Sunday, January 17, 2010

TAJUK : Pembinaan Konsep Fiqh Tempatan Di Malaysia : Kajian Terhadap Infranstruktur Intelektual Dan Pelaksanaan.(FP027/2008C)

PENYELIDIK:
1.Prof Madya Dr Rahimin Affandi Abd Rahim (Ketua Penyelidik)
2.Prof Madya Dr Shamsiah Mohd (Penyelidik)
3.Prof Madya Datin Dr Paizah Ismail (Penyelidik)
4.Nor Hayati Bt Md. Dahlal (Pembantu Penyelidik)

LATARBELAKANG DAN PERMASALAHAN KAJIAN
Pada tahun 1997 Profesor Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid telah mengemukakan cadangan agar diwujudkan konsep fiqh tempatan yang lebih sesuai untuk realiti masyarakat Malaysia. Secara tidak langsung, cadangan ini merupakan penerusan kepada usaha tajdid dan program pengisian pembangunan Malaysia, dengan jalan penyelesaian Islam. Gagasan ini kemudiannya secara berperancangan rapi telah diterapkan dalam pengajian syariah di APIUM dan pelbagai bentuk intellectual discourse (seminar) yang khusus. Seminar Fiqh Malaysia ini telah dilakukan sebanyak lima kali, dengan tumpuan kepada pelbagai tema penting, seperti penonjolan sifat kedinamisme pengajian syariah, hukum Islam dan program pembangunan Malaysia, hukum Islam dan pewujudan fiqh yang bercirikan tempatan, hukum Islam dan kebudayaan serta hukum Islam dan elemen pemikiran moden.
Apa yang menjadi masalahnya, masih terdapat beberapa kelemahan dan kelompongan yang berkaitan dengan gagasan fiqh tempatan. Ianya terdiri dari;
1.Ketiadaan suatu kerangka metodologi yag baku untuk konsep fiqh tempatan ini, samada di peringkat IPTA ataupun agensi pelaksana Syariah. Hal ini terbukti dengan timbulnya beberapa kekeliruan tentang konsep fiqh Malaysia. Ada sesetengah kalangan yang mengatakan bahawa konsep ini cuba untuk meninggalkan Mazhab Shafi’i dan menubuhkan mazhab sendiri.
2.Ketiadaan kerangka penerapan yang jelas untuk konsep fiqh Malaysia ini samada di peringkat IPTA ataupun agensi pelaksana Syariah.
3.Masih terdapat banyak isu hukum Islam yang gagal dijawab menggunakan kerangka metodologi yang sesuai dengan reality Malaysia semasa.

Rentetan kepada ketiga-tiga kelemahan ini, telah menyebabkan sesetengah kalangan masyarakat mendakwa bahawa sistem Fiqh Islam telah ketiggalan zaman dan sebagai cara untuk mengatasinya, umat Islam perlu berpegang kepada kaedah perundangan barat dengan meninggalkan sepenuhnya warisan fiqh Islam silam. Berasaskan kepada latarbelakang masalah ini, suatu kajian ilmiah perlu dilakukan bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam ini dengan mengemukakan sistem fiqh Islam alternative.

SOROTAN LITERATUR
Isu fiqh Islam semasa ini sering dijadikan bahan kajian oleh sarjana Islam moden, kerana kepentingannya bagi mengisi keperluan umat Islam semasa. Namun begitu, ianya belum lagi bersifat komprehensif, sehingga dapat digunakan bagi mengatasi masalah hukum Islam semasa. Kajian-kajian ini dapat diklasifikasi kepada beberapa bentuk;
1.Kajian yang menerangkan tentang konsep fiqh tempatan bagi keperluan masyarakat Malaysia semasa, yang amat berbeza dengan realiti di luar latarbelakang Malaysia. Pandangan ini bersamaan dengan gagasan Fiqh Indonesia dan fiqh kontemporari yang turut dikemukakan oleh sarjana Islam luar negara.
2.Kajian yang menerangkan sifat dinamisme yang dimiliki oleh sistem fiqh Islam, yang menjadikannya tetap relevan untuk menanggani sebarang isu hukum yang timbul di dalam masyarakat Islam.
3.Kajian yang menunjukkan isu-isu penting dan urgent , yang patut diketahui oleh sarjana Islam demi untuk memantapkan lagi peranan mereka ke arah menyediakan jawapan Islam moden terhadap pemasalahan umat Islam semasa. Antara isu hukum yang dimaksudkan adalah isu budaya, kepenggunaan, zakat, gender, muamalat, ibadat, jinayah, S&T , ICT, teknologi pemakanan, perubatan dan Siyasah.
4.Kajian yang cuba memberikan penekanan tentang kepentingan sarjana Islam mempelajari sains moden di dalam menanggani masalah hukum amali umat Islam semasa, yang sayangnya telah diulas tanpa disertakan dengan apa-apa perincian yang lebih mendalam.
5.Kajian yang cuba mengupas dan menganalisa isu-isu sains gunaan moden yang ada kaitannya dengan keperluan masyarakat menggunakan metodologi ilmu usul al-fiqh.
6.Kajian yang menerangkan pengalaman APIUM menerapkan pendekatan Fiqh tempatan dalam pengajian syariah di Malaysia.
7.Kajian yang menekankan kepentingan dibangunkan kerangka metodologi Islam untuk konsep fiqh tempatan, khususnya bagi menghadapi cabaran dunia global.
8.Kajian yang menyentuh soal tren pemahaman masyarakat dan sarjana Islam yang terbahagi kepada tren tradisionalis, sekularis dan reformis, berhadapan dengan isu tajdid hukum Islam.
9.Kajian yang cuba melontarkan idea pembaharuan (Tajdid) untuk hukum Islam, yang sayangnya dilihat kurang menghargai warisan fuqaha silam dan terlalu terpengaruh dengan gagasan pembaharuan barat.
Daripada kesemua bahan-bahan kajian ini, secara jelas kita dapat melihat bagaimana masih terdapat banyak ruang kosong yang boleh diisi dengan kajian ini khususnya yang membabitkan fokus yang dikaji. Ianya terdiri dari;
1.Perincian tentang kerangka metodologi konsep fiqh Malaysia, dirujuk kepada elemen ontologi, epistemologi dan aksiologi.
2.Perincian tentang realiti pemahaman konsep fiqh Malaysia dalam pengajian syariah di IPTA Islam di Malaysia – elemen pedagogi pengajian.
3. Perincian semasa tentang realiti pemahaman masyarakat dan pakar hukum Islam terhadap konsep fiqh Malaysia.
4.Perincian semasa tentang mekanisme dan metodologi perumusan hukum Islam yang dijalankan oleh agensi Islam, merangkumi institusi mufti, Qadi dan penasihat syariah di institusi kewangan.


SKOP KAJIAN
Kajian ini bakal membataskan tumpuan kepada beberapa isu yang berkaitan dengan konsep Fiqh Malaysia, yang dibuat terhadap dua fokus; pertama, infranstruktur intelektual membabitkan kakitangan Akademik-Fuqaha di Institusi Pendidikan Tinggi Islam di Malaysia. Kedua, agensi pelaksana perundangan Islam yang membabitkan mufti, penasihat syariah di institusi kewangan dan pengamal undang-undang Islam.
Bagi kedua fokus pilihan ini, tumpuan akan akan diberikan kepada isu fiqh Malaysia merangkumi;
1.Isu ontologi, epistemologi dan aksiologi konsep fiqh Malaysia.
2.Bagaimana konsep fiqh Malaysia perlu difahami dan diterapkan dalam pengajian syariah.
3.Bagaimana konsep fiqh semasa perlu diterapkan dalam metodologi kajian hukum dan disebarkan ke dalam masyarakat awam.


OBJEKTIF
Kajian ini mempunyai beberapa objektif yang utama :-
1.Memungut data terperinci untuk membina kerangka metodologi konsep Fiqh Malaysia.
2.Meneliti kefahaman kakitangan akademik, fuqaha dan masyarakat awam tentang konsep fiqh Malaysia.
3.Meneliti pandangan dan komentar pakar fiqh bagi memantapkan konsep fiqh Malaysia.
4.Membandingkan konsep fiqh Malaysia dengan pandangan fuqaha Islam luar negeri.
5.Meneliti elemen pembinaan dan penerapan konsep Fiqh Malaysia di dalam masyarakat Malaysia semasa.




METODOLOGI KAJIAN
Dalam menjalankan kajian ini, dua kaedah utama bakal digunakan untuk mengumpul data.
1. Pengumpulan data melalui kaedah Perpustakaan

Bagi membentuk landasan konsep dan teori bagi kajian ini, maka rujukan perlu dibuat terhadap bahan-bahan semasa yang terdapat dalam depositori perpustakaan dalam tajuk yang berkaitan. Di samping bahan-bahan literatur dalam simpanan perpustakaan, dokumen-dokumen penting dan rasmi seperti minit mesyuarat, laporan penyelidikan dan laporan-laporan lain, statistik, dokumen-dokumen rasmi Jabatan Perdana Menteri, agensi Islam juga merupakan data-data penting bagi kajian ini.

2. Pengumpulan data melalui kajian lapangan.

Data-data utama diperolehi melalui kajian lapangan. Data-data utama diperolehi melalui teknik kajian lapangan iaitu melalui temubual secara mendalam (in-depth interview) dan soal selidik.
Kaedah Temubual – bakal dikhususkan kepada responden terpilih menggunakan beberapa kaedah utama;
1) Mengadakan temujanji dengan setiap anggota yang bakal ditemuduga bagi memastikan mereka dapat meluangkan masa yang terbaik untuk proses temuduga.
2) Penyelidik akan membahagikan proses temubual ini kepada dua sessi yang utama, dimulakan dengan (i) sessi pengenalan yang menjelaskan maksud dan tujuan kajian secara tidak langsung yang bakal merapatkan hubungan antara penulis dengan orang yang bakal ditemubual, (ii) sessi temuduga sebenar yang lebih serious dan berfokus kepada isi kandungan sebenar kajian ini dibuat.
3) Untuk memastikan kebolehpercayaan maklumat dan kedudukan orang ditemuduga tidak terjejas, penyelidik akan memaklumkan kepada mereka objektif kajian dan menyediakan borang persetujuan yang mengambilkira etika persetujuan berpengetahuan (informed consent) seperti mana ditegaskan di dalam code of ethical conduct for research involving humans.
4) Temuduga akan dilakukan secara terancang dengan menggunakan pita rakaman dan catitan, yang kemudiannya dipindahkan ke dalam bentuk transcipt penulisan.
5) Soalan yang agak rapi dan terancang telah disediakan terlebih dahulu. Di samping juga, terdapat beberapa soalan spontan yang digunakan akibat daripada beberapa isu dan jawapan yang diberikan oleh orang ditemuduga.
6) Kesemua orang yang ditemuduga adalah merupakan kakitangan yang memegang jawatan penting atau pun mempunyai autoriti di dalam agensi Islam. Hal ini dilakukan demi untuk memastikan data-data yang diperolihi adalah tepat dan boleh menjadi sumber rujukan utama.
7) Isi kandungan temuduga ini telah dipastikan agar ianya lebih bersifat menjurus kepada skop dan tumpuan kajian.
8) Proses pengumpulan data melalui temuduga dan pemerhatian kerap kali dibantu dengan pengumpulan data dokumen rasmi yang berupakan laporan mesyuarat, minit mesyuarat, pamplet, brosure dan sebagainya yang dikategorikan sebagai dukomen sulit.
9) Kaedah tringulasi telah digunakan bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan data yang terkumpul melalui temuduga. Melalui kaedah ini penyelidik tidak hanya bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh seorang anggota koleksi sahaja, sebaliknya merujuk kepada anggota lain supaya data yang diperolihi adalah tepat dan konsisten.

Kaedah Soal Selidik - Satu set soal selidik akan dibentuk untuk mengenal pasti aspek-apsek kefahaman tentang konsep fiqh Malaysia di kalangan responden. Ia juga dibentuk untuk menilai tahap pemahaman, pencapaian, faktor penolak dan penarik untuk skop yang dikaji- berkaitan konsep fiqh tempatan di IPTA dan agensi Islam.

ANALSIS DATA
Kesemua data-data teoritikal dan empirikal yang telah dikumpulkan akan dianalisis secara diskriktif. Untuk tujuan ini kaedah SPSS akan digunakan untuk menganalisis semua maklumat dan data-data yang diperolehi.


HASIL PENYELIDIKAN

1.Menyediakan data base lengkap dalam bentuk CDROM dan koleksi Bibliografi tentang konsep fiqh Malaysia.
2.Menyediakan laporan dan pelan bertindak untuk memperkasakan lagi usaha reformasi fiqh Islam amnya dan penerapannya dalam agensi Islam khususnya.
3.Menyediakan pelan bertindak untuk memperkasakan system ekonomi Islam – dari segi metodologi dan kaedah penerapan untuk institusi kewangan Islam.
4.Menyediakan kertas laporan, kertas kerja dan monograf yang membabitkan bidang pengajian fiqh Islam, yang bakal diterbitkan samada di peringkat antarabangsa dan dalam negeri.

KEPENTINGAN DAN FAEDAH PENYELIDIKAN
1.Kajian ini meningkatkan lagi kepakaran dalam bidang pengajian metodologi dan sosiologi hukum Islam.
2.Nilai-nilai keaslian yang diperolehi melalui kajian lapangan dapat digunakan bagi menyokong teori-teori yang sedia ada.
3.Kajian ini bakal membantu pihak IPTA Islam di Malaysia melakukan reformasi pendidikan perundangan yang lebih menepati kehendak semasa.
4.Kajian ini membantu pihak-pihak berkepentingan seperti institusi Fatwa, institusi kewangan Islam, Mahkamah Syariah dan Jabatan Kemajuan Islam untuk memperkemaskan dasar dan pelaksanaan bagi mewujudkan sistem Islam yang bersesuaian dengan kehendak masyarakat Malaysia semasa

No comments: