang timbul di dalam bidang masing-masing serta menyertakan jalan penyelesaian masalah terbaik untuk masalah tersebut.
Sebagai contohnya, kaedah dan pendekatan PBL ini telah digunakan dalam subjek hukum Islam, yang memerlukan empat langkah yang utama;
1) Pelajar akan didedahkan dengan kerangka konsep dan senarai buku rujukan yang berotoriti untuk sesuatu subjek khusus yang diajar.
2) Pendedahan tentang senario sesuatu masalah Islam sebenar akan dibentangkan untuk diselesaikan secara berkumpulan oleh pelajar, contohnya seperti membabitkan sesuatu fatwa yang dikeluarkkan oleh Jawatankuasa Fatwa kebangsaan.
3) Pelajar perlu melakukan penyelidikan secara holistic terhadap sesuatu masalah yang diberikan, yang barang pastinya akan membabitkan pelbagai disiplin ilmu moden yang lain. Dalam soal ini, sebagai contohnya, pelajar terpaksa melihat latarbelakang reality sebenar sesuatu masalah itu timbul dan juga perlu menganalisis secara kritikal kandungan fatwa yang dikeluarkan oleh JFK, samada ianya bersesuaian dengan prinsip Maqasid al-Shariah dan reality Malaysia.
4) Hasil penyelidikan pelajar ini akan dibentangkan di dalam kelas yang bakal dinilai oleh pelajar lain dan pensyarah itu sendiri.
Kedua, menerapkan paradigma pengajaran yang lebih bersifat interaktif. APIUM masih menggunapakai bentuk pengajaran kuliah (satu hala) dan pendekatan tutorial (dua hala). Falsafah pedagogi pengajaran bentuk baru (Islah - tidak menolak semua elemen tradisi) ini dirangka dengan mengubahsuai paradigma pendidikan tradisional, seperti;
1) Pendekatan student-oriented mengantikan pendekatan teacher-oriented (banking concept).
2) Pendekatan yang mengalakkan pensyarah-pelajar menggunakan kemahiran ICT moden (Virtual studies) seperti pencarian maklumat pengajian melalui laman web internet dan persembahan pengajaran-tutorial menggunakan peralatan ICT.
Ketiga, bagi memperkasakan lagi mutu alumni APIUM untuk menghadapi realiti alam pekerjaan, pelbagai perkara yang menyerupai program latihan industri telah dijalankan, membabitkan pelbagai agensi, badan dan sector kerjaya yang berkaitan dengan perkhidmatan perundangan Islam. Antara agensi ini adalah pejabat Mufti, Mahkamah syariah, Majlis dan Pejabat Agama Islam setiap negeri di Malaysia, YADIM, Bank-bank yang menawarkan sekim produk kewangan Islam dan sebagainya. Program latihan industri/smart partnership ini terbahagi kepada beberapa jenis;
1) Program yang mewajibkan seseorang pelajar untuk berkhidmat samada sebagai pekerja sukarela di agensi terbabit yang dijalankan semasa cuti semester APIUM. Pelajar bakal didedahkan dengan modus operandi, elemen kekuatan dan kelemahan yang dimiliki oleh sesebuah agensi yang terbabit..
2) Program/ bengkel dalam bentuk in house training – pakar-pakar awam dan swasta yang terlibat dalam perkhidmatan perundangan Islam dijemput memberikan maklumat tentang program yang dijalankan oleh agensi yang terbabit.
3) Program moot mahkamah syariah (secara olok-olok) yang mewajibkan pelajar bertindak sebagai penguambela dan pendakwa raya untuk membincangkan sesuatu kes tertentu. Program ini akan diadili oleh pakar penguam syar’I daripada luar- bakal mendedahkan pelajar tentang bagaimana menjalankan sesuatu perbicaraan kes di mahkamah syariah secara lebih tersusun dan matang.
Manakala dalam aspek kandungan subjek yang ditawarkan pula APIUM menerapkan pendekatan yang lebih bersifat bersepadu dan integrasi antara ilmu Islam dan secular. Kesemuanya mempunyai kaitan yang erat bagi proses pemerkasaan elemen ijtihad yang perlu diikuti serta dipelajari oleh institusi fatwa. Ianya merangkumi;
Pertama, pendekatan yang memperkenalkan subjek yang menunjukkan perkaitan antara Islam dengan persoalan dan disiplin moden; merangkumi subjek ekonomi, pengurusan, perundangan, pentadbiran awam dan sebagainya. Subjek-subjek ini dapat membiasakan pelajar dengan subjek keilmuan moden yang biasa dipakai dalam realiti kehidupan semasa.
Kedua, pendekatan yang mengalakkan pelajar APIUM untuk mengikuti pelbagai subjek luar APIUM yang ditawarkan oleh pelbagai fakulti yang berbeza di UM. Bagi pelajar APIUM yang mengambil kursus teras pengajian Islam, golongan ini telah digalakkan untuk mengambil kursus elektif luar di fakulti sains, kejuruteraan, sains sukan dan sebagainya. Mengikut pengamatan semasa, di antara subjek elektif luar yang amat diminati oleh pelajar APIUM kebanyakannya terdiri dari subjek (i) S&T dan masyarakat, (ii) Isu-isu Alam sekitar, (iii) Falsafah Sains, (iv) Sejarah dan Falsafah Sains Sains dan Teknologi dalam Dunia Islam semasa, (v) Sains pemerosesan makanan, (vi) sains Flora dan Fauna, (vii) Epistemologi dan Perspektif Ilmu dan (viii) Falsafah Sains Perbandingan.
Ketiga, menekankan subjek keagamaan Islam yang lebih menjuruskan kepada realiti Malaysia semasa dan bukannya bertumpu kepada realiti bukan Malaysia (Timur tengah) daripada zaman pertengahan silam. Termasuk juga usaha membentuk intellectual discourse dengan menjadikan konsep Fiqh Malaysia sebagai asas utama untuk menyelesaikan permasalahan ummah Islam di Malaysia, yang dipecahkan kepada beberapa tema yang utama, seperti keperluan hukum Islam semasa, budaya dan soal kepenggunaan. Intellectual discourse ini yang dibuat dalam bentuk seminar bertujuan menyedarkan masyarakat dan bakal menjana perkembangannya dengan menerimapakai pandangan sarjana yang berbeza, untuk tujuan memantapkan lagi gagasan yang dipilih.
Keempat, penerapan konsep dan pendekatan Fiqh Semasa (Malaysia) dalam kebanyakan subjek perundangan Islam. Ianya membabitkan beberapa kaedah yang cuba untuk menghidupkan kembali peranan fuqaha dengan penggunaan kaedah usul al-fiqh dalam beberapa aspek iaitu:
1) Intipati terpenting konsep ini antara lainnya adalah masyarakat Malaysia semasa perlu disediakan dengan suatu kerangka fiqh yang lebih sesuai dengan realiti Malaysia semasa. Ianya bukan bersifat longgar sehingga mengabaikan semua prinsip fiqh silam yang bernuasakan kepada realiti abad pertengahan Timur Tengah.
2) Proses menilai pandangan fuqaha klasik agar ianya bersesuaian dengan realiti semasa.
3) Proses menilai, mengubah dan melakukan ijtihad terhadap permasalahan semasa di Malaysia yang tiada jawapan daripada nas-nas Quran dan Sunnah, dan kitab fiqh klasik. Lebih tepat lagi, ianya bukan bersifat umum dan retorik semata-mata, bahkan turut menyediakan alternatif lengkap dan terperinci.
4) Proses mengenalpasti dan mewujudkan database Malaysia terutamanya dalam, pertama, gambaran yang lengkap tentang realiti semasa Malaysia dari segi latarbelakang sejarah, struktur sosial, politik, ekonomi dan beberapa isu semasa .Keduanya; keperluan mendalami ilmu-ilmu moden selain dari bidang hukum Islam seperti ilmu sains sosial, budaya, ekonomi, perubatan, politik dan sebagainya. Kewujudan database Malaysia ini dapat dijadikan panduan untuk membantu fuqaha menghasilkan proses penentuan hukum yang bersifat semasa .
5) Proses menyediakan kaedah-kaedah dan metodologi asas di dalam ilmu usul al-fiqh yang dapat membantu gologan fuqaha menyelesaikan persoalan baru di Malaysia. Antara metodologi berkaitan yang kerap digunakan adalah kaedah curf, ijtihad jamaci, tarjih, talfiq, ijmac, Maqasid Al-Sharicah, Maslahah, Siyasah Sharciyyah dan sebagainya.
6) Proses mengalakkan perkaitan prinsip Maqasid al-Shariah dengan konsep Fiqh Awlawiyyah yang lebih menekankan kepada perkiraan realiti masyarakat Malaysia semasa. Gabungan ini antara lainnya perlu bersifat terbuka dan tidak membataskan penyelesaian kepada sesuatu mazhab semata-mata. Apa yang lebih penting lagi, seseorang fuqaha perlu mengakui dan menghormati pandangan fuqaha lain yang terbabit di dalam proses mendapatkan maklumat untuk sesuatu penyelidikan hukum dan seterusnya melakukan analisa yang terbaik terhadap fakta terbabit. Hal ini boleh dilakukan dengan pendekatan model fiqh perbandingan membabitkan semua mazhab terbesar di dalam Islam, dengan cara menerima pakai sumber yang berbeza, meneliti hujah yang digunakan secara terbuka dan memilih untuk menerima pakai mana-mana pendapat yang lebih bertepatan dengan kehendak syarak. Dalam pendekatan ini seseorang fuqaha perlu membebaskan diri dari belenggu fanatik mazhab dan mengutamakan maslaha perpaduan ummah melebihi segala-galanya. Gabungan ini dilihat akan lebih menyerlahkan sifat kesyumulan yang dimiliki oleh hukum Islam, disamping ianya dapat mengelakkan prinsip Maqasid al-Shariah ini digunakan secara sewenang-wenangnya oleh kalangan yang tidak bertanggungjawab, dengan menggunakan topeng Maqasid al-Shariah. Hal ini boleh dikatakan sebagai fenomena yang agak mendesak demi untuk memastikan agar konsep dan prinsip hukum Islam yang terpilih tidak disalah gunakan bagi tujuan mendapatkan justification (pengesahan dan keabsahan) syarak terhadap mana-mana amalan yang bertentangan dengan prinsip asas Islam. Antara aspek keutamaan yang menjadi sandaran ini;
a) Keutamaan kualiti daripada kuantiti.
b) Keutamaan ilmu daripada amal.
c) Keutamaan objektif daripada bentuk lahir.
d) Keutamaan ijtihad daripada Taqlid.
e) Keutamaan memudahkan daripada memayahkan.
f) Keutamaan kerja-kerja untuk faedah umum daripada kerja untuk faedah sendiri.
g) Keutamaan Fardu Ain daripada fardu kifayah.
h) Keutamaan hak masyarakat daripada hak individu.
Kelima, penekanan kepada pemakaian metodologi kajian yang betul di dalam sesuatu kajian ilmiah. Dalam sejumlah besar forum ilmiah, pihak APIUM secara tidak langsung telah menekankan kepentingan mewujudkan kerangka metodologi kajian yang betul, seperti;
1) Menekankan tentang kepentingan penyelidikan ilmiah di dalam proses pembangunan pemikiran. Hal ini boleh dibuat dengan menanamkan ke dalam diri seseorang sarjana Islam tentang kepentingan penyelidikan ilmiah dalam usaha mengangkat martabat ummah.
2) Memperjelaskan tentang aspek epistemologi hukum Islam di dalam proses pembangunan konsep Fiqh Malaysia.
3) Menekankan usaha melakukan proses sentesis di antara ilmu usul al-fiqh dengan disiplin sains sosial moden.
4) memperincikan kekuatan kaedah penyelidikan hukum Islam klasik yang diasaskan oleh fuqaha silam.
Ketujuh, melakukan aktiviti penyelidikan terhadap hasil fatwa yang dikeluarkan oleh institusi fatwa semasa. Apa yang boleh dibanggakan, APIUM melalui jurnal Fiqh telah mewujudkan ruangan khusus yang mengumpul dan menganalisa setiap hasil fatwa yang dikeluarkan oleh institusi fatwa. Usaha ini bertujuan untuk mengajar pelajar dan pegawai di pejabat Mufti sendiri bagaimanakah kaedah terbaik yang perlu dilakukan untuk menghasilkan sesuatu fatwa yang bermutu. Mungkin usaha ini menyamai pendekatan yang dilakukan oleh Prof Ahmad Ibrahim yang menuntut seseorang Qadi mempelajari legal precedent yang dikeluarkan oleh hakim Mahkamah Sivil di dalam Malaysian Law Journal, yang kemudiannya bakal diterapkan usaha penambahbaikian dalam keputusan penghakiman di Mahkamah Syariah.
Kelapan, pemilihan tema kajian yang agak mendesak keperluannya di kalangan umat Islam semasa. Hal ini boleh dikesan daripada tindakan APIUM yang mengalakkan pelajar pasca siswazah melakukan kajian terhadap sesuatu isu penting yang timbul di dalam masyarakat semasa. Antara isu-isu ini yang termasuk dalam subjek fiqh kepenggunaan adalah soal gender, rawatan kumbahan air, sains perubatan, , Bio-perubatan, Farmasi, Astronomi, hasil tenusu F&N, isu perubahan social , Fatwa JFK dan banyak lagi. Hasil kajian di peringkat pasca siswazah ini perlu dipergunakan sepenuhnya oleh institusi fatwa di Malaysia, kerana ianya dihasilkan melalui proses penyelidikan hukum Islam yang rapi.

Kesimpulan.
Sebagai rumusan akhir, kita dapat menegaskan beberapa perkara, pertama, ijtihad merupakan suatu konsep, metode dan aplikasi yang teramat penting di dalam system perundangan Islam. Hal ini terbukti dengan sumbangan dan peranan yang pernah dan bakal terus dimainkan oleh konsep ijtihad ini dalam usaha membangun dan mengembangkan system perundangan Islam. Apa yang lebih penting lagi, ianya boleh digunakan sebagai alat ataupun mekanisme utama yang mempergunakan sumber wahyu dengan bantuan daya intelektual manusia yang terpimpin, bagi menyelesaikan permasalahan hukum yang barang pastinya akan sentiasa dihadapi oleh masyarakat. Kedua, konsep ijtihad ini secara langsung dapat dikaitkan dengan institusi fatwa kerana ianya merupakan saluran penyelesaian masalah utama yang boleh dipergunakan bagi tujuan mendidik dan mengawal kelangsungan hidup sesuatu masyarakat agar ianya sentiasa berjalan bertepatan dengan prinsip Islam. Ketiga, berasaskan kepada dapatan kajian ilmiah yang dilakukan terhadap aplikasi ijtihad di institusi fatwa di Malaysia; mendapati masih terdapat terlalu banyak kelemahan substansial yang dialami oleh institusi fatwa yang kemudiannya amat perlu dilakukan proses penambahbaikian yang terancang. Keempat, program reformasi terhadap institusi fatwa ini perlu dilakukan melalui dua kaedah yang utama; menyedarkan para mufti tentang peri pentingnya dipertingkatkan tahap professionalism jawatan tersebut. Selanjutnya, kalangan warga institusi fatwa perlu mempelajari dan mendapatkan bantuan daripada institusi pengajian syariah di Malaysia.

No comments: