Sunday, January 17, 2010

TAJUK : PENGAJIAN SYARIAH DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA DAN INDONESIA: KAJIAN PERBANDINGAN PERSPEKTIF PARADIGMA DAN MODUL (RG050/09HNE)

PENYELIDIK:
1.Prof Madya Dr Rahimin Affandi Abdul Rahim (Ketua Penyelidik)
2.Mohd Anuar Ramli (Penyelidik)
3.Nor Hayati Bt Md Dahlal (Pembantu Penyelidik)

LATAR BELAKANG DAN MASALAH KAJIAN
Kajian ini adalah kajian lanjutan daripada dapatan projek “Pembaharuan Pendidikan Tinggi Islam di Malaysia Bagi Memenuhi Keperluan Pembangunan Modal Insan” di bawah akaun FR020/2007A. Kajian mendapati dalam perkembangannya yang bersifat turun naik (fluctuate), pengajian Islam mengalami beberapa fasa. Dari paradigma dikotomis-atomistik pengajian Islam berkembang ke arah integratif interkonektif. Ia sesuai dengan perubahan yang pesat dalam kemajuan manusia. Hegemoni keilmuan yang berlangsung dalam waktu yang panjang belum memperlihat bibit kejayaannya. Proses Islamisasi atau dewesternisasi yang dijalankan memperlihatkan beberapa kelemahan yang ketara. Justeru pendekatan integratif interkonektif lebih relevan untuk diaplikasi dalam program pembaharuan pengajian tinggi aliran Islam masa kini. Pendekatan ini merujuk kepada pengintegrasian satu bidang keilmuan dengan memanfaatkan bidang keilmuan lainnya di samping melihat kesaling terkaitan antara berbagai disiplin ilmu. Ia ke arah melahirkan insan yang mempunyai ilmu bersepadu dan mempunyai maklumat dalam tiap bidang yang berkaitan, di samping dapat menjana modal insan yang serba tahu walaupun tidak mendalam dalam disiplin ilmu yang lain dan menjamin prospek kerjaya yang lebih baik terhadap graduan pengajian Islam.
Dalam kajian lepas, pengkaji mendapati hampir semua Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta Malaysia yang menawarkan program pengajian Islam masih terbelakang jika dibandingkan dengan sistem yang dilaksanakan di Indonesia. Ini kerana dalam penawaran kursus pengajian, kebanyakan Institusi Pengajian Tinggi aliran Islam masih berada pada peringkat paradigma dikotomis-atomistik (pengajian bersifat terpisah) dan belum melangkah ke tahap integratif interkonektif (pengajian bersifat terpadu lagi berangkai) sepertimana yang dilaksanakan di Universitas-universitas Islam Negeri (UIN) di Indonesia. Hanya beberapa IPT seperti Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan Universiti Sains Islam Malaysia yang merintis jalan melaksanakan program pembaharuan yang bersifat integrasi. Justeru, model pembaharuan yang dilaksanakan di Universitas-universitas Islam Negeri (UIN) Indonesia wajar diteliti untuk melihat kesesuaiannya dalam melaksanakan program pembaharuan di Institusi Pengajian Tinggi beraliran Islam di Malaysia khususnya dalam pengajian Syariah.

OBJEKTIF KAJIAN
Kajian ini mempunyai beberapa objektif yang utama:-
1.Meneliti program pembaharuan pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi beraliran Islam khususnya pengajian Syariah di Malaysia dan di Indonesia.
2.Membuat perbandingan pengajian Islam (Syariah) di IPT Malaysia dan Indonesia sama ada dari aspek model Pengajaran dan Pembelajaran (P & P), silibus pengajian, kemahiran insaniah dan seumpamanya.
3.Menganalisis paradigma dan model pengajian Islam yang progresif seperti yang dilaksanakan di Universitas-universitas Islam Negeri (UIN) Indonesia.
KEPENTINGAN PENYELIDIKAN
1.Kajian ini meningkatkan lagi kepakaran dalam bidang pengajian Syariah Islam terutamanya dalam mewujudkan niche area.
2.Kajian ini dapat membuka horizon baru dalam pengajian Islam dan merintis jaringan intelektual dengan Sarjana Islam di Indonesia khususnya dalam pengajian Syariah.
3.Memperkemaskan lagi program pemerkasaan pengajian Islam di IPTA/IPTS tempatan dengan mengambilkira model pengajian yang lebih maju sama ada dari aspek kurikulum dan silibus, pendekatan pengajaran dan pembelajaran, dan kandungan subjek yang lebih bersifat semasa di samping kemahiran insaniah.

SKOP KAJIAN
Skop kajian ini hanya akan menfokuskan Institusi Pengajian Tinggi yang menawarkan pengajian Syariah di Malaysia dan Indonesia. Kajian perbandingan akan dilihat terutamanya aspek silibus, infrastruktur, program pembaharuan dan kemahiran insaniah di IPT yang terlibat. IPT terpilih di Malaysia termasuklah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia Kulliyah Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam (USIM). Manakala di Indonesia, Universiti Islam Negeri (UIN) yang terlibat adalah Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta; Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga, Yogyakarta, Universitas Islam Negeri Syeh Maulana Malik Ibrahim, Malang dan Universitas Islam Negeri Sunan Gunung Djati, Bandung.


METODOLOGI KAJIAN
Dalam kajian ini, pengkaji mengaplikasikan dua metode utama iaitu :
i.Metode Pengumpulan Data
ii.Metode Analisis Data
Metode pengumpulan data yang sesuai akan digunakan untuk mengumpulkan data-data yang berkaitan dengan topik kajian dan metode analisis data akan diaplikasi untuk menyusun kajian secara sistematik seterusnya mencapai objektif yang digariskan.

Metode Pengumpulan Data
Bagi mendapatkan data-data yang diperlukan untuk kajian ini, dua kaedah penyelidikan akan digunakan, iaitu kajian perpustakaan dan lapangan.
i. Kajian Perpustakaan
Kaedah ini akan digunakan untuk mencari data-data yang berasaskan kepada penulisan dan dokumentasi bertulis. Data-data yang diperoleh akan digunakan untuk mendapatkan landasan teori sebagai asas menyiapkan kajian ini. Data-data yang akan digunakan adalah terdiri daripada sumber primer dan sekunder.

ii.Kajian Lapangan
Dalam kaedah kajian lapangan, metode temu bual akan digunakan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai bidang yang dikaji. Metode temu bual ialah cara yang digunakan untuk mendapatkan maklumat secara lisan dari seseorang responden melalui cara percakapan secara berhadapan muka dengan seseorang. Ia adalah proses temu bual melibatkan beberapa responden terpilih, di antaranya pakar pendidikan yang berkaitan dan mereka yang terlibat dalam institusi pengajian tersebut dan seumpamanya.
Metode Analisis Data
Data-data yang dikumpulkan melalui kajian kepustakaan dan temubual akan dianalisis sama ada menerusi kaedah induktif, deduktif dan komparatif. Hasil temu bual akan ditranskripsikan dan dianalisis kualitatif untuk merumuskan dapatan kajian.

No comments: