Sunday, January 17, 2010

TAJUK : KEMAHIRAN INSANIAH DALAM INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI ISLAM DI MALAYSIA (RG031/09HNE)

PENYELIDIK:

1.Prof Madya Mohd Kamil Abd Majid (Ketua Projek)
2.Prof Madya Dr Rahimin Affandi Abdul Rahim (Penyelidik)
3.Dr Alias Azhar (UUM)
4.Dr Hasanah Khazifd (USM)
5.Khairul Anuar Md Khir (Pembantu Penyelidik)

LATARBELAKANG DAN PERMASALAHAN KAJIAN
Dewasa ini, dengan kedatangan dunia globalisasi, kita dapat menyaksikan kehendak pasaran kerjaya mementingkan nisbah pekerja yang memiliki ciri-ciri; pertama; prestasi kerja yang berasaskan kepada kemahiran dan bukannya kerana faktor kronisme. Kedua; Kebolehan berkomunikasi yang efektif, khususnya membabitkan penguasaan bahasa Inggeris. Ketiga; Kebolehan kerja berpasukan serta mampu menyelesaikan masalah secara praktikal. Keempat; Kebolehan menggunakan kemahiran ICT yang tinggi. Atas dasar inilah pihak Kementerian Pendidikan Tinggi telah menetapkan agar subjek Kemahiran Insaniah mesti diterapkan kepada pelajar bagi melahirkan insan yang seimbang. Semangat ini telah diterjemahkan oleh IPT dalam sistem pengajaran dan pembelajaran samada secara formal ataupun tidak formal. Kemahiran insaniah (KI) atau soft skills diperkenalkan bertujuan untuk mengeksploit bakat yang ada dalam setiap pelajar supaya lahir sebagai insan yang seimbang dari setiap sudut jasmani, emoai rohani san intelektual seiring dengan Teras Falsafah Pendidikan.
Antara elemen Kemahiran insaniah yang ditekankan merangkumi tujuh elemen utama; (1) Kemahiran Berkomunikasi, (2) Pemikiran Kritis dan Kemahiran Menyelesaikan Masalah, (3) Kemahiran Kerja Berpasukan, (4) Pembelajaran Berterusan dan Pengurusan Maklumat, (5) Kemahiran Keusahawan, (6) Etika dan Moral Professional dan (7) Kemahiran Kepimpinan. Tidak dapat dinafikan bahawa kesemua elemen Kemahiran insaniah ini memang sejak dahulu lagi telah menjadi sebahagian daripada kemahiran yang diajarkan di IPTA Islam. Namun begitu, cadangan penerapan elemen Kemahiran insaniah dalam bentuknya yang agak komprehensif masih lagi menimbulkan pelbagai masalah kepada IPTA Islam, seperti;
1.Kekaburan kalangan pensyarah dan pentadbir sendiri tentang elemen Kemahiran insaniah yang dikehendaki oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi.
2.Kekaburan tentang mekanisme penerapan kurikulum dan pedagogi Kemahiran insaniah yang sepatutnya, samada ianya perlu dijalankan oleh pihak pusat (seperti pihak HEP dan SKET) ataupun di peringkat fakulti.
3.Kaedah pemantauan dan penilaian yang patut dibuat terhadap subjek Kemahiran insaniah ini.
4.Masalah beban tugas yang bertambah yang terpaksa ditanggung oleh pensyarah dan pelajar sendiri.

Berasaskan kepada latarbelakang masalah ini, suatu kajian ilmiah perlu dilakukan bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh IPTA Islam ini dengan mengemukakan kerangka konsep, mekanisme dan pedagogi terbaik untuk subjek Kemahiran insaniah ini.

SOROTAN LITERATUR
Mengikut pengamatan semasa yang dibuat terhadap bidang kajian yang dipilih ternyata pendekatan khusus yang cuba ditekankan dengan tajuk kajian ini masih lagi belum dilakukan oleh pengkaji sebelumnya. Hal ini boleh dimaklumi memandangkan subjek Kemahiran insaniah ini masih terlalu baru diperkenalkan. Apa yang telah diusahakan kebanyakannya membabitkan pelbagai aspek yang agak terhad, seperti :-
1)Kajian yang menumpukan kepada sejarah pendidikan tinggi Islam di dalam sejarah tamadun umat Islam, tanpa merujuk khusus kepada lokasi di kawasan Alam Melayu.
2)Kajian yang menumpukan kepada sejarah pendidikan Tinggi Islam di Malaysia dan Indonesia, yang menumpukan kepada tiga peranan penting yang boleh disumbangkan oleh institusi pendidikan Tinggi Islam; (i) melahirkan insan yang sempurna dan seimbang, dari segi jasad, ruh dan akal bagi memenuhi tujuan pengabdiaan kepada Allah; (ii) melahirkan tenaga kerja dan intelektual ummah yang mampu berkhidmat kepada masyarakat secara berkesan dan berhemah mengikut bidang kemahiran yang tertentu dan (iii) melahirkan golongan ilmuan dan sarjana yang boleh membangun dan memperkembangkan sesuatu disiplin keilmuan Islam moden. Masa depan umat Islam boleh dikatakan antara lainnya bergantung sepenuhnya kepada golongan ilmuan ini.
3)Kajian yang mengkaji IPTA/IPTS Islam di Malaysia yang terbahagi kepada dua jenis yang utama; IPTA/IPTS yang menyediakan pengajian bagi membekalkan guna tenaga kerja yang diperlukan dalam konteks Malaysia dan IPTA/IPTS yang berfungsi hanya sebagai kursus Persediaan Pelajar melanjutkan pengajian mereka ke beberapa Universiti di timur Tengah. IPTA/IPTS jenis yang kedua ini kerap dipertikaikan kerelevanannya untuk tujuan program pembangunan Insan di Malaysia.
4)kajian yang memperlihatkan sikap prihatin masyarakat Melayu semasa yang begitu menyanjung tinggi peranan IPTA/IPTS Islam yang diharapkan mampu menyediakan jawapan dan penyelesaian masalah kepada pelbagai masalah gejala social yang berlaku di dalam masyarakat. Ini terbukti apabila masyarakat Melayu masih memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke IPTA/IPTS Islam, walaupun kedua-dua institusi tersebut dituduh dengan pelbagai nisbah yang buruk.
5)Kajian yang memperincikan pedagogi pengajian Institusi pendidikan Tinggi Islam zaman silam dan moden- terbahagi kepada beberapa jenis pedagogi yang utama yang masih lagi dipakai secara meluas pada zaman moden ini.
6)Kajian yang menyentuh aspek pengajian Syariah dan Usuluddin, yang telah dijalankan dalam konteks Malaysia. Ianya memperincikan elemen kekuatan dan kelemahan yang dimiliki oleh isntitusi terbabit. Selanjutnya, kajian-kajian ini telah memperihalkan pelbagai program reformasi institusi pendidikan Tinggi Islam di Malaysia yang telah dibangunkan dengan inisiatif dan galakan daripada pihak kerajaan sendiri.
7)Kajian yang menyentuh program reformasi pendidikan Tinggi Islam di Malaysia amnya dan APIUM khususnya, dengan memberikan focus utama kepada usaha proaktif menerapkan pelbagai pendekatan baru dan bersifat semasa di dalam kurikulum pengajian Islam. Antara lainnya ini membabitkan penerapan konsep Fiqh semasa, perubahan struktur pengajian, integrasi antara subjek klasik dan moden, penekanan kepada isu metodologi dan pemikiran ilmiah, tindakan mengambilkira reality tempatan dan juga penekanan kepada kemahiran berkominikasi.
8)Kajian menggunakan perspektif sejarah yang meneliti sumbangan yang telah dimainkan oleh golongan reformis Melayu silam (Kaum Muda) dalam bidang pendidikan Islam, yang rata-ratanya masih berkekalan pengaruhnya hingga pada masa sekarang.
9)Kajian yang membincangkan tentang pengaruh gerakan kebangkitan Islam di tahun 1970an-1990an yang telah mencetuskan keperluan untuk melakukan proses re-thinking dan program reformasi terhadap agensi Islam, termasuklah institusi pendidikan Tinggi Islam sendiri. Dalam soal ini, IPTA/IPTS Islam diharapkan mampu membekalkan kader-kader reformis yang bakal menerapkan idea tajdid moden ke dalam masyarakat.
10)Kajian secara ringkas tentang pembabitan graduan Institusi pendidikan Tinggi Islam (lulusan universiti Al-Azhar) di dalam program pembangunan di Malaysia, khususnya membabitkan institusi pentadbiran undang-undang Islam yang ditonjolkan secara minimal berbanding dengan lulusan universiti tempatan yang kononnya telah memainkan peranan yang cukup besar dan bermakna.
11)Kajian yang menerangkan dalam bentuk yang terbatas tentang apa yang diperlukan oleh sector pekerjaan luar daripada graduan pengajian Islam. Ianya lebih menumpukan kepada disiplin pengurusan Islam yang ditawarkan oleh IPTA/IPTS Islam. Apa yang jelasnya, rata-ratanya sector pekerjaan luar ini menunjukkan sikap yang positif dengan segala pembaharuan yang diusahakan oleh IPTA/IPTS yang terbabit. Selain itu juga, terdapat kajian ringkas yang meneliti jumlah graduan APIUM yang telah mendapat peluang kerja apabila mereka tamat belajar.
12)Kajian yang cuba meneliti perkembangan pendidikan di Malaysia dalam era globalisasi yang menumpukan perhatian terhadap impak Akta Pendidikan 1996 yang melahirkan pelbagai IPTS semasa, tanpa melanjutkan kajian terhadap peranan IPTA/IPTS Islam yang turut terbabit di dalam mendokong pendekatan pendemokrasian pendidikan yang menawarkan program twinning dan francais seperti mana dilakukan oleh universiti-universiti barat.
13)Kajian yang menyentuh isu mahasiswa IPTA di zaman moden ini yang dilihat antara lainnya kepada aspek pembudayaan ilmu, pembelajaran, kerjaya dan kepimpinan yang perlu diguna pakai untuk konteks Malaysia semasa. Kajian ini lebih menumpukan perhatian kepada aspek idealism yang sepatutnya dimainkan oleh mahasiswa semasa dan bukannya menonjolkan tentang reality mahasiswa semasa. Setakat ini, kalau adapun kajian yang meneliti isu mahasiswa IPTA/IPTS, rata-ratanya telah menonjolkan elemen negative yang diamalkan oleh mahasiswa ini seperti sifat malas dan ketiadaan sifat jati diri serta patriotisme.
14)Kajian yang cuba melihat program pembangunan di Malaysia secara menyeluruh dari pelbagai aspek tanpa menjuruskan perhatian kepada elemen pembangunan modal insan. Namun begitu, dengan pengaruh gerakan kebangkitan Islam di tahun 1970an-1990an terdapat kecenderungan yang cuba mengaitkan konsep pembangunan ini dengan pendekatan Islam yang lebih komprehensif dan sekali gus mengkritik program pembangunan selepas merdeka yang dikatakan lebih berteraskan prinsip sekularisme barat. Dalam kajian bentuk baru ini, perhatian khusus telah diberikan kepada konsep pembangunan insan ala Islam dan memperlihatkan sifat kerelevanannya untuk konteks dunia moden. Terdapat juga beberapa kajian tentang tema pembangunan ala barat ini yang mengaitkannya dengan segala kemusnahan dan masalah gejala social yang timbul di Malaysia, sebagai akibat daripada tindakan tidak mementingkan elemen pembangunan insan yang sepatutnya.

Berasaskan kepada apa yang telah dikaji ini, terdapat beberapa kekosongan kajian yang mungkin boleh diisi dengan projek penyelidikan ini, yang terdiri dari :-
1Kajian yang menerangkan secara terperinci tentang konsep kemahiran insaniah dilihat dari sudut pandangan Islam, diikuti kemudiannya dengan cadangan untuk menerapkannya di dalam IPTA Islam di Malaysia.
2.Perincian tentang program reformasi IPTA Islam yang sepatutnya dijalankan dalam konteks dunia global merangkumi persoalan tentang isi, pendekatan dan kurikulum subjek kemahiran insaniah yang boleh diterapkan oleh IPTA/IPTS Islam yang terbabit, bagi menjadikannya lebih relevan dengan kehendak pasaran semasa.
3.Perincian tentang elemen positif dan negative daripada program reformasi yang setakat ini telah diusahakan oleh IPTA/IPTS di Malaysia. Hal ini secara langsung bakal memperlengkapkan lagi proses pemerkasaan yang boleh dijalankan untuk IPTA/IPTS Islam.
4.Perincian tentang kehendak pasaran kerja untuk graduan IPTA/IPTS Islam yang ditetapkan oleh sektor pekerjaan luar. Elemen yang diperlukan ini bakal membantu program penambahbaikian yang diusahakan oleh IPTA/IPTS Islam.
5.Perincian lanjut tentang sikap dan komentar sector pekerjaan luar dengan apa yang telah diusahakan oleh IPTA/IPTS Islam.
6.Perincian tentang program perancangan strategic yang telah dan sepatutnya diterapkan oleh IPTA/IPTS Islam semasa membabitkan subjek kemahiran insaniah , seperti mana dijalankan secara berkesan oleh IPTA di Negara barat.


SKOP KAJIAN
Kajian ini dirangka khusus yang bakal menumpukan perhatian kepada beberapa aspek penting;
1.Isu ontologi, epistemologi dan aksiologi konsep kemahiran insaniah.
2.Bagaimana mekanisme penerapan dan penilaian konsep kemahiran insaniah yang dijalankan oleh IPTA Islam.
3.IPTA Islam yang dipilih terdiri daripada UM, UKM, UUM, UPSI, UDM, UIAM, USIM, UTM dan UMK.

OBJEKTIF
Terdapat beberapa objektif penting sebagai panduan bagi memastikan agar kajian yang dijalankan menepati tajuk kajian. Antara objektif kajian ini ialah:
1.Merangka kaedah penyelesaian masalah ke arah memperbaiki usaha dalam penerapan kemahiran insaniah dalam pengajian syariah di Malaysia samada di peringkat konseptual dan mencadangkan program bertindak yang lebih mantap
2.Mengenalpasti kepentingan kemahiran insaniah dan keperluannya dikehendaki oleh sektor awam dan swasta untuk sesuatu bidang kerjaya khususnya yang tmembabitkan lulusan institusi pendidikan Islam.
3.Meneliti secara makro dan mikro fungsi dan keberkesanan semua elemen kemahiran insaniah yang berkaitan dengan lulusan pengajian Syariah.
4.Meneliti program reformasi dan pemerkasaan kurikulum pendidikan institusi pendidikan Islam di Malaysia bagi melahirkan sumber tenaga kerja yang kompeten untuk keperluan semasa.


METODOLOGI KAJIAN

Dalam menjalankan kajian ini, dua kaedah utama bakal digunakan untuk mengumpul data.
1.Pengumpulan data melalui kaedah Perpustakaan

Bagi membentuk landasan konsep dan teori bagi kajian ini, maka rujukan perlu dibuat terhadap bahan-bahan semasa yang terdapat dalam depositori perpustakaan dalam tajuk yang berkaitan. Di samping bahan-bahan literatur dalam simpanan perpustakaan, dokumen-dokumen penting dan rasmi seperti minit mesyuarat, laporan penyelidikan dan laporan-laporan lain, statistik, dokumen-dokumen rasmi Jabatan Perdana Menteri, agensi Islam juga merupakan data-data penting bagi kajian ini.

2.Pengumpulan data melalui kajian lapangan.

Data-data utama diperolehi melalui kajian lapangan. Data-data utama diperolehi melalui teknik kajian lapangan iaitu melalui temubual secara mendalam (in-depth interview) dan soal selidik.
Kaedah Temubual – bakal dikhususkan kepada responden terpilih menggunakan beberapa kaedah utama;
1)Mengadakan temujanji dengan setiap anggota yang bakal ditemuduga bagi memastikan mereka dapat meluangkan masa yang terbaik untuk proses temuduga.
2)Penyelidik akan membahagikan proses temubual ini kepada dua sessi yang utama, dimulakan dengan (i) sessi pengenalan yang menjelaskan maksud dan tujuan kajian secara tidak langsung yang bakal merapatkan hubungan antara penulis dengan orang yang bakal ditemubual, (ii) sessi temuduga sebenar yang lebih serious dan berfokus kepada isi kandungan sebenar kajian ini dibuat.
3)Untuk memastikan kebolehpercayaan maklumat dan kedudukan orang ditemuduga tidak terjejas, penyelidik akan memaklumkan kepada mereka objektif kajian dan menyediakan borang persetujuan yang mengambilkira etika persetujuan berpengetahuan (informed consent) seperti mana ditegaskan di dalam code of ethical conduct for research involving humans.
4)Temuduga akan dilakukan secara terancang dengan menggunakan pita rakaman dan catitan, yang kemudiannya dipindahkan ke dalam bentuk transcipt penulisan.
5)Soalan yang agak rapi dan terancang telah disediakan terlebih dahulu. Di samping juga, terdapat beberapa soalan spontan yang digunakan akibat daripada beberapa isu dan jawapan yang diberikan oleh orang ditemuduga.
6)Kesemua orang yang ditemuduga adalah merupakan kakitangan yang memegang jawatan penting atau pun mempunyai autoriti di dalam IPTA Islam. Hal ini dilakukan demi untuk memastikan data-data yang diperolihi adalah tepat dan boleh menjadi sumber rujukan utama.
7)Isi kandungan temuduga ini telah dipastikan agar ianya lebih bersifat menjurus kepada skop dan tumpuan kajian.
8)Proses pengumpulan data melalui temuduga dan pemerhatian kerap kali dibantu dengan pengumpulan data dokumen rasmi yang berupakan laporan mesyuarat, minit mesyuarat, pamplet, brosure dan sebagainya yang dikategorikan sebagai dukomen sulit.
9)Kaedah tringulasi telah digunakan bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan data yang terkumpul melalui temuduga. Melalui kaedah ini penyelidik tidak hanya bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh seorang anggota koleksi sahaja, sebaliknya merujuk kepada anggota lain supaya data yang diperolihi adalah tepat dan konsisten.

Kaedah Soal Selidik - Satu set soal selidik akan dibentuk untuk mengenal pasti aspek-apsek kefahaman tentang konsep kemahiran insaniah di kalangan responden. Ia juga dibentuk untuk menilai tahap pemahaman, pencapaian, faktor penolak dan penarik untuk skop yang dikaji- berkaitan konsep kemahiran insaniah di IPTA Islam.

ANALSIS DATA
Kesemua data-data teoritikal dan empirikal yang telah dikumpulkan akan dianalisis secara diskriktif. Untuk tujuan ini kaedah SPSS akan digunakan untuk menganalisis semua maklumat dan data-data yang diperolehi.


HASIL PENYELIDIKAN

1.Menyediakan data base lengkap dalam bentuk CDROM dan koleksi Bibliografi tentang konsep kemahiran insaniah.
2.Menyediakan laporan dan pelan bertindak untuk memperkasakan lagi usaha reformasi IPTA Islam amnya dan penerapan subjek kemahiran insaniah yang bersemangat Islam khususnya.
3.Menyediakan pelan bertindak untuk memperkasakan graduan IPTA Islam di Malaysia dengan menerapkan kesemua elemen kemahiran insaniah yang diperlukan oleh sektor kerjaya luar.
4.Menyediakan kertas laporan, kertas kerja dan monograf yang membabitkan subjek kemahiran insaniah dalam bidang pengajian Islam, yang bakal diterbitkan samada di peringkat antarabangsa dan dalam negeri.

KEPENTINGAN DAN FAEDAH PENYELIDIKAN
1.Kajian ini meningkatkan lagi kepakaran pedagogi yang lebih mantap dalam bidang pengajian Islam.
2.Nilai-nilai keaslian yang diperolehi melalui kajian lapangan dapat digunakan bagi menyokong teori-teori yang sedia ada.
3.Kajian ini bakal membantu pihak IPTA Islam di Malaysia melakukan reformasi pendidikan yang lebih menepati kehendak semasa.
4.Kajian ini membantu pihak-pihak berkepentingan seperti institusi Fatwa, institusi kewangan Islam, Mahkamah Syariah dan Jabatan Kemajuan Islam untuk melahirkan modal insan bagi mewujudkan sistem Islam yang bersesuaian dengan kehendak masyarakat Malaysia semasa.

1 comment:

anaszaid said...

salam en.mana erk nk dapat sejarah kemahiran generik....